Ringgit Dinilai Secara Tidak Adil Berbanding Dolar AS – Timbalan Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Pertumbuhan ekonomi China yang terus tidak menentu serta krisis geopolitik baru-baru ini telah meningkatkan lagi permintaan terhadap dolar AS yang dianggap sebagai aset selamat, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

“Banyak yang telah dilakukan untuk meningkatkan prestasi ringgit berbanding dolar AS, tetapi malangnya banyak pihak yang menganggap dan menggunakan prestasi ringgit sebagai penunjuk atau pengukur kedudukan ekonomi negara. 

 “Penilaian sebegini tidak adil kerana tidak mengambil kira prestasi mata wang secara keseluruhan, kekukuhan dan asas-asas ekonomi negara dan prospek pada masa hadapan,” katanya sebagai ahli panel Forum Ekonomi Kebangsaan (NEF) 2024 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan (NCCIM), di sini, hari ini. 

Adnan Zaylani berkata, apabila membandingkan dengan negara rakan serantau, sejak awal 2022 hingga sekarang, ringgit sebenarnya didagangkan lebih kukuh berbanding yen Jepun, dolar Taiwan serta won Korea dan hanya susut sedikit berbanding renminbi China, rupiah Indonesia dan rupee India.

“Keadaan ini juga mengesahkan pandangan bahawa kita sedang melalui kitaran pengukuhan dolar AS dan bukannya kelemahan nilai ringgit.

“Dari perspektif pertumbuhan, Malaysia terus mencatatkan pengembangan dan peningkatan kegiatan ekonomi, seiring dengan inflasi yang rendah dan stabil,” katanya. 

Beliau berkata walaupun ringgit dijangka mencerminkan asas-asas ekonomi negara pada tempoh jangka panjang, dalam tempoh terdekat ini unit tempatan masih menghadapi tekanan yang serius daripada kekukuhan dolar AS secara keseluruhan.

“Kadar faedah AS yang tinggi dijangka berterusan untuk beberapa waktu. Keadaan ini telah mempengaruhi tingkah laku dalam kalangan pelabur, korporat, pengeksport dan pengimport serta orang ramai. Sebagai contoh, terdapat minat yang tinggi untuk melabur dalam aset mata wang asing.

“Tambahan lagi, pengeksport boleh memilih untuk memegang mata wang asing manakala pengimport melakukan pembelian lebih awal dan beberapa syarikat korporat juga telah mempercepat bayaran balik hutang mata wang asing,” katanya.

Menurutnya, tindakan ini yang secara berterusan akan mengakibatkan nilai ringgit semakin lemah yang seterusnya menyebabkan trend ini berpanjangan.

“Penurunan nilai yang berlebihan akan menyebabkan kos yang tinggi bagi perniagaan yang mempunyai pergantungan import yang lebih besar.

“Trend ini juga mengakibatkan sentimen negatif yang berpanjangan terhadap ekonomi dan pasaran negara. Sentimen negatif inilah yang perlu kita tangani,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai bagaimana BNM akan menanganinya, Adnan Zaylani berkata, pertama sekali, bank pusat akan menggunakan instrumen utamanya untuk mengekalkan kestabilan dan membendung penurunan nilai yang berlebihan dalam pasaran.

“Kami telah melakukan intervensi, iaitu menjual mata wang asing dan membeli ringgit. Intervensi ini telah dilakukan sejak beberapa lama,” katanya.

Kedua, katanya, BNM telah mengadakan libat urus dengan pasaran untuk menggalakkan aliran ke dalam pasaran pertukaran asing, berbincang dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membawa balik dan menukar pendapatan asing mereka.

Dan yang ketiga, BNM terus meneliti cara untuk menggalakkan lagi syarikat korporat dan perniagaan untuk membawa balik mata wang asing mereka.  

 Sebagai contoh, katanya, banyak syarikat korporat mendapati lebih bermanfaat untuk tidak membawa balik mata wang asing bagi mengelakkan proses kelulusan untuk melabur semula di luar negara.

