
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) — Pelaksanaan keperluan pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) bertujuan untuk menggalakkan kemampanan dan mampu dimiliki, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
“Dokumen Dasar Perniagaan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan bertujuan untuk menggalakkan penawaran MHIT yang berterusan dan lebih mampu milik berikutan inflasi kos perubatan yang terus meningkat,” katanya.
Pada 2023, Malaysia mencatatkan inflasi kos perubatan sebanyak 12.6 peratus, jauh lebih tinggi daripada purata global sebanyak 5.6 peratus, menurut bank pusat itu dalam kenyataan di sini hari ini.
Berkuat kuasa 1 Sept 2024, katanya penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) dikehendaki menawarkan pilihan kepada pengguna untuk membeli produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama.
“Pengguna yang telah membeli produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama boleh mengekalkan produk MHIT sedia ada mereka.
“ITO juga boleh terus menawarkan produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama kepada pengguna baharu,” katanya.
BNM berkata dengan adanya produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama, pengguna dapat memilih produk MHIT pada kos yang lebih rendah berdasarkan kemampuan kewangan dan keperluan mereka.
Katanya produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama bukanlah sesuatu yang baharu dalam pasaran Malaysia.
“Berdasarkan pemerhatian semasa, tahap premium/sumbangan untuk produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama didapati lebih rendah sebanyak 19 peratus hingga 68 peratus berbanding produk yang serupa tetapi tidak mempunyai ciri-ciri tersebut. Tahap premium/sumbangan ini bergantung kepada tahap pembayaran bersama yang dipilih,” katanya.
Menurut BNM, ITO juga dikehendaki menawarkan pelbagai tahap pembayaran bersama yang memenuhi keperluan kewangan dan situasi pengguna.
Pembayaran bersama tertakluk pada had maksimum yang ditetapkan oleh ITO
Pembayaran bersama juga tertakluk pada had maksimum yang ditetapkan oleh ITO bagi mengehadkan jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh pemilik polisi/peserta takaful.
Bagi meningkatkan lagi tahap mampu milik MHIT serta melindungi kepentingan pengguna, Dokumen Dasar Perniagaan juga menetapkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh ITO seperti yang berikut:
• Pembayaran bersama tidak terpakai dalam keadaan berikut:
▪ Rawatan kecemasan, termasuk untuk kes kemalangan;
▪ Rawatan pesakit luar untuk rawatan susulan bagi penyakit kritikal seperti kanser atau dialisis buah pinggang; dan
▪ Rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan.
• ITO perlu memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada sebarang kesulitan kewangan atau keadaan yang dihadapi oleh pemilik polisi/peserta takaful. ITO boleh menggunakan budi bicaranya untuk memberikan pengecualian terhadap pembayaran bersama dalam keadaan sedemikian.
BNM berkata pengambilan produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama yang lebih meluas secara beransur-ansur bertujuan untuk membantu membendung inflasi kos perubatan di Malaysia melalui kawalan terhadap penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berlebihan.
Katanya langkah ini dilaksanakan bersama-sama pembaharuan perkhidmatan penjagaan kesihatan lain yang terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan yang telah diterbitkan oleh kerajaan.
“Ini termasuk meningkatkan ketelusan kos perubatan supaya pengguna dapat membuat pilihan yang sesuai apabila mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Oleh itu, pendekatan seluruh negara diperlukan untuk membendung inflasi kos perubatan sepanjang rantaian nilai penjagaan kesihatan,” katanya.
— BERNAMA










