KPK Kumpul Data Sebelum Cadangan Semakan Semula WPL Ke Atas Minyak Sawit Dihantar Ke MOF – Johari

TAIPING, 6 Julai (Bernama) — Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengumpul data berkaitan kos yang terlibat daripada semua pemain industri minyak sawit di negara ini sebelum cadangan semakan semula levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata cadangan tersebut akan dihantar kepada MOF sebelum pembentangan Belanjawan 2025.

“Kita buat satu purata dan melihat sama ada kos untuk mengeluarkan satu tan minyak sawit telah mencecah RM3,000. Jika harga pasaran CPO (minyak sawit mentah) tidak mencecah RM3,500, takkan kita nak panggil WPL?

“Sekarang kos dah meningkat. Sebelum bajet (cadangan diserahkan kepada MOF),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang Kali Ke-36 Tahun 2024 di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, Johari berkata harga minyak sawit akan menjadi tidak kompetitif berbanding negara-negara pengeluar lain jika WPL ke atas minyak sawit di negara ini tidak disemak semula.

Sebelum ini, KPK telah meneliti isu levi keuntungan luar biasa yang dibangkitkan oleh penggiat industri selain turut mengadakan perundingan dengan pihak berkaitan.

Kadar WPL sebanyak 3.0 peratus dikenakan terhadap harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 satu tan di Sabah dan Sarawak.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840