Chagee Bakal Ke IPO Di Nasdaq

Sebelum ini, kami pernah menulis mengenai Mixue sebuah jenama aiskrim dan minuman teh yang menuju ke IPO. 

Jemput baca artikel di bawah.

Baca: Mixue Bakal Ke IPO Di Hong Kong

Untuk pengetahuan anda, Mixue telahpun berjaya disenaraikan di Hong Kong Stock Exchange.

Sumber: TradingView

Kini Mixue Group berharga HKD430, berbanding harga IPO yang hanya HKD202.50. Jika ada pelabur yang memiliki Mixue ketika IPO, kini mereka telah mendapat pulangan 100%.

Namun, dalam artikel kali ini kami ingin berkongsi mengenai salah satu jenama rangkaian dari China juga yang bakal ke IPO iaitu Chagee

Berbeza dengan Mixue yang memilih untuk ke Hong Kong, Chagee memilih untuk disenaraikan di Amerika Syarikat.

Permulaan Chagee

Konsep minuman the Chagee adalah berlainan dengan minuman teh yang lain.  

Chagee menonjol dengan memberi tumpuan kepada daun teh yang dibancuh segar dan bahan berkualiti, menawarkan pengalaman teh susu yang premium, lebih sihat, dan kurang manis berbanding jenama teh boba lain yang sering mengandungi topping dan kandungan gula yang lebih tinggi.

Gambar: Chagee

Pada asalnya nama Chagee adalah BaWangChaji, dan kemudian dijenamakan semula kepada nama yang digunakan sekarang iaitu Chagee. 

Pada masa yang sama Chagee Malaysia telah melantik YBhg. Datuk Wira Dr. Lee Chong Wei sebgagi duta minuman teh tersebut.

Sumber: Business Today

Pengasas

Zhang Junjie, seorang usahawan berusia 31 tahun dari wilayah Yunnan di barat daya China, merupakan pengasas dan CEO Chagee, salah satu jenama teh susu paling terkenal di China.

Jenama ini melonjak ke tahap populariti baru selepas juara tenis Olimpik, Zheng Qinwen, menjadi duta mereka, dengan jualan melebihi 10.8 bilion yuan (USD1.51 bilion) pada tahun 2023.

Zhang menjadi yatim piatu pada usia 10 tahun dan hidup sebagai gelandangan selama tujuh tahun sebelum hanya mula belajar membaca dan menulis pada usia 18 tahun. Pada tahun 2010, Zhang mula bekerja di sebuah rangkaian kedai teh susu dari Taiwan dan naik pangkat daripada pembantu kepada pengurus kedai, penyelia wilayah, dan akhirnya ketua wilayah.

Pada Jun 2017, beliau kembali ke kampung halamannya di Kunming untuk menubuhkan CHAGEE, yang dengan pantas mencapai kejayaan besar dalam pasaran tanah besar China.

Walaupun berjaya dari segi kewangan, Zhang memilih gaya hidup sederhana, tidak memiliki hartanah atau kereta, dan mempunyai keperluan material yang sangat minimum.

Status Halal

Sumber: Business Today

Berdasarkan carian di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang membawa ke portal halal Malaysia, Chagee (M) Sdn Berhad.

Direktori Halal Malaysia merupakan sumber maklumat bagi mengetahui produk-produk, premis makanan dan perkidmatan yang dipersijilkan halal. Maklumat merangkumi persijilan halal yang di dalam Malaysia yang disahkan oleh Jakim dan JAIN dan juga maklumat persijilan halal luar negara (Persijilan Halal Malaysia Luar Negara).

Sumber: JAKIM

Namun, anda mungkin ingin memastikan cawangan-cawangan juga mempunyai sijil halal. Untuk kepastian bolehlah semak di Portal Halal Malaysia.

Sudah tahu serba sedikit mengenai Chagee, apa kata kita teruskan membaca impian Chagee untuk ke IPO di US.

Chagee Ke IPO

Chagee mendedahkan hasil pendapatannya meningkat hampir tiga kali ganda pada 2024, mencapai 12.41 bilion yuan (AS$1.71 bilion). Daripada pendapatan AS$1.71 bilion tersebut, sebanyak AS$344.5 juta adalah keuntungan.

