Cadangan Pengambilalihan Great Eastern Untuk Pertingkat Kedudukan Pasaran Di Malaysia – S&P

SINGAPURA, 4  Okt (Bernama) — Cadangan pengambilalihan AmMetLife Insurance Bhd (AML) dan AmMetLife Takaful Bhd (AMT) oleh Great Eastern Holdings Ltd akan meningkatkan kepimpinan pasarannya dalam pasaran insurans dan takaful Malaysia, kata S&P Global Ratings.

Kumpulan Great Eastern yang berpangkalan di Singapura menggunakan anak syarikatnya di Malaysia – Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd (GELM) dan Great Eastern Takaful Bhd (GETB)  untuk cadangan pengambilalihan AML dan AMT daripada AMMB Holdings Bhd.

Agensi penarafan kredit itu berkata penambahan penyelesaian insurans dan perlindungan kekayaan AML dan AMT akan menambah penawaran produk kumpulan Great Eastern.

Perkongsian pengedaran eksklusif selama 20 tahun untuk semua produk insurans hayat dan takaful keluarga Malaysia melalui rangkaian anak syarikat perbankan AMMB akan meningkatkan kebolehcapaian kumpulan di Malaysia.

“Kami menjangkakan permodalan prospektif kumpulan Great Eastern selepas cadangan pengambilalihan itu kekal kukuh, mendapat manfaat daripada keuntungan dan pengekalan meraih keuntungan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Setakat 30 Jun 2023, ekuiti pemegang saham kumpulan Great Eastern berjumlah S$7.4 bilion (S$1=RM3.43) dengan keuntungan bersih sebanyak S$445.2 juta berdasarkan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) 17.

“Kami menjangkakan kumpulan Great Eastern akan menggunakan wang tunai daripada GELM dan GETB untuk membiayai cadangan pengambilalihan itu dan perkongsian pengedaran eksklusif yang berjumlah RM1.21 bilion (S$352 juta),” kata S&P Global Ratings.

GELM adalah syarikat insurans hayat terbesar dan GETB adalah antara lima syarikat takaful terbaik di Malaysia.

Penyelesaian urus niaga yang dicadangkan itu adalah tertakluk kepada kelulusan kawal selia.

— BERNAMA

TAG: Singapura, S&P Global Ratings, Great Eastern Holdings Ltd, AMMB Holdings Bhd, pengambilalihan

Previous ArticleNext Article

Penjagaan Kesihatan: Program Rintis MediAsas Bakal Bermula Akhir Julai

Saranan WAJARAN TINGGI kekal

Program perintis untuk MediAsas, iaitu Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai. Walaupun senarai hospital yang menyertai program ini masih belum diumumkan, kami menjangka pengendalipengendali fasiliti perubatan yang kami kaji akan menyertainya, walaupun secara pilihan. Premium bulanan indikatif berlingkungan antara MYR60 dan MYR550, manakala harga muktamad akan ditetapkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Apa itu MediAsas?

Ia merupakan produk asas MHIT yang direka untuk menambah baik tahap kemampuan sambil bertindak sebagai batu loncatan ke arah pelaksanaan berperingkat sistem bayaran mengikut diagnosis pesakit (DRG). Dua produknya iaitu Medi Asas Teras (pelan biasa) dan MediAsas Fleksi (pelan tambahan), akan dilancarkan secara rintis di Lembah Klang sepanjang tempoh tiga bulan sehingga Okt 2026.

Program rintis ini melibatkan enam syarikat insurans dan takaful, iaitu AIA, Allianz Malaysia (ALLZ MK, BELI, TP: MYR23.90), Great Eastern Malaysia, Prudential BSN Takaful, Etiqa, dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga (STMB MK, NEUTRAL, TP: MYR3.60), dan hospital-hospital terpilih. Premium bulanan indikatif dijangka berlingkungan antara MYR60 dan MYR550 untuk individu yang menyertai pelan tersebut sehingga usia 70, dengan liputan dilanjutkan sehingga usia 85. Harga akhir akan disahkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Ciri-ciri utama dan bakal implikasi.

Kertas Putih untuk pelan MHIT Asas yang diterbitkan sebelum ini menggariskan potongan MYR500 di samping mekanisme bayaran bersama (co-payment) dua tahap, dengan tiada bayaran bersama untuk hospital Tahap 1 (rangkaian dalaman) dan bayaran bersama sebanyak 20% (terhad padaMYR3,000 bagi setiap kecacatan) untuk hospital Tahap 2 (luar rangkaian).

Dua kesan penting:

i) Hospital yang tidak terpilih sebagai hospital panel pilihan mungkin akan mengalami tekanan terhadap bilangan pesakit (kesan terhadap pengendali premium seharusnya kecil memandangkan tumpuan mereka pada kes-kes yang lebih serius

ii) penetapan harga yang dibandingkan dengan hospital swasta bertahap lebih rendah hingga sederhana mungkin memerlukan pengendali premium untuk menawarkan pakej yang lebih seragam dan cekap kos, sekali gus membataskan keupayaan mereka untuk mengewangkan nilai jenama premium untuk segmen M40.

Menyentuh hal tersebut, kami berpendapat bahawa KPJ Healthcare berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pelaksanaan MHIT dan DRG kelak, khususnya menerusi rangkaian luas hospital sekunder/komuniti miliknya yang beroperasi dengan asas kos yang lebih rendah, dengan ruang untuk menampung lebih banyak bilangan pesakit dan seterusnya mungkin memelihara margin bawah struktur pembayaran balik berasaskan DRG.

Risiko-risiko negatif utama, kos mengurus lebih mahal daripada anggaran, kunjungan pesakit dan pertumbuhan intensiti hasil lebih rendah berbanding jangkaan, dan perubahan dasar yang buruk. Sekiranya nilai USD melemah dengan ketara, IHH Healthcare mungkin mengalami kesan FX yang buruk terhadap perolehannya di luar negara manakala Duopharma mungkin meraih manfaat daripada pelepasan kos terhadap bahan farmaseutikal aktif (API) diimport.