Dealer Dan Remisier, Siapa Lebih Masyukk?

Apabila kita berbicara mengenai pasaran saham, kita tidak boleh lari dari berbincang mengenai jawatan Dealer dan Remisier yang mana mereka ini adalah pemudah cara untuk kita melakukan transaksi jual beli saham. Bagi yang baru melabur mungkin masih tidak faham apakah fungsi jawatan ini dan mengapa mereka ini diwujudkan dalam industri pelaburan. Selalunya ramai pelabur newbie keliru untuk membezakan di antara Dealer dan Remisier.

Definisi Dealer

Mereka ini adalah individu yang bekerja di bank pelaburan atau broker dan diberikan gaji yang tetap bersama manfaat-manfaat lain sebagai seorang pekerja syarikat seperti KWSP dan SOCSO. Mereka terikat dengan semua peraturan bank dan mempunyai jadual masuk dan keluar pejabat yang sama seperti pekerja bank-bank yang lain.

Definisi Remisier

Manakala Remisier pula adalah individu yang mempunyai lesen yang disahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan pelaburan saham. Remisier menjana pendapatan melalui komisen transaksi oleh setiap klien yang berdaftar dengan mereka. Komisen ini dikongsi oleh remisier dan syarikat broker 50:50. Pendapatan remisier bergantung kepada volum transaksi jual beli oleh klien mereka. Lagi tinggi volum yang dibuat semakin tinggilah pendapatan seorang remisier.

Jenis Dealer Di Syarikat Broker Atau Bank Pelaburan

Terdapat 3 jenis dealer yang perlu anda tahu dan kenali.

  1. Dealer Runcit

Dealer runcit biasanya bekerja di bank pelaburan dan akan memfokuskan kepada kerja-kerja menguruskan portfolio saham. Mereka membantu klien-klien mereka dalam transaksi jual beli saham dan apa-apa masalah lain seperti reset password pada platform saham. Fungsi Dealer Runcit adalah seperti berikut :

  • Membuka akaun CDS untuk individu, syarikat , koperasi dan sebagainya.
  • Mempromosikan online trading seperti Rakuten, M+ online dan RHB Tradesmart.
  • Mempromosi pakej margin pembiayaan saham (share margin financing) seperti pembiayaan saham pekerja (ESOS) kepada pekerja-pekerja syarikat saham seperti Tenaga Nasional Berhad, Petronas Dagang dan sebagainya.
  • Menjaga portfolio klien dan mengemaskini akaun pelaburan saham klien.

2. Dealer Institusi

Dealer institusi pula adalah sekumpulan Dealer yang terdiri daripada 5-10 orang dan mempunyai klien dalam kalangan institusi.

Kumpulan ini menguruskan semua aktiviti portfolio saham klien institusi seperti :

  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Perbadanan Nasional Berhad (PNB)
  • Lembaga Tabung Haji
  • Lembaga Tabung Angkatan Tentera

Mereka yang bekerja sebagai dealer institusi selalunya bekerja di HQ atau ibu pejabat bank-bank pelaburan atau syarikat broker.

3. Dealer IVT

Mereka ini pula adalah dealer yang hanya melakukan perdagangan saham ketika waktu pasaran berlangsung. Mereka juga merupakan kakitangan bank pelaburan di atas.

  • Membeli dan menjual saham
  • Mereka dibenarkan melakukan intraday short selling

Pendapatan Dealer VS Pendapatan Remisier

Seperti yang diterangkan di atas, dealer merupakan pekerja di bank pelaburan atau syarikat broker yang mana pendapatan mereka terhad dan dinilai dengan pengalaman bekerja. Manakala bagi remisier pula, pendapatan mereka bergantung pada komisen dari volum transaksi klien. Oleh itu, pendapatan remisier tidak terhad seperti dealer dan remisier selalunya akan menjana pendapatan yang lebih lumayan.

Mari kita lihat pendapatan mereka.

