Bermaz Auto: Mazda 3 Sokong Prospek Pemulihan

Saranan BELI dan harga sasar (TP) MYR0.95 dikekalkan, potensi kenaikan harga saham 10%.

Untung teras 3QFY26 (Apr) yang dicatat oleh Bermaz Auto dilihat melangkaui jangkaan. Kami menegaskan prospek positif kami untuk jangka terdekat, walaupun prestasinya mungkin menurun sedikit pada 4QFY26 disebabkan oleh bilangan hari bekerja yang lebih sedikit semasa tempoh ini.

Hujah kami untuk saham ini masih bertahan, iaitu berdasarkan pemulihan jualan ke arah paras yang direkodkan pada FY25, keluarnya Kia daripada barisan jenama syarikat, dan nilai MYR yang lebih kukuh. BAUTO diniagakan pada penilaian menarik iaitu P/E CY27F 7.7x, yang rata-ratanya hampir dengan purata lima tahunnya, sementara kadar dividen FY27F sekitar 9% mungkin menyokong harga sahamnya.

Untung teras 3QFY26 melonjak naik 94% QoQ (-24% YoY) kepada MYR32j

Sekali gus membawa perolehan sepanjang 9MFY26 kepada MYR57j (-58% YoY). Keputusan ini dilihat mengatasi jangkaan dengan merangkumi 76% dan 82% daripada anggaran sepenuh tahun kami dan konsensus.

Penyimpangan positif ini berpunca daripada jumlah jualan lebih tinggi daripada jangkaan (dipacu oleh model Mazda 3), opex lebih rendah daripada anggaran, dan pendapatan faedah yang lebih tinggi daripada ramalan. BAUTO mengumumkan DPS 3QFY26 sebanyak 1.75 sen, maka jumlah DPS 9MFY26 mencecah 3.75 sen (nisbah bayaran teras : 76%)

Prospek positif akan datang – dipacu oleh model Mazda 3

Melangkah masuk ke 4QFY26, jumlah jualan mungkin akan mengalami penurunan akibat bilangan hari
bekerja yang lebih sedikit oleh sebab sambutan dua musim perayaan utama, di samping sentimen lebih lemah semasa ketidaktentuan geopolitik dunia berlaku. Walaupun begitu, melihat ke FY27F, kami berpandangan positif akan pelan pemulihan BAUTO. Tunggakan pesanan Mazda mencecah 3,500 unit (Mazda 3: 2,500 unit, CX-60: 240 unit), dengan penghantaran Mazda 3 yang kukuh antara 300-500 unit/bulan.

Memandangkan tunggakan berada pada paras baik, kami berpendapat Mazda Motor Corp (MMC) mungkin akan memperuntukkan unit-unit Mazda 3 tambahan kepada BAUTO, yang sepatutnya mendorong lagi pertumbuhan jualan syarikat ini. Tambahan itu, kami juga memandang positif akan usaha pengeluaran Xpeng di tanah air kerana ia membolehkan BAUTO untuk memohon rebat cukai bagi model-model EV, yang mungkin akan bermula pada 2HCY26.

Menyentuh hal Kia Malaysia (KMSB), walaupun BAUTO mungkin akan terus mengiktiraf kerugian syarikat sekutu dalam jangka dekat, jumlah penurunannya mungkin terhad kepada sekitar MYR20j, iaitu rata-ratanya sama dengan pelaburan asalnya dalam usaha niaga ini. Kami percaya sebahagian besar kerugian ini sudahpun diiktiraf setakat tempoh 9MFY26.

Kami bertindak menaikkan perolehan FY26F sebanyak 8.7%

Selepas meningkatkan andaian jumlah jualan dan pendapatan faedah. Kami kekalkan perolehan FY27-28F tidak berubah. TP MYR0.95 kami diperoleh berdasarkan P/E CY27F 8x dengan premium ESG 6%, kerana markah BAUTO ialah 3.3 berbanding markah median negara iaitu 3.0.

Risiko-risiko negatif utama

Ia termasuk tempahan dan penghantaran lebih lemah daripada jangkaan, dan persaingan semakin sengit, dan kekangan rantai bekalan kembali timbul.