Syarikat itu telah memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Amerika Syarikat dan merancang untuk disenaraikan di Nasdaq dengan simbol “CHA.” 

Pendapatan bersihnya melonjak 213.3% kepada 2.51 bilion yuan, manakala jumlah nilai dagangan kasarnya (GMV) meningkat 172.9% kepada 29.46 bilion yuan.

Syarikat China sering memilih penyenaraian di Amerika Syarikat bagi mendapatkan akses kepada modal lebih besar dan menumpukan penilaian yang lebih tinggi.

Setakat 31 Disember 2024, Chagee kini mengendalikan 6,440 cawangan, termasuk 6,284 di China, dan merancang untuk memperluaskan rangkaiannya di dalam dan luar negara menggunakan hasil dana IPO. 

Chagee merancang untuk meraih AS$411 juta (RM1.82 bilion) melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Amerika Syarikat, walaupun pasaran saham sedang mengalami turun naik ketara akibat langkah tarif yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump.

Citigroup, Morgan Stanley, CICC, dan Deutsche Bank bertindak sebagai penaja jamin utama bagi IPO ini.

Syarikat dijangka menetapkan harga sahamnya pada 16 April ini, menurut Bloomberg News.

Sumber:

  1. Global Times
  2. Nasdaq
  3. Reuters
  4. The Star
  5. The Edge Malaysia

Rebut Peluang Belajar Melabur Saham Di Pasaran Saham Amerika Syarikat

Kami menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana nak terlibat dengan pasaran saham global. Malah banyak artikel percuma yang telah kami kongsikan antaranya:

Eh, banyak lagi lah.

Kami dulu juga hanya fokus melabur di pasaran saham Bursa Malaysia. Tetapi selepas mengambil kira risiko dan faktor-faktor lain, kami mengambil keputusan untuk tidak meletakkan 100% duit lebihan yang ada di pasaran saham Malaysia.

Selalu tengok harga saham Apple, Tesla, Google, NVIDIA duk naik dan ingin menjadi salah seorang daripada pemegang saham syarikat-syarikat terkemuka dunia ini?

Dah tak perlu risau dan susah-susah lagi! Kami akan kongsikan step by step cara untuk mula melabur saham di Wall Street.

Jangan lepaskan peluang ini! Mulakan langkah pertama anda untuk melabur dalam pasaran saham Wall Street hari ini!

Previous ArticleNext Article

Rahsia Memilih IPO Yang Berpotensi Memberikan Pulangan Lumayan

Setiap kali sebuah syarikat mengumumkan tawaran Initial Public Offering (IPO), pasti akan ada pelabur yang teruja untuk membuat permohonan. Tidak kurang juga yang berkongsi kisah memperoleh keuntungan pada hari pertama saham tersebut disenaraikan di Bursa Malaysia.

Fenomena ini menyebabkan ramai pelabur baharu beranggapan bahawa membeli IPO adalah jalan mudah untuk menjana keuntungan. Namun, adakah semua IPO pasti menguntungkan? Jawapannya sudah tentu tidak.

Walaupun banyak IPO di Malaysia mencatat prestasi positif pada hari pertama dagangan, tidak semua syarikat mampu mengekalkan prestasi tersebut dalam jangka panjang. Sebab itu, pelabur tidak sepatutnya memohon IPO hanya kerana mendengar cerita orang lain atau melihat permintaan yang tinggi. Sebaliknya, setiap IPO perlu dinilai seperti mana kita menilai mana-mana pelaburan lain.

Dalam artikel ini, kita akan melihat bagaimana pelabur boleh menilai sesuatu IPO sebelum membuat keputusan untuk melabur.

Apa Itu IPO?

IPO atau Initial Public Offering ialah proses apabila sebuah syarikat menawarkan sahamnya kepada orang awam buat kali pertama sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia.

Sebelum IPO, syarikat dimiliki oleh pengasas, pelabur awal atau institusi tertentu. Melalui proses ini, orang ramai turut berpeluang menjadi pemegang saham syarikat tersebut.

Bagi syarikat, IPO merupakan salah satu cara untuk mendapatkan modal bagi mengembangkan perniagaan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan bank. Dana yang diperoleh boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti membina kilang baharu, membeli aset, mengembangkan operasi atau memasuki pasaran baharu.