“Salah satu inisiatif yang sedang diusahakan adalah projek rintis rangka kerja kelulusan awal yang pantas untuk syarikat korporat yang membawa balik dana mata wang asing dan menukarkan dana ini kepada ringgit, bagi membolehkan mereka melabur semula di luar negara apabila tiba masanya.

 “Sambutan daripada beberapa syarikat yang kami hubungi tentang hal ini adalah sangat menggalakkan. Malah ada beberapa daripada mereka yang membawa balik dan menukarkan dana ini dengan segera.  

“Hal ini ditambah pula dengan perubahan pada kadar faedah global yang akan berlaku juga. Dengan ini, prospek ringgit kelihatan kukuh,” katanya.

Sementara itu, Adnan Zaylani berkata terdapat beberapa risiko terhadap inflasi yang boleh berpunca daripada rancangan kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi, bagaimanapun, sekiranya risiko ini berlaku, ia dijangka bersifat sementara. 

“Lebih penting lagi, rasionalisasi subsidi itu sendiri akan menjadi kemajuan besar dalam pembaharuan struktur negara secara keseluruhan. Komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan fiskal akan mengurangkan lagi defisit fiskal.

“Prospek jangka pendek kukuh kerana eksport dan perdagangan luar Malaysia telah mencatatkan pemulihan, peningkatan ketibaan pelancong dan projek pelaburan jangka panjang yang terus dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta,” katanya.

Beliau juga berkata bagi tempoh jangka panjang kerajaan telah membangunkan beberapa pelan induk nasional yang akan memberikan panduan serta hala tuju bagi pertumbuhan negara pada masa hadapan, seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk mentransformasikan ekonomi negara.

Selain itu, timbalan gabenor juga berkata sejak 2010, pelaburan langsung asing (FDI) oleh pelabur bukan pemastautin secara konsisten memberikan pulangan yang lebih baik berbanding dengan pelaburan yang dibuat oleh pelabur pemastautin di luar negara.

“Mungkin kita harus memberikan tumpuan yang lebih besar pada pelaburan dalam negeri untuk meningkatkan keupayaan, sama ada untuk pasaran domestik atau antarabangsa. Dalam tempoh dua tahun lepas, purata pulangan pelaburan untuk FDI berada pada 11.6 peratus, berbanding 7.5 peratus bagi pelaburan pemastautin di luar negara.

“Angka-angka ini merupakan bukti bahawa melaburkan modal anda di dalam negara merupakan keputusan perniagaan yang wajar,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelaburan Automotif Di Kulim: Lebih 5,000 Porsche Cayenne Dipasang, Apa Manfaatnya Kepada Ekonomi Malaysia?

Bila dengar cerita Porsche Cayenne dipasang di Kulim, mesti ada yang terus terfikir, “Eh, Porsche pun pasang dekat Malaysia?”

Apabila kita bercakap tentang pelaburan asing, perkara pertama yang sering terlintas ialah jumlah modal yang dibawa masuk ke Malaysia.

Namun, pelaburan berkualiti bukan sekadar tentang berapa bilion ringgit yang dilaburkan. Persoalan yang lebih penting ialah: Apa yang Malaysia dapat dalam jangka panjang?

Adakah pelaburan tersebut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi? Adakah syarikat tempatan mendapat peluang menjadi vendor? Adakah teknologi dan kepakaran baharu dapat dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan?

Lawatan teknikal Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ke fasiliti Inokom di Kulim pada 14 September 2026 memberikan gambaran tentang bagaimana pelaburan dalam sektor automotif boleh menyumbang kepada pembangunan keupayaan industri tempatan.

Inokom Kulim: Hab pemasangan automotif bernilai strategik

Menurut Kementerian Kewangan, Inokom mengendalikan sebuah hab pemasangan automotif seluas 200 ekar di Kulim, Kedah.