Dealer Representative

Merujuk kepada laman sesawang glassdoor.com, pendapatan tahunan dealer representative bermula dari RM21,000 – RM50,000. Mereka juga mendapat manfaat seperti Bonus dan manfaat perubatan oleh syarikat broker dan bank pelaburan.

Remisier Commissioned Representatives

Pendapatan remisier adalah unlimited kerana tidak terikat kepada bank pelaburan atau syarikat broker. Mari kita lihat perkiraan pendapatan yang boleh dijana oleh Remisier.

Jika kita andaikan yuran brokerage RM8 pada setiap transaksi dan purata seorang pelanggan melakukan 10 transaksi setiap bulan. Setiap kali klien membeli dan menjual, ia akan dikira sebagai 2 transaksi.

RM 8 x 50% x 10 klien x 10 transaksi = RM400

RM 8 x 50% x 100 x 10 transaksi = RM4000

RM 8 x 50% x 200 x 10 transaksi = RM8000

Jika klien melakukan 20 transaksi setiap bulan maka pendapatan remisier akan lebih banyak. Bagi seorang remisier yang sudah lama berkecimpung dalam industri dan mempunyai klien yang terdiri daripada pedagang sepenuh masa, pendapatan mereka boleh mencecah 5 hingga 6 angka setiap bulan.

Sebagai penutup, dealer dan remisier siapa lebih masyukk? Semestinya remisier berbanding dealer.

Previous ArticleNext Article

Minat Nak Jadi Remisier? Begini Caranya

Sebelum ini kami ada cerita serba sedikit tentang Best Ke Jadi Remisier? Kita dapat tahu kelebihan menjadi seorang remisier, selain daripada berkongsi ilmu dapat juga menjana pendapatan yang lumayan.

Malah Master Yus yang dahulunya dikenali sebagai seorang perempit di litar bursa, kini telah maju selangkah lagi untuk menjadi seorang remisier. Ikuti kisah beliau yang penuh inspirasi di Kisah Perempit Di Litar Bursa Kepada Seorang Remisier.

Berminat untuk menjadi remisier? Langkah pertama adalah memahami keperluan pelesenan, kelayakan dan peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Eh, nampak macam mudah je kan? Mesti kacang putih punya.

Berkenalan Dengan Suruhanjaya Sekuriti Terlebih Dahulu

Untuk menjadi seorang remisier, kita perlu tahu dulu siapa itu Suruhanjaya Sekuriti. Kalau berkaitan bank, simpanan dan takaful kita ada Bank Negara Malaysia (BNM), kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada Suruhanjaya Sekuriti atau Securities Commission (SC).

Siapakah Securities Commission (SC)?

Sumber gambar: The Malaysian Reserve

Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:

Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:

  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
  • Meluluskan terbitan bon;
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
  • Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.

Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.

Aktiviti Yang Memerlukan Lesen Di Malaysia

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 10 – fail PDF

Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita kena jadi seorang remisier yang berdaftar dengan SC. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Kalau nak promote dan jual Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun kena daftar dengan SC.

Ada Syarat Nak Jadi Remisier?

Ya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi remisier atau wakil berlesen bagi aktiviti dealing in securities.

Antara syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ialah:

  1. Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.
  2. Memenuhi kriteria fit and proper yang ditetapkan oleh SC.
  3. Memenuhi keperluan kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan.
  4. Lulus kombinasi modul peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan bagi aktiviti dealing in securities.

Untuk mengetahui kombinasi modul peperiksaan yang diperlukan, anda boleh merujuk kepada panduan modul peperiksaan CMSRL mengikut aktiviti.

Nota: Panduan modul peperiksaan ini disediakan oleh SIDC Prep, sebuah platform persediaan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Maklumat ini disediakan untuk tujuan rujukan sahaja. Calon hendaklah merujuk kepada sumber rasmi SC bagi mendapatkan keperluan pelesenan terkini.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan pelesenan boleh dirujuk dalam Licensing Handbook Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Untuk memohon lesen sebagai wakil berlesen dalam aktiviti dealing in securities, calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bagi keperluan peperiksaan, calon perlu lulus kombinasi modul SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan, antaranya:

  • Modul 6 dan Modul 7
  • Modul 6 dan Modul 18
  • Modul 7 dan Modul 17
  • Modul 17 dan Modul 18

Keperluan sebenar tertakluk kepada kategori aktiviti terkawal dan kriteria pelesenan semasa SC. Calon disarankan merujuk Licensing Handbook terkini sebelum membuat permohonan.