Kenapa IPO Menarik Perhatian Pelabur?

Salah satu sebab utama IPO menjadi rebutan ialah potensi listing gain, iaitu keuntungan yang diperoleh apabila harga saham dibuka lebih tinggi daripada harga tawaran IPO pada hari pertama dagangan.

Sebagai contoh, jika harga IPO ialah RM0.50 sesaham dan saham dibuka pada RM0.70 pada hari pertama, pelabur yang berjaya memperoleh saham IPO berpeluang menikmati keuntungan atas kertas sebanyak 40%.

Namun, perlu difahami bahawa prestasi hari pertama bukanlah jaminan keuntungan jangka panjang. Ada juga IPO yang mencatat kenaikan pada awal penyenaraian tetapi kemudiannya mengalami penurunan apabila sentimen berubah atau prestasi syarikat tidak memenuhi jangkaan.

Jangan Mohon IPO Hanya Kerana “Ramai Orang Mohon”

Antara kesilapan paling biasa ialah membuat permohonan hanya kerana mendengar orang lain mengatakan IPO tersebut “confirm untung”.

Pelaburan yang dibuat berdasarkan sentimen semata-mata boleh menyebabkan kita mengabaikan perkara yang lebih penting, iaitu kualiti syarikat itu sendiri.

Sebelum membuat permohonan, tanya diri sendiri:

  • Apakah syarikat ini menjalankan perniagaan yang mudah difahami?
  • Adakah industrinya masih mempunyai potensi pertumbuhan?
  • Bagaimana prestasi kewangannya?
  • Untuk apa syarikat mahu menggunakan dana hasil IPO?

Jawapan kepada soalan-soalan ini jauh lebih penting daripada sekadar melihat jumlah permohonan yang diterima.

1. Fahami Perniagaan Syarikat

Perkara pertama yang perlu dinilai ialah model perniagaan syarikat. Jangan melabur dalam syarikat hanya kerana namanya popular atau mendapat liputan media.

Sebaliknya, cuba fahami:

  • apakah produk atau perkhidmatan yang ditawarkan,
  • siapa pelanggan utamanya,
  • bagaimana syarikat menjana keuntungan,
  • dan adakah perniagaan tersebut mempunyai kelebihan berbanding pesaing.

Lebih mudah kita memahami perniagaan syarikat, lebih mudah juga untuk menilai potensinya pada masa hadapan.

2. Semak Tujuan Dana IPO Digunakan

Setiap prospektus IPO akan menerangkan bagaimana syarikat bercadang menggunakan dana yang diperoleh daripada pelabur. Inilah antara bahagian yang paling penting tetapi sering diabaikan.

Secara umum, penggunaan dana yang lebih positif termasuk:

  • mengembangkan kapasiti pengeluaran,
  • membuka cawangan baharu,
  • membeli mesin atau teknologi,
  • menjalankan penyelidikan dan pembangunan,
  • atau memasuki pasaran baharu.

Sebaliknya, jika sebahagian besar dana digunakan hanya untuk melangsaikan hutang, pelabur perlu menilai sama ada syarikat benar-benar mempunyai prospek pertumbuhan atau sekadar ingin memperbaiki kedudukan kewangannya. Penggunaan dana perlu dilihat dalam konteks keseluruhan syarikat dan bukan dijadikan satu-satunya faktor membuat keputusan.

3. Nilai Kedudukan Kewangan Syarikat

Walaupun syarikat belum disenaraikan, prospektus IPO menyediakan maklumat kewangan yang cukup lengkap.

Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah:

  • pertumbuhan hasil (revenue),
  • keuntungan bersih,
  • margin keuntungan,
  • aliran tunai,
  • dan tahap hutang.

Sebagai contoh, syarikat yang menunjukkan peningkatan jualan dan keuntungan secara konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini biasanya memberi gambaran bahawa perniagaannya berkembang dengan baik.

Sebaliknya, jika keuntungan tidak stabil atau hutang terlalu tinggi, pelabur perlu membuat penilaian dengan lebih berhati-hati.

4. Lihat Prospek Industri

Kadangkala syarikat yang baik berada dalam industri yang sedang perlahan. Sebaliknya, ada juga syarikat yang masih kecil tetapi beroperasi dalam sektor yang sedang berkembang pesat.

Oleh itu, pelabur perlu melihat keadaan industri secara keseluruhan.

Sebagai contoh:

  • Adakah permintaan terhadap produk syarikat dijangka meningkat?
  • Adakah kerajaan memperkenalkan dasar yang menyokong sektor tersebut?
  • Adakah trend pengguna berubah ke arah yang memberi manfaat kepada syarikat?

Prospek industri sering memainkan peranan besar terhadap prestasi saham selepas penyenaraian.

5. Fahami Sentimen Pasaran

Sentimen pasaran juga mempengaruhi prestasi IPO. Apabila pasaran saham berada dalam keadaan positif dan pelabur optimis, kebanyakan IPO cenderung menerima sambutan yang lebih baik.

Sebaliknya, jika pasaran sedang lemah akibat ketidaktentuan ekonomi atau faktor global, walaupun syarikat mempunyai asas yang kukuh, harga saham mungkin tidak menunjukkan prestasi seperti yang diharapkan pada peringkat awal.

Oleh itu, memahami keadaan pasaran semasa boleh membantu pelabur menentukan sama ada masa tersebut sesuai untuk menyertai sesuatu IPO.

Adakah IPO Sentiasa Memberikan Keuntungan?

Ini merupakan salah satu salah faham yang paling biasa dalam kalangan pelabur baharu. Walaupun banyak IPO di Bursa Malaysia pernah mencatat keuntungan pada hari pertama dagangan, tiada jaminan bahawa semua IPO akan memberikan pulangan yang sama.

Prestasi sesuatu IPO bergantung kepada pelbagai faktor seperti:

  • kualiti syarikat,
  • penilaian harga,
  • keadaan pasaran,
  • prospek industri,
  • dan sentimen pelabur.

Oleh itu, elakkan menganggap IPO sebagai “pelaburan tanpa risiko”. Setiap keputusan tetap perlu dibuat berdasarkan analisis dan bukan semata-mata kerana berharap kepada keuntungan segera.

Contoh Situasi

Bayangkan terdapat dua IPO yang ditawarkan pada masa yang sama.

Syarikat A menggunakan sebahagian besar dana IPO untuk membina kilang baharu, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mengembangkan pasaran ke luar negara. Prestasi kewangannya juga menunjukkan pertumbuhan hasil dan keuntungan yang konsisten.

Syarikat B pula menggunakan sebahagian besar dana IPO untuk mengurangkan hutang sedia ada. Dalam masa yang sama, keuntungan syarikat tidak menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Walaupun kedua-duanya menawarkan harga IPO yang menarik, ramai pelabur mungkin lebih cenderung memilih Syarikat A kerana penggunaan modal tersebut lebih berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan masa hadapan.

IPO Patuh Syariah

Bagi pelabur Muslim, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah status patuh Syariah.

Status rasmi sesuatu syarikat sebagai sekuriti patuh Syariah ditentukan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui semakan berkala yang lazimnya dibuat pada bulan Mei dan November setiap tahun. Oleh itu, pelabur yang mengutamakan pelaburan patuh Syariah disarankan menyemak status terkini sebelum membuat keputusan pelaburan.

Kesimpulan

IPO sememangnya menawarkan peluang kepada pelabur untuk menjadi antara pemegang saham terawal sesebuah syarikat. Dalam keadaan tertentu, ia juga boleh memberikan pulangan yang menarik, terutamanya jika syarikat mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan disenaraikan ketika sentimen pasaran positif.

Namun begitu, kejayaan dalam melabur IPO bukan bergantung kepada nasib atau sekadar mengikuti trend. Pelabur yang bijak akan meluangkan masa membaca prospektus, memahami model perniagaan, menilai kedudukan kewangan syarikat, melihat prospek industri serta memahami bagaimana dana IPO akan digunakan.

Akhir sekali, jangan jadikan IPO sebagai tiket untuk mencari keuntungan segera. Jadikan ia sebagai satu lagi peluang pelaburan yang perlu dinilai dengan teliti seperti mana anda menilai mana-mana saham lain. Apabila keputusan dibuat berdasarkan ilmu dan analisis, peluang untuk membina portfolio yang berkualiti dalam jangka panjang akan menjadi lebih baik.