Fasiliti ini kini menghimpunkan 7 jenama dan 29 model kenderaan, dengan jumlah lebih 530,000 unit kenderaan telah dipasang sejak mula beroperasi.

Selain memenuhi permintaan pasaran tempatan, operasi Inokom turut mempunyai orientasi eksport, dengan kadar eksport mencecah 20%.

Angka ini menunjukkan bahawa aktiviti pemasangan kenderaan di Malaysia bukan semata-mata untuk pasaran domestik. Ia juga berpotensi menjadi sebahagian daripada rangkaian pengeluaran automotif antarabangsa.

Porsche di Kulim: Daripada pemasangan kepada pemindahan kepakaran

Antara fasiliti yang menjadi tumpuan lawatan ialah kilang pemasangan Porsche, yang merupakan fasiliti pemasangan pertama Porsche di luar Eropah.

Fasiliti ini dilancarkan pada 2022 dan diperluas kepada keluasan 11,000 meter persegi pada 2024 bagi menyokong pemasangan model Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé.

Menurut Kementerian Kewangan, sehingga Mac 2026, lebih 5,000 unit model tersebut telah dipasang di Kulim.

Persoalannya, apakah nilai sebenar di sebalik angka 5,000 unit ini?

Dalam industri automotif, pemasangan kenderaan berjenama premium memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal, kawalan kualiti, kejuruteraan proses dan pemahaman terhadap piawaian pengeluaran global.

Ini bermakna manfaat pelaburan tidak semestinya terhad kepada nilai kenderaan yang dihasilkan. Ia juga boleh merangkumi pembangunan kemahiran, pengalaman operasi dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk mengendalikan proses pengeluaran yang lebih kompleks.

100% tenaga kerja rakyat Malaysia

Satu lagi perkara yang diketengahkan dalam lawatan tersebut ialah tenaga kerja Inokom yang terdiri daripada 100% rakyat Malaysia.

Kementerian Kewangan turut berkongsi kisah Eisqil Yuliana, yang memulakan kerjaya melalui program PROTÉGÉ Sime pada 2019 sebelum menyertai Inokom sebagai jurutera proses.

Beliau kini mengetuai bahagian Kejuruteraan di Porsche Production Plant.

Kisah ini menggambarkan salah satu aspek penting pelaburan berkualiti, iaitu pembangunan bakat tempatan.

Pelaburan asing yang disertai peluang latihan, pengalaman teknikal dan laluan kerjaya boleh membantu meningkatkan keupayaan tenaga kerja Malaysia. Dalam jangka panjang, kemahiran ini berpotensi digunakan bukan sahaja dalam satu kilang, tetapi juga dalam keseluruhan ekosistem industri automotif.

Namun, untuk menilai kesan sebenar kepada pasaran buruh, data seperti jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi, pertumbuhan gaji, peluang kenaikan pangkat dan jumlah tenaga kerja yang menerima latihan khusus juga perlu dilihat.

RM3 bilion kepada vendor tempatan

Pelaburan dalam sektor automotif turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat yang berada di luar kawasan kilang.

Menurut Kementerian Kewangan, kira-kira RM3 bilion telah disumbangkan kepada vendor tempatan, merangkumi komponen, logistik dan pelbagai perkhidmatan sokongan.

Inilah antara aspek penting dalam konsep kesan pengganda ekonomi.

Sebuah kilang automotif bukan hanya memerlukan pekerja di barisan pemasangan. Ia juga memerlukan pembekal komponen, syarikat logistik, perkhidmatan penyelenggaraan, pengurusan gudang, kawalan kualiti dan pelbagai perkhidmatan sokongan yang lain.

Apabila lebih banyak perolehan disalurkan kepada syarikat tempatan, peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana berkembang turut terbuka.