Nak Jadi Remisier? Ini Modul Peperiksaan SCLE Yang Perlu Anda Lulus

Kebanyakan calon yang ingin menjadi remisier memilih untuk mengambil Modul 6 dan Modul 7. Tetapi, apakah yang dipelajari dalam kedua-dua modul ini?

Modul 6 – Stock Market and Securities Law (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti)

Modul 7 – Financial Statement Analysis and Asset Valuation (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset)

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk calon warganegara Malaysia, termasuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Calon boleh merujuk laman rasmi SIDC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai struktur yuran, bahan pembelajaran dan peperiksaan.

Dah Pergi Kelas, Ambil Peperiksaan Pula

Selepas mengikuti kelas persediaan dan membuat ulang kaji, calon perlu menduduki peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) bagi modul yang ditetapkan.

Kedua-dua Modul 6 dan Modul 7 mengandungi 60 soalan objektif (Multiple Choice Questions atau MCQ) yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit.

Dengan markah lulus sebanyak 60%, calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 36 daripada 60 soalan dengan betul untuk lulus peperiksaan bagi setiap modul.

Walau bagaimanapun, calon disarankan menyemak format dan struktur peperiksaan terkini melalui laman rasmi SIDC sebelum menduduki peperiksaan.

Yuran Peperiksaan

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul, untuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Struktur yuran ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027. Oleh itu, calon perlu mengambil kira kos peperiksaan bagi setiap modul sebelum membuat persediaan untuk mendapatkan lesen dalam industri pasaran modal.

Sumber rasmi: SIDC – The SC Licensing Examinations

Senang Ke Nak Lulus?

Prestasi kelulusan berbeza mengikut modul dan tahun. Calon boleh meneliti kadar kelulusan terdahulu sebagai salah satu rujukan untuk merancang persediaan peperiksaan.

Sumber: Kadar kelulusan mengikut modul, 2015–2024

Nota: Maklumat kadar kelulusan peperiksaan ini dirujuk daripada SIDC Prep, sebuah laman latihan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Data disediakan untuk tujuan maklumat dan rujukan sahaja

Didoakan supaya anda berjaya menjadi seorang remisier, dan menjadi seorang pendidik bagi membantu lebih ramai orang terbuka mata tentang pelaburan saham patuh syariah di Malaysia.

Memang nampak macam senang, tetapi realitinya kita perlu bersabar kerana ianya mengambil masa beberapa bulan juga, daripada saat pergi ke kelas, belajar daripada buku, ambil exam olok-olok, ambil exam sebenar, dan akhirnya dapat sijil mengatakan “Tahniah, Anda Lulus”!

Soalan Lazim Tentang Cara Menjadi Remisier

1. Berapa umur minimum untuk menjadi remisier?

Calon perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

2. Adakah wajib lulus Modul 6 dan Modul 7?

Tidak semestinya. Terdapat beberapa kombinasi modul SCLE yang dibenarkan bagi aktiviti dealing in securities, tertakluk kepada keperluan pelesenan SC.

3. Berapakah yuran peperiksaan SCLE pada tahun 2026?

Bagi calon warganegara Malaysia, yuran peperiksaan ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk tempoh 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027.

4. Berapa soalan dalam peperiksaan Modul 6 dan Modul 7?

Setiap modul mengandungi 60 soalan objektif yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit. Markah lulus ialah 60%, bersamaan sekurang-kurangnya 36 jawapan betul.

5. Berapa lama masa diperlukan untuk menjadi remisier?

Tempoh bergantung kepada persediaan calon, jadual peperiksaan, kelulusan modul dan proses permohonan lesen. Tiada satu tempoh tetap yang terpakai kepada semua calon.