Malaysia Dijangka Catat Pertumbuhan Sederhana 3.9 Peratus Pada Suku Pertama 2023 — Kenanga Research

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia diunjur menyederhana kepada 3.9 peratus pada suku pertama 2023 (S1 2023) di tengah-tengah risiko kelembapan ekonomi global, kata Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata kelembapan ekonomi global serta jangkaan peningkatan inflasi dijangka menjejaskan prestasi eksport negara dan harga komoditi.  

Ini, katanya, boleh membawa kepada langkah mengetatkan lagi kewangan menerusi kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh bank negara.

Bagi kali kelima berturut-turut, BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari ini. 

“Bagaimanapun, kami melihat risiko pertumbuhan perlahan itu terhad memandangkan risiko politik yang rendah, susulan kejayaan pembentukan kerajaan perpaduan dan perbelanjaan swasta yang kukuh yang disokong oleh pelbagai sokongan dasar seperti penyambungan pemberian subsidi dan program pindahan tunai bagi kumpulan B40, serta impak positif daripada kelonggaran dasar sifar COVID-19 China. 

“Selain itu, kedatangan pelancong yang mula meningkat akan terus menyokong pemulihan dalam subsektor pelancongan ditambah dengan keadaan pasaran buruh yang semakin bertambah baik, terutamanya dalam sektor perkhidmatan,” katanya.  

Sehubungan itu Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2023 pada 4.3 peratus susulan normalisasi dalam ekonomi domestik, ketika negara beralih beransur-ansur ke fasa pasca pandemik.  

Ia juga berkata kerajaan dijangka meneruskan belanjawan pengembangan sederhana pada 2023, dengan hanya semakan kecil akan dibentangkan semula pada 24 Februari depan dan meneruskan pelbagai subsidi untuk melindungi rakyat daripada impak kenaikan kos hidup.  

Pada masa depan, langkah-langkah kerajaan untuk mengurangkan kos hidup, ditambah dengan kekukuhan ringgit, permintaan global yang perlahan dan rantaian global yang bertambah baik susulan pembukaan semula sempadan China, mungkin akan membawa kepada inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing kepada purata 2.5 peratus dan 2.3 peratus pada 2023.

Sementara itu, ringgit dijangka lemah berbanding dolar AS sekitar 4.48 pada Suku Pertama 2023 berikutan peningkatan perbezaan dasar monetari BNM-Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

“Bagaimanapun, melangkah ke Separuh Kedua 2023, ringgit dijangka melantun semula dan mengukuh sekitar 4.11 pada penghujung 2023,” kata Kenanga Research.

Permintaan asing bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dijangka sederhana pada Separuh Pertama 2023 di tengah-tengah minat risiko global yang lemah sebelum kembali kukuh bermula Separuh Kedua 2023 dan seterusnya selepas kitaran langkah-langkah mengetatkan monetari oleh kebanyakan bank pusat utama dunia berakhir dan sentimen risiko global mula meningkat. 

Firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran akhir 2023 bagi hasil MGS 10 tahun kepada 3.70 peratus daripada 3.80 peratus sebelumnya (2022: 4.07 peratus). 

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA