Format Preskripsi Dipertingkat Bagi Pendedahan Kemampanan Melalui Platform CSI Berkuat Kuasa 15 Disember 2025

Kuala Lumpur, 15 Disember 2025 – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) hari ini memperkenalkan format preskripsi yang dipertingkat bagi pendedahan kemampanan melalui Platform Centralised Sustainability Intelligence (“CSI”), yang berkuat kuasa mulai hari ini, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh penjajaran dengan piawaian pendedahan antarabangsa.

Platform CSI, iaitu platform rasmi Bursa bagi pelaporan kemampanan, membolehkan penerbit tersenarai memperkemas pelaporan kemampanan selaras dengan piawaian global, sekali gus menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran UTAMA (“MAIN LR”) dan Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE (“ACE LR”) (secara kolektif dirujuk sebagai “Keperluan Penyenaraian”), yang telah dipinda pada 23 Disember 2024 bagi mencerminkan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional (“NSRF”), syarikat yang tersenarai di Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE diwajibkan mengguna pakai Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS melalui Platform CSI. Akses kepada format pelaporan mandatori ini disediakan tanpa sebarang kos. Platform Pelaporan ESG terdahulu telah ditamatkan dan Platform CSI kini menjadi saluran rasmi yang mematuhi format preskripsi yang ditetapkan oleh Bursa.

Penerbit tersenarai di Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE mesti mengakses Platform CSI untuk menjana format preskripsi yang merangkumi ringkasan data bagi metrik dan sasaran, yang kemudiannya perlu didedahkan dalam Penyata Kemampanan masing-masing tanpa sebarang pengubahsuaian.

Bagi membantu penerbit tersenarai memahami ciri dan fungsi format preskripsi ini, Bursa Malaysia akan mengadakan sesi pengenalan secara maya pada 19 Disember 2025. Selain itu, panduan pengguna yang menyediakan arahan langkah demi langkah boleh didapati dalam Platform CSI di bawah seksyen panduan.

Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, penerbit tersenarai dinasihatkan untuk merujuk kepada laman web berikut bagi maklumat lanjut berhubung pindaan Keperluan Penyenaraian berkaitan keperluan pelaporan kemampanan yang dipertingkat:

Pindaan kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran UTAMA:
https://www.bursamalaysia.com/regulation/listing_requirements/main_market/amendments_to_listing_requirements

Pindaan kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE:
https://www.bursamalaysia.com/regulation/listing_requirements/ace_market/amendments_to_listing_requirements

Bagi sokongan lanjut dalam pelaporan di bawah Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS, Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) menyediakan sumber tambahan yang boleh didapati di laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah [Resources | Guidance Documents] di:
https://www.sc.com.my/nsrf/resources/policy-documents

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.