Webull Malaysia Dinobatkan Sebagai “Aplikasi Pelaburan Runcit Terbaik” Pada PC.com Readers’ Choice Awards 2025

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER 2025 – Webull Malaysia, anak syarikat Webull Corporation (NASDAQ: BULL), telah dinobatkan sebagai ‘Aplikasi Pelaburan Runcit Terbaik’ pada PC.com Readers’ Choice Awards 2025. Pengiktirafan ini menandakan kejayaan besar bagi broker pelaburan runcit dalam talian yang pesat berkembang itu, serta mengiktiraf komitmen Webull dalam menyediakan platform dagangan pelaburan yang ringkas, telus dan selamat, menjadikan pelaburan lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia


“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen kami dalam menawarkan aplikasi pelaburan yang ringkas, telus, dan selamat, tiga tonggak utama yang menjadi panduan kepada setiap perkara yang kami lakukan,” kataKetua Pegawai Eksekutif Webull Malaysia, Kenneth Chan. “Misi kami adalah untuk memperkasa setiap rakyat Malaysia agar dapat melabur dengan yakin, tidak kira sama ada mereka pedagang baharu atau berpengalaman.”

Webull Malaysia telah memperkenalkan pelbagai ciri yang menjadikan aktiviti pelaburan lebih mudah dan mesra pengguna, khususnya bagi pelabur baharu. Tanpa syarat pelaburan minimum, dagangan saham pecahan, dan kadar broker yang rendah, Webull berjaya membuka lebih banyak peluang pelaburan yang mampu milik untuk semua. Platform ini turut menyokong fungsi  dwibahasa, Bahasa Melayu dan Inggeris, serta menawarkan pilihan perbankan Islam untuk deposit, di samping pilihan patuh Syariah bagi saham MY, AS, HK dan China-A agar lebih sesuai dengan keperluan pengguna tempatan. Ia membolehkan setiap rakyat Malaysia dan pelabur yang layak berdagang dengan yakin tanpa mengira latar belakang atau tahap pengalaman mereka.

Webull Malaysia turut melancarkan Global Futures, yang membolehkan pengguna berdagang niaga hadapan dan sekuriti dengan mudah. Melalui fungsi dagangan niaga hadapan, pelabur dapat berdagang dan mengurus risiko ketidaktentuan pasaran pelbagai aset bernilai seperti kripto, logam, pertanian, indeks ekuiti dan tenaga. Kejayaan ini menjadikan Webull Malaysia broker pelaburan runcit dalam talian sepenuhnya yang pertama di negara ini menawarkan pengalaman dagangan yang begitu menyeluruh.

Sorotan utama lain termasuk:

  • 0% komisen untuk saham Malaysia sehingga 31 Disember 2025, dan semakan kadar 0.025% untuk saham AS.
  • Pelancaran versi Webull Desktop untuk lebih fleksibiliti.
  • Pelaksanaan kempen #SamaSamaWebull di stesen MRT di seluruh negara.


Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan bagi mengadakan libat urus bersama komuniti, Webull Malaysia telah melancarkan kempen #SamaSamaWebull di seluruh negara. Pelbagai hadiah menarik bernilai sehingga RM80,000 turut ditawarkan melalui kempen tersebut, termasuk jam tangan Tudor, penginapan mewah di Park Hyatt Kuala Lumpur, dan iPhone 17. Berlangsung sehingga 31 Disember 2025, kempen #SamaSamaWebull menampilkan pelbagai aktiviti di stesen MRT di seluruh Lembah Klang termasuk TRX, Bukit Bintang, dan Pasar Seni, memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mencuba sendiri aplikasi Webull.

“Kempen #SamaSamaWebull diadakan untuk menyediakan cara yang menyeronokkan dan interaktif bagi rakyat Malaysia mempelajari dunia dagangan sambil menikmati pelbagai ganjaran menarik. Kami berasa amat teruja kerana dapat membawa platform kami terus kepada komuniti,” tambah Kenneth Chan.

Keselamatan kekal menjadi teras kepada misi Webull. Platform ini dikawal selia dan mematuhi sepenuhnya rangka kerja pengurusan risiko teknologi di Malaysia, serta sentiasa dipertingkatkan dengan ciri keselamatan tambahan bagi melindungi pelaburan serta data peribadi pengguna.

