Keputusan DNB Tamat Perjanjian Ekuiti Dengan TM Masih Kekal – Gobind

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) — Keputusan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk menamatkan perjanjian langganan saham (SSA) dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) masih kekal walaupun pihak TM boleh merayu terhadap keputusan itu, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

“Walaupun kami tidak dapat menghalang Telekom daripada merayu, keputusan yang dibuat oleh DNB untuk menamatkan SSA kekal. 

“Mereka telah memohon lanjutan masa, dan ia telah diberikan. Bagaimanapun, mereka tidak dapat mematuhi tempoh lanjutan. Oleh itu, SSA antara mereka dan DNB ditamatkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Pelabuhan Laut Terhubung: Fungsian Teknologi Lanjutan Dikuasakan 5G di sini hari ini.

TM menerima notis penamatan daripada DNB bagi SSA yang ditandatangani pada 1 Dis 2023 membabitkan kepentingan dalam DNB.

Ini berlaku selepas permohonan dan rayuan TM untuk “pelanjutan syarat duluan tarikh henti panjang” ditolak. Permohonan dan rayuan untuk pelanjutan seterusnya bertujuan mendapatkan kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa berikutan SSA melibatkan transaksi pihak berkaitan.

Gobind dalam ucapan semasa merasmikan program itu berkata pengendali pelabuhan laut Malaysia perlu melabur dalam teknologi digital dan 5G untuk kekal berdaya saing.

“Pada majlis perasmian Minggu Maritim Malaysia 2024 bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru industri maritim meningkatkan daya tahan sambil berharap pelabuhan Malaysia boleh mencapai kedudukan antara 10 teratas di dunia,” katanya.

Beliau berkata pendigitalan pelabuhan laut akan turut menambah nilai kepada ekosistem logistik dan rantaian bekalan.

“Satu contoh yang jelas adalah lebih ramai pemain boleh meningkatkan rantaian nilai dengan pengintegrasian penyelesaian digital. Pendigitalan pelabuhan laut akan mengurangkan halangan kemasukan rakyat Malaysia untuk berniaga secara dalam talian dan merentas sempadan.

“Ini akan memudahkan bukan sahaja pemilik perniagaan malah suri rumah yang menyumbang kepada pendapatan isi rumah keluarga dengan menyertai e-dagang,” katanya.

Gobind berkata, seperti sektor lain yang penting kepada ekonomi dan kesejahteraan negara, industri pelabuhan, perkapalan dan pengangkutan marin perlu memanfaatkan kesalinghubungan bertaraf dunia yang sedia ada di negara ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.