Bagaimanapun, nilai RM3 bilion tersebut perlu difahami mengikut skopnya. Ia merujuk kepada sumbangan kepada vendor tempatan yang dinyatakan oleh kementerian, dan tidak semestinya sama dengan nilai tambah bersih kepada ekonomi Malaysia atau keuntungan yang diperoleh oleh vendor.

Mengapa pemindahan teknologi penting?

Malaysia telah lama terlibat dalam industri pemasangan automotif. Tetapi cabaran utama adalah bagaimana untuk bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Dalam konteks ini, pelaburan berkualiti boleh dinilai melalui beberapa persoalan:

  1. Adakah syarikat tempatan mendapat peluang membekalkan komponen bernilai tinggi?
  2. Adakah tenaga kerja Malaysia menguasai teknologi dan proses pengeluaran baharu?
  3. Adakah lebih banyak aktiviti kejuruteraan, reka bentuk dan penyelidikan boleh dibangunkan di Malaysia?
  4. Adakah vendor tempatan mampu memenuhi piawaian pengeluar antarabangsa?
  5. Adakah syarikat tempatan berpeluang berkembang daripada pembekal biasa kepada pembekal strategik dalam rantaian bekalan global?

Semakin banyak aktiviti bernilai tinggi dapat dijalankan di Malaysia, semakin besar potensi pelaburan tersebut untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri tempatan.

GEAR-uP dan pendekatan capital-to-capabilities

Kementerian Kewangan mengaitkan perkembangan ekosistem Inokom dengan pendekatan capital-to-capabilities melalui program GEAR-uP di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Secara asasnya, pendekatan ini menekankan bahawa modal dan pelaburan perlu digunakan untuk membina keupayaan negara.

Ini termasuk memperkukuh sektor strategik, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memindahkan pengetahuan dan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk naik ke rantaian nilai.

Dalam sektor automotif, matlamatnya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak kenderaan. Ia juga berkaitan dengan keupayaan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih kompleks, meningkatkan standard industri serta membina syarikat tempatan yang lebih berdaya saing.

Apa yang perlu diperhatikan selepas ini?

Perkembangan Inokom di Kulim menunjukkan bagaimana pelaburan automotif boleh dikaitkan dengan pekerjaan, vendor tempatan dan keupayaan industri.

Namun, untuk mengukur kejayaan pelaburan secara menyeluruh, beberapa indikator penting perlu dipantau dari semasa ke semasa:

  • Nilai tambah domestik: Berapa banyak nilai ekonomi yang benar-benar dihasilkan di Malaysia?
  • Kandungan tempatan: Berapa besar bahagian komponen dan perkhidmatan yang diperoleh daripada vendor tempatan?
  • Produktiviti pekerja: Adakah kemahiran dan produktiviti tenaga kerja meningkat?
  • Gaji dan kerjaya: Adakah pekerjaan yang diwujudkan menawarkan pendapatan serta laluan kerjaya yang lebih baik?
  • Keupayaan vendor: Adakah syarikat tempatan berjaya memasuki rantaian bekalan global?
  • Aktiviti bernilai tinggi: Adakah Malaysia semakin terlibat dalam kejuruteraan, pembangunan teknologi dan penyelidikan automotif?

Kesemua indikator ini membantu membezakan antara pelaburan yang sekadar menambah kapasiti pengeluaran dengan pelaburan yang turut membina asas ekonomi untuk jangka panjang.

Pelaburan bukan sekadar angka modal

Daripada fasiliti pemasangan Porsche di Kulim kepada vendor tempatan dan tenaga kerja Malaysia, kesan sesuatu pelaburan perlu dilihat secara lebih luas.

Jumlah unit yang dipasang, nilai pelaburan dan kadar eksport memang penting. Tetapi nilai strategiknya juga terletak pada keupayaan untuk membangunkan bakat, memperkukuh syarikat tempatan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Kerana pada akhirnya, pelaburan yang memberi kesan jangka panjang bukan sekadar membina kilang. Ia membina kemahiran, syarikat, teknologi dan peluang ekonomi untuk generasi seterusnya.