Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) Masih Kekal Pada 3.00%

Hari ini (9 Mei 2024) Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa kadar OPR kekal pada paras 3.00%. Ini kali keenam OPR dikekalkan sejak 6 Julai 2023.

Ada yang baru pertama kali dengar OPR ke? Kalau nak tahu lebih lanjut, jemput baca Apa Itu Kadar Dasar Semalaman Atau Overnight Policy Rate (OPR) Dan 3 Kesan Penurunannya.

Pernyataan Dasar Monetari

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global terus berkembang berikutan pasaran pekerja yang berdaya tahan di beberapa negara dan pemulihan perdagangan global yang berterusan. Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun. Perdagangan global dijangka terus kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi yang berterusan. Walaupun inflasi keseluruhan dan inflasi teras global terus menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini, kadar disinflasi telah menjadi perlahan di beberapa ekonomi maju. Hal ini meningkatkan prospek kadar faedah untuk kekal tinggi bagi masa yang lebih lama, khususnya di Amerika Syarikat (AS). Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global.

Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini mencatatkan aktiviti ekonomi yang lebih giat pada suku pertama tahun 2024. Hal ini didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan eksport yang positif. Pada masa hadapan, momentum pemulihan eksport dijangka bertambah baik, disokong oleh kitaran menaik teknologi global serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan. Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar. Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.7% dan 1.8% pada suku pertama tahun 2024. Pada masa hadapan, inflasi pada tahun 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal. Prospek tahun ini bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global. Setelah mengambil kira kesan yang mungkin berlaku berikutan rasionalisasi subsidi, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing diunjurkan berpurata antara 2.0% hingga 3.5% dan 2.0% hingga 3.0% pada tahun ini.

Ringgit pada masa ini tidak mencerminkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia. Faktor luaran iaitu peralihan jangkaan berhubung dengan haluan dasar monetari di ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berterusan telah menyebabkan volatiliti yang ketara dalam aliran modal dan kadar pertukaran di seluruh rantau ini, termasuk ringgit. Inisiatif terselaras oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Companies, GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Investment Companies, GLIC) serta libat urus syarikat korporat telah membuahkan hasil, lantas mengurangkan tekanan ke atas ringgit. BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan. Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur dalam negeri akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan. MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

Keputusan dasar OPR dari awal 2023 sehingga Mei 2024.

Paras OPR Tertinggi Ialah 3.50% Pada Bulan April 2006

Pada masa itu, ekonomi sedang berkembang dengan stabil, inflasi IHP adalah pada 4.6% dan OPR yang lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.

Paras OPR Terendah Ialah 1.75% (Julai 2020 – Mei 2022)

Paras OPR terendah ialah 1.75% pada bulan Julai 2020 hingga Mei 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik COVID-19. Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Hal ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis.

Paras OPR Mei Tahun Lepas (2023) Ialah 3.00%

Setahun yang lalu, paras OPR naik 0.25% menjadikan paras OPR baharu pada 3.00%. Itulah kali terakhir OPR dinaikkan sebelum kadarnya kekal buat enam kali berturut-turut. Pada masa itu, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos yang tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi. Inflasi keseluruhan terus menurun namun inflasi teras terus melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini. Oleh itu, MPC menilai bahawa masa tersebut adalah masa yang tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar. 

Mengapakah harga semakin meningkat?

  • Harga lebih tinggi yang berlaku sekarang merupakan isu global. Meskipun inflasi telah berkurang, hal ini tidak bermaksud harga akan menjadi lebih rendah. Sebaliknya, harga meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
    • Inflasi yang rendah penting untuk mewujudkan persekitaran makro ekonomi yang kukuh dan kondusif. Rujuk Soalan Lazim 4 untuk mengetahui mengapa kita menghendaki kenaikan harga yang kecil dan stabil serta tidak menginginkan deflasi.
  • Pada tahun 2022, kos meningkat disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk gangguan bekalan yang menjejaskan aliran normal pengeluaran serta konflik ketenteraan di Ukraine. Harga komoditi yang lebih tinggi merupakan sebab utama kenaikan harga ini. Barangan berkaitan makanan adalah yang paling terkesan. Harga ini secara amnya telah stabil atau meningkat pada kadar yang lebih perlahan meskipun kekal tinggi.

  • Inflasi global dijangka terus berkurang pada tahun 2024. Walau bagaimanapun, risiko harga komoditi menjadi lebih tinggi terus wujud disebabkan oleh faktor-faktor geopolitik dan gangguan cuaca. Malaysia turut terkesan dengan faktor-faktor ini.

  • Tambahan lagi, Kerajaan telah mencadangkan pembaharuan struktur bagi menggalakkan upah yang seterusnya akan mengukuhkan kuasa beli pengguna bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup.

  • Berbanding dengan negara lain, kenaikan harga tidak begitu melampau di Malaysia. Negara kita mempunyai dasar subsidi bahan api dan kawalan harga yang menyebabkan inflasi masih rendah.

  • Walau bagaimanapun, langkah-langkah seperti ini boleh menyebabkan negara menanggung kos yang besar. Hal ini kerana Kerajaan perlu terus menanggung jumlah yang banyak untuk memastikan harga terus rendah. Tindakan ini mengurangkan jumlah yang boleh diperuntukkan oleh Kerajaan untuk perbelanjaan yang lebih produktif atau memberikan bantuan dalam bentuk lain, terutamanya kepada golongan yang paling memerlukan.

Bagaimanakah kenaikan kadar faedah boleh memberikan kesan kepada saya?

Kadar faedah yang lebih tinggi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai kurang meminjam dan lebih banyak menyimpan.

Jika anda mempunyai pinjaman, kesannya bergantung pada jenis pinjaman yang diambil.

Pinjaman berkadar tetap tidak akan terjejas.
Jumlah yang anda bayar balik kepada bank akan kekal sama. Lazimnya, kadar ini digunakan untuk pinjaman kereta.

Jika anda mempunyai pinjaