Mixue Bakal Ke IPO Di Hong Kong

Perasan tak terdapat sebuah kedai aiskrim & minuman teh yang tiba-tiba tumbuh bagaikan cendawan di Lembah Klang sejak akhir-akhir ini?

Ia tidak lain tidak bukan adalah Mixue. Mixue ialah jenama rangkaian yang terutamanya memberi tumpuan kepada aiskrim dan minuman teh buatan segar. Mixue diasaskan oleh Zhang Hong Chao di Zhengzhou, China pada 1997. Setelah itu, ia terus berkembang di China dan kini telah melebarkan sayapnya di negara serantau termasuklah Malaysia.

Berdasarkan laman sesawang Mixue Malaysia, sudah terdapat lebih 300 kedai Mixue yang ada di Malaysia.

Sumber: Mixue Malaysia

Di kala banyak jenama lain juga turut membuka cawangan dengan sangat pesat di merata-rata, namun Mixue masih lagi mampu memberi saingan sengit. Nak tahu kenapa? Jawapannya adalah Mixue menjual produknya pada harga yang sangat murah.

Minuman paling larisnya iaitu air Lemonade dijual hanya pada RM3 manakala aiskrim pula dijual pada RM2. 

Bagaimana Mixue boleh menyediakan aiskrim serta minuman pada harga yang sangat murah?

Mixue mempunyai pasukan profesional yang mempunyai kepakaran membuat penyelidikan serta membangunkan produk mereka. Selain itu, Mixue juga mempunyai kilang untuk memproses bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan produknya. Oleh itu mereka mampu mengawal kos serta harga jualan.

Status Halal

Berdasarkan carian di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang membawa ke portal halal Malaysia, Mixue Malaysia Sdn Berhad serta pembekal aiskrimnya iaitu Wonderfood City (M) Sdn Bhd mempunyai sijil halal.

Direktori Halal Malaysia merupakan sumber maklumat bagi mengetahui produk-produk, premis makanan dan perkidmatan yang dipersijilkan halal. Maklumat merangkumi persijilan halal yang di dalam Malaysia yang disahkan oleh Jakim dan JAIN dan juga Maklumat persijilan halal luar negara ( Persijilan Halal Malaysia Luar Negara).

Sumber: JAKIM

Namun, anda mungkin ingin memastikan cawangan-cawangan juga mempunyai sijil halal. Untuk kepastian bolehlah semak di Portal Halal Malaysia.

Sudah tahu serba sedikit mengenai Mixue, apa kata kita teruskan membaca impian Mixue untuk ke IPO di Hong Kong.

Mixue ke IPO

Menurut sumber daripada CNN, Mixue Group mempunyai hasrat untuk disenaraikan di pasaran saham Hong Kong dan dijangka akan meraih dana IPO sebesar AS$1 bilion.

Pada Januari 2024, Mixue telah menghantar prospektus kepada bursa saham Hong Kong untuk disemak. Sekiranya diluluskan Mixue bakal disenaraikan di Papan Utama Bursa saham Hong Kong (HKEX).

Dalam prospektus yang telah dihantar, Mixue menyatakan bahawa hasil bersih daripada IPO akan digunakan terutamanya untuk meluaskan rantaian bekalan, membina dan mempromosikan jenama serta IP, mempertingkatkan keupayaan digitalisasi dan kecerdasan merentasi semua segmen perniagaan, serta berfungsi sebagai modal kerja untuk tujuan korporat.

Industri minuman teh boba di China pada 2023 dianggarkan bernilai AS$20.4 bilion. 

Jangkaan bagi masa hadapan pula adalah pasaran industri ini dijangka berkembang sehingga mencecah AS$167 bilion menjelang tahun 2028.

Manakala, di peringkat global pula pasaran industri ini dijangka berkembang sehingga mencecah AS$1.1 trilion menjelang tahun 2028.