Faktor Pemacu Utama

i. Pertumbuhan kukuh di Filipina
ii. Perbelanjaan pengguna lebih tinggi daripada yang dijangka
iii. Pelancaran model baharu

Risiko Utama

i. Perubahan FX yang merugikan
ii. Gangguan pelancaran produk
iii. Perbelanjaan pengguna yang hambar
iv. Persaingan harga berterusan dalam segmen jenama luar negara

Profil Syarikat

Bermaz Auto terbabit dalam pengedaran, pemasangan, penjualan dan juga penyediaan perkhidmatan selepas jualan bagi kenderaan Mazda di Malaysia. Kumpulan ini juga mengedarkan kenderaan Mazda yang dipasang tempatan secara domestik dan mengeksport kenderaan Mazda yang dipasang tempatan. Anak syarikatnya Bermaz Auto Philippines mengedarkan kenderaan Mazda di Filipina.

Sorotan Keputusan

Sorotan keputusan. Hasil sepanjang 9MFY26 jatuh 17% YoY, manakala EBIT menyusut pada kadar lebih tinggi sebanyak 24% YoY apabila margin mengecil kepada 7.8% (9MFY25: 8.5%), akibat komposisi produk yang lebih lemah dan jumlah jualan lebih rendah. Namun begitu, berbanding dengan suku lalu, BAUTO merekodkan pemulihan yang kukuh apabila hasil 3QFY26 meningkat 23% (+6% YoY), dipacu oleh lantunan kukuh dalam jumlah jualan di Malaysia (+36% QoQ, +3% YoY) susulan pelancaran Mazda 3 dan pembeli yang membuat pembelian awal EV CBU Xpeng.

Oleh itu, PATAMI teras melambung naik 94% QoQ – iaitu paras tertingginya sejak 2QFY25 – yang bermakna margin bersih mencecah 4.7%, berbanding 2.9% pada 2QFY26. Berkenaan syarikat sekutu pula, kerugian 3QFY26 didorong oleh Kia Malaysia (rugi MYR10.5j) dan Mazda Malaysia (rugi MYR1.5j), manakala Inokom mencatatkan untung kecil berjumlah MYR0.9j.

Sekilas Pandang Keputusan

Carta Saranan

Penganalisis
Iftaar Hakim Rusli +603 2302 8114 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.

Previous ArticleNext Article

Minat Nak Jadi Remisier? Begini Caranya

Sebelum ini kami ada cerita serba sedikit tentang Best Ke Jadi Remisier? Kita dapat tahu kelebihan menjadi seorang remisier, selain daripada berkongsi ilmu dapat juga menjana pendapatan yang lumayan.

Malah Master Yus yang dahulunya dikenali sebagai seorang perempit di litar bursa, kini telah maju selangkah lagi untuk menjadi seorang remisier. Ikuti kisah beliau yang penuh inspirasi di Kisah Perempit Di Litar Bursa Kepada Seorang Remisier.

Berminat untuk menjadi remisier? Langkah pertama adalah memahami keperluan pelesenan, kelayakan dan peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Eh, nampak macam mudah je kan? Mesti kacang putih punya.

Berkenalan Dengan Suruhanjaya Sekuriti Terlebih Dahulu

Untuk menjadi seorang remisier, kita perlu tahu dulu siapa itu Suruhanjaya Sekuriti. Kalau berkaitan bank, simpanan dan takaful kita ada Bank Negara Malaysia (BNM), kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada Suruhanjaya Sekuriti atau Securities Commission (SC).

Siapakah Securities Commission (SC)?

Sumber gambar: The Malaysian Reserve

Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:

Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:

  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
  • Meluluskan terbitan bon;
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
  • Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.

Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.

Aktiviti Yang Memerlukan Lesen Di Malaysia

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 10 – fail PDF

Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita kena jadi seorang remisier yang berdaftar dengan SC. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Kalau nak promote dan jual Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun kena daftar dengan SC.

Ada Syarat Nak Jadi Remisier?

Ya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi remisier atau wakil berlesen bagi aktiviti dealing in securities.

Antara syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ialah:

  1. Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.
  2. Memenuhi kriteria fit and proper yang ditetapkan oleh SC.
  3. Memenuhi keperluan kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan.
  4. Lulus kombinasi modul peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan bagi aktiviti dealing in securities.

Untuk mengetahui kombinasi modul peperiksaan yang diperlukan, anda boleh merujuk kepada panduan modul peperiksaan CMSRL mengikut aktiviti.

