Permintaan Sektor Penjagaan Kesihatan Diunjur Meningkat Bagi Jangka Panjang

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Sektor penjagaan kesihatan Malaysia diunjur mencatat pertumbuhan dari segi permintaan untuk tempoh jangka panjang, disokong oleh peningkatan jumlah penyakit tidak berjangkit (NCD) selain faktor demografi yang menua.

CIMB Securities Sdn Bhd berkata kapasiti Malaysia dengan nisbah dua katil hospital bagi setiap 1,000 penduduk berbanding purata 2.5 di negara maju, juga menunjukkan wujudnya ruang bagi pengembangan organik dalam beberapa tahun akan datang.

Dalam nota penyelidikannya, firma itu berkata IHH Healthcare kekal menjadi pilihan sektor itu dengan saranan “Beli” dan harga sasaran RM8.50.

“Keadaan itu disokong oleh asas aset IHH yang pelbagai dan memberi perlindungan terhadap cabaran landskap pengawalseliaan Malaysia yang kurang memberangsangkan,” katanya.

Setakat 9.56 pagi ini, saham-saham IHH tidak berubah pada harga RM7.45 dengan sejumlah 264,900 saham saling berpindah tangan.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Vincent Tan Tingkat Pegangan Dalam Berjaya Corp, Beli 59.97 Juta Saham Berharga RM14.05 Juta

KUALA LUMPUR: Tan Sri Vincent Tan meningkatkan pegangan saham langsungnya dalam Berjaya Corp Bhd dengan membeli sejumlah 59.97 juta saham.

Urus niaga itu dibuat hanya beberapa minggu selepas beliau tidak lagi diklasifikasikan sebagai pemegang saham utama dalam syarikat itu.

Hartawan itu membeli saham berkenaan, yang bersamaan pegangan 1.02 peratus dalam Berjaya Corp, daripada Berjaya Assets Bhd pada harga RM14.05 juta, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Saham berkenaan sebelum ini dipegang oleh Berjaya Bright Sdn Bhd dan Berjaya Times Square Sdn Bhd, yang kedua-duanya merupakan anak syarikat milik penuh Berjaya Assets.

Transaksi itu dibuat tidak lama selepas Vincent Tan membeli 60 juta lagi saham Berjaya Corp, bersamaan pegangan 1.01 peratus, menerusi urus niaga perniagaan langsung pada 8 Jun lalu dengan nilai RM14.1 juta atau 23.5 sen sesaham.

Pembelian terbaharu itu menyusuli siri pelupusan saham yang dilakukan Vincent Tan kurang daripada sebulan lalu.

Pada penghujung Mei, beliau menjual keseluruhan 461.65 juta saham Berjaya Corp menerusi tujuh transaksi berasingan yang melibatkan pegangan langsung dan pegangan tidak langsung, dengan nilai kira-kira RM115 juta.

Susulan pembelian terkini itu, pegangan langsung Vincent Tan dalam Berjaya Corp Bhd meningkat kepada 6.13 peratus, manakala pegangan tidak langsungnya kini berada pada 10.96 peratus.

— Berita Harian