Dengan IPO tersebut sudah tentu Mixue menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan boleh diskalakan sambil membina jenama yang diiktiraf di peringkat global.

Selain Mixue Group terdapat dua lagi jenama minuman teh boba juga sedang menunggu untuk ke IPO iaitu Guming Holdings dan Auntea Jenny.

Walaubagaimanapun, ketiga-tiga syarikat ini masih menunggu kelulusan daripada pengawal selia, China Securities Regulatory Commission (CSRC) kerana kebimbangan terhadap prestasi saham syarikat minuman teh yang telah disenaraikan serta sentimen konsumer yang semakin melemah.

Prestasi Syarikat Lain

Sumber: TradingView

Sebuah syarikat rangkaian teh boba iaitu Sichuan Baicha Baidao Industrial atau lebih dikenali sebagai Chabaidao telah disenaraikan Bursa Saham Hong Kong (HKEX) pada 23 April 2024. IPO tersebut berjaya meraih dana sebanyak AS$331 juta atau HKD2.59 bilion.

Harga IPO Chabaidao adalah HKD17.50. Saham tersebut jatuh 27% pada debutnya di pasaran saham Hong Kong dan ditutup pada HKD12.80. Setelah itu, saham itu terus jatuh dan harga terkini (20 September 2024) adalah HKD5.41.

Prestasi Sichuan Baicha yang teruk menyebabkan syarikat minuman yang lain belum diberi kelulusan untuk disenaraikan pada tahun ini.

Sama-sama kita tunggu perkembangan seterusnya tentang penyenaraian Mixue ke HKEX.

Previous ArticleNext Article

GTA Holdings Peroleh Kelulusan Bursa Malaysia Bagi Penyenaraian Di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) — Penyenggara penerbangan, GTA Holdings Bhd mendapat kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata kelulusan itu merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat GTA Holdings.

Beliau berkata kelulusan itu juga mencerminkan kemajuan dalam membina perniagaan sokongan penerbangan yang khusus, dengan kekukuhan keupayaan teknikal, hubungan pelanggan yang dipercayai serta kejelasan strategi pertumbuhan.

“Tawaran awam awal (IPO) ini akan membolehkan kami memperkukuh keupayaan operasi, mengembangkan perniagaan dengan menceburi segmen sokongan penerbangan lengkap serta memperluas jangkauan pasaran di Malaysia dan luar negara.

“Kami percaya langkah ini akan meletakkan GTA Holdings pada kedudukan yang lebih kukuh untuk memanfaatkan peluang dalam industri penyenggaraan dan sokongan penerbangan, di samping terus memberikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan kami,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut prospektus GTA Holdings, cadangan IPO itu akan melibatkan 329 juta saham, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 205 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 124 juta saham sedia ada, bersempena dengan penyenaraian di Pasaran ACE.

GTA Holdings menjelaskan terbitan awam tersebut merangkumi 64.57 juta saham untuk permohonan warganegara Malaysia, 12.91 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak, serta 127.52 juta saham melalui tawaran persendirian kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih.

“Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1.29 bilion saham, saham IPO itu mewakili kira-kira 25.48 peratus daripada keseluruhan asas saham syarika yand diperbesar,” katanya.

GTA Holdings memaklumkan hasil yang diperoleh daripada terbitan awam itu akan digunakan untuk membangunkan kemudahan operasi baharu, mengembangkan aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter di Asia Barat, serta mengembangkan perkhidmatan MRO bagi gear pendaratan, roda dan sistem brek pesawat.

Hasil itu juga akan digunakan untuk keperluan modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian.

GTA Holdings menjelaskan kemudahan baharu itu akan menyokong pengembangan keupayaan teknikalnya dalam aktiviti MRO, memperoleh pensijilan tambahan, meningkatkan jumlah tenaga kerja serta melaksanakan inisiatif berkaitan latihan baharu.

Hong Leong Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen tawaran tunggal bagi IPO tersebut.

— BERNAMA