Nota: Panduan modul peperiksaan ini disediakan oleh SIDC Prep, sebuah platform persediaan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Maklumat ini disediakan untuk tujuan rujukan sahaja. Calon hendaklah merujuk kepada sumber rasmi SC bagi mendapatkan keperluan pelesenan terkini.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan pelesenan boleh dirujuk dalam Licensing Handbook Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Untuk memohon lesen sebagai wakil berlesen dalam aktiviti dealing in securities, calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bagi keperluan peperiksaan, calon perlu lulus kombinasi modul SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan, antaranya:

  • Modul 6 dan Modul 7
  • Modul 6 dan Modul 18
  • Modul 7 dan Modul 17
  • Modul 17 dan Modul 18

Keperluan sebenar tertakluk kepada kategori aktiviti terkawal dan kriteria pelesenan semasa SC. Calon disarankan merujuk Licensing Handbook terkini sebelum membuat permohonan.

Nak Jadi Remisier? Ini Modul Peperiksaan SCLE Yang Perlu Anda Lulus

Kebanyakan calon yang ingin menjadi remisier memilih untuk mengambil Modul 6 dan Modul 7. Tetapi, apakah yang dipelajari dalam kedua-dua modul ini?

Modul 6 – Stock Market and Securities Law (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti)

Modul 7 – Financial Statement Analysis and Asset Valuation (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset)

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk calon warganegara Malaysia, termasuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Calon boleh merujuk laman rasmi SIDC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai struktur yuran, bahan pembelajaran dan peperiksaan.

Dah Pergi Kelas, Ambil Peperiksaan Pula

Selepas mengikuti kelas persediaan dan membuat ulang kaji, calon perlu menduduki peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) bagi modul yang ditetapkan.

Kedua-dua Modul 6 dan Modul 7 mengandungi 60 soalan objektif (Multiple Choice Questions atau MCQ) yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit.

Dengan markah lulus sebanyak 60%, calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 36 daripada 60 soalan dengan betul untuk lulus peperiksaan bagi setiap modul.

Walau bagaimanapun, calon disarankan menyemak format dan struktur peperiksaan terkini melalui laman rasmi SIDC sebelum menduduki peperiksaan.

Yuran Peperiksaan

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul, untuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Struktur yuran ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027. Oleh itu, calon perlu mengambil kira kos peperiksaan bagi setiap modul sebelum membuat persediaan untuk mendapatkan lesen dalam industri pasaran modal.

Sumber rasmi: SIDC – The SC Licensing Examinations

Senang Ke Nak Lulus?

Prestasi kelulusan berbeza mengikut modul dan tahun. Calon boleh meneliti kadar kelulusan terdahulu sebagai salah satu rujukan untuk merancang persediaan peperiksaan.

Sumber: Kadar kelulusan mengikut modul, 2015–2024

Nota: Maklumat kadar kelulusan peperiksaan ini dirujuk daripada SIDC Prep, sebuah laman latihan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Data disediakan untuk tujuan maklumat dan rujukan sahaja

Didoakan supaya anda berjaya menjadi seorang remisier, dan menjadi seorang pendidik bagi membantu lebih ramai orang terbuka mata tentang pelaburan saham patuh syariah di Malaysia.

Memang nampak macam senang, tetapi realitinya kita perlu bersabar kerana ianya mengambil masa beberapa bulan juga, daripada saat pergi ke kelas, belajar daripada buku, ambil exam olok-olok, ambil exam sebenar, dan akhirnya dapat sijil mengatakan “Tahniah, Anda Lulus”!

Soalan Lazim Tentang Cara Menjadi Remisier

1. Berapa umur minimum untuk menjadi remisier?

Calon perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

2. Adakah wajib lulus Modul 6 dan Modul 7?

Tidak semestinya. Terdapat beberapa kombinasi modul SCLE yang dibenarkan bagi aktiviti dealing in securities, tertakluk kepada keperluan pelesenan SC.

3. Berapakah yuran peperiksaan SCLE pada tahun 2026?

Bagi calon warganegara Malaysia, yuran peperiksaan ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk tempoh 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027.

4. Berapa soalan dalam peperiksaan Modul 6 dan Modul 7?

Setiap modul mengandungi 60 soalan objektif yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit. Markah lulus ialah 60%, bersamaan sekurang-kurangnya 36 jawapan betul.

5. Berapa lama masa diperlukan untuk menjadi remisier?

Tempoh bergantung kepada persediaan calon, jadual peperiksaan, kelulusan modul dan proses permohonan lesen. Tiada satu tempoh tetap yang terpakai kepada semua calon.