“Matlamat kami adalah untuk terus menjadi rakan kongsi yang dipercayai bagi rakyat Malaysia sepanjang perjalanan pelaburan mereka, meruntuhkan halangan dan menjadikan pasaran global lebih mudah diakses oleh semua,” tegas Kenneth Chan.

Sempena ulang tahunnya yang ke-25, PC.com Readers’ Choice Awards terus mengiktiraf kecemerlangan dan inovasi dalam industri teknologi. Majlis 2025, yang diadakan di Sunway Resort, menghimpunkan jenama-jenama terkemuka yang bersaing dalam pelbagai kategori, dan anugerah ini mencerminkan pendapat awam yang sebenar serta pengiktirafan terhadap teknologi yang membentuk kehidupan seharian. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Webull Malaysia, sila layari www.webull.com.my, atau ikuti Webull Malaysia di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan maklumat terkini.

Webull Malaysia kini telah menawarkan pilihan deposit ke akaun Islamik untuk kemudahan pengguna Muslim di Malaysia. Sebelum ini, semua deposit akan diletakkan dalam bank; JP Morgan Malaysia. Dengan pilihan perbankan Islam, deposit pengguna akan diletakkan dalam HSBC Amanah.

Baca lagi : Nak Buka Akaun Saham Online Dengan Webull? Dapat Antara Caj Terendah Di Pasaran

Previous ArticleNext Article

Minat Nak Jadi Remisier? Begini Caranya

Sebelum ini kami ada cerita serba sedikit tentang Best Ke Jadi Remisier? Kita dapat tahu kelebihan menjadi seorang remisier, selain daripada berkongsi ilmu dapat juga menjana pendapatan yang lumayan.

Malah Master Yus yang dahulunya dikenali sebagai seorang perempit di litar bursa, kini telah maju selangkah lagi untuk menjadi seorang remisier. Ikuti kisah beliau yang penuh inspirasi di Kisah Perempit Di Litar Bursa Kepada Seorang Remisier.

Berminat untuk menjadi remisier? Langkah pertama adalah memahami keperluan pelesenan, kelayakan dan peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Eh, nampak macam mudah je kan? Mesti kacang putih punya.

Berkenalan Dengan Suruhanjaya Sekuriti Terlebih Dahulu

Untuk menjadi seorang remisier, kita perlu tahu dulu siapa itu Suruhanjaya Sekuriti. Kalau berkaitan bank, simpanan dan takaful kita ada Bank Negara Malaysia (BNM), kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada Suruhanjaya Sekuriti atau Securities Commission (SC).

Siapakah Securities Commission (SC)?

Sumber gambar: The Malaysian Reserve

Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:

Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:

  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
  • Meluluskan terbitan bon;
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
  • Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.

Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.

Aktiviti Yang Memerlukan Lesen Di Malaysia

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 10 – fail PDF

Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita kena jadi seorang remisier yang berdaftar dengan SC. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Kalau nak promote dan jual Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun kena daftar dengan SC.

Ada Syarat Nak Jadi Remisier?

Ya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi remisier atau wakil berlesen bagi aktiviti dealing in securities.

Antara syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ialah:

  1. Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.
  2. Memenuhi kriteria fit and proper yang ditetapkan oleh SC.
  3. Memenuhi keperluan kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan.
  4. Lulus kombinasi modul peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan bagi aktiviti dealing in securities.

Untuk mengetahui kombinasi modul peperiksaan yang diperlukan, anda boleh merujuk kepada panduan modul peperiksaan CMSRL mengikut aktiviti.

Nota: Panduan modul peperiksaan ini disediakan oleh SIDC Prep, sebuah platform persediaan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Maklumat ini disediakan untuk tujuan rujukan sahaja. Calon hendaklah merujuk kepada sumber rasmi SC bagi mendapatkan keperluan pelesenan terkini.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan pelesenan boleh dirujuk dalam Licensing Handbook Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Untuk memohon lesen sebagai wakil berlesen dalam aktiviti dealing in securities, calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bagi keperluan peperiksaan, calon perlu lulus kombinasi modul SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan, antaranya:

  • Modul 6 dan Modul 7
  • Modul 6 dan Modul 18
  • Modul 7 dan Modul 17
  • Modul 17 dan Modul 18

Keperluan sebenar tertakluk kepada kategori aktiviti terkawal dan kriteria pelesenan semasa SC. Calon disarankan merujuk Licensing Handbook terkini sebelum membuat permohonan.

Nak Jadi Remisier? Ini Modul Peperiksaan SCLE Yang Perlu Anda Lulus

Kebanyakan calon yang ingin menjadi remisier memilih untuk mengambil Modul 6 dan Modul 7. Tetapi, apakah yang dipelajari dalam kedua-dua modul ini?

Modul 6 – Stock Market and Securities Law (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti)

Modul 7 – Financial Statement Analysis and Asset Valuation (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset)

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk calon warganegara Malaysia, termasuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Calon boleh merujuk laman rasmi SIDC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai struktur yuran, bahan pembelajaran dan peperiksaan.

Dah Pergi Kelas, Ambil Peperiksaan Pula

Selepas mengikuti kelas persediaan dan membuat ulang kaji, calon perlu menduduki peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) bagi modul yang ditetapkan.

Kedua-dua Modul 6 dan Modul 7 mengandungi 60 soalan objektif (Multiple Choice Questions atau MCQ) yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit.

Dengan markah lulus sebanyak 60%, calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 36 daripada 60 soalan dengan betul untuk lulus peperiksaan bagi setiap modul.

Walau bagaimanapun, calon disarankan menyemak format dan struktur peperiksaan terkini melalui laman rasmi SIDC sebelum menduduki peperiksaan.

Yuran Peperiksaan

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul, untuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Struktur yuran ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027. Oleh itu, calon perlu mengambil kira kos peperiksaan bagi setiap modul sebelum membuat persediaan untuk mendapatkan lesen dalam industri pasaran modal.

Sumber rasmi: SIDC – The SC Licensing Examinations

Senang Ke Nak Lulus?

Prestasi kelulusan berbeza mengikut modul dan tahun. Calon boleh meneliti kadar kelulusan terdahulu sebagai salah satu rujukan untuk merancang persediaan peperiksaan.

Sumber: Kadar kelulusan mengikut modul, 2015–2024

Nota: Maklumat kadar kelulusan peperiksaan ini dirujuk daripada SIDC Prep, sebuah laman latihan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Data disediakan untuk tujuan maklumat dan rujukan sahaja

Didoakan supaya anda berjaya menjadi seorang remisier, dan menjadi seorang pendidik bagi membantu lebih ramai orang terbuka mata tentang pelaburan saham patuh syariah di Malaysia.

Memang nampak macam senang, tetapi realitinya kita perlu bersabar kerana ianya mengambil masa beberapa bulan juga, daripada saat pergi ke kelas, belajar daripada buku, ambil exam olok-olok, ambil exam sebenar, dan akhirnya dapat sijil mengatakan “Tahniah, Anda Lulus”!

Soalan Lazim Tentang Cara Menjadi Remisier

1. Berapa umur minimum untuk menjadi remisier?

Calon perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

2. Adakah wajib lulus Modul 6 dan Modul 7?

Tidak semestinya. Terdapat beberapa kombinasi modul SCLE yang dibenarkan bagi aktiviti dealing in securities, tertakluk kepada keperluan pelesenan SC.

3. Berapakah yuran peperiksaan SCLE pada tahun 2026?

Bagi calon warganegara Malaysia, yuran peperiksaan ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk tempoh 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027.

4. Berapa soalan dalam peperiksaan Modul 6 dan Modul 7?

Setiap modul mengandungi 60 soalan objektif yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit. Markah lulus ialah 60%, bersamaan sekurang-kurangnya 36 jawapan betul.

5. Berapa lama masa diperlukan untuk menjadi remisier?

Tempoh bergantung kepada persediaan calon, jadual peperiksaan, kelulusan modul dan proses permohonan lesen. Tiada satu tempoh tetap yang terpakai kepada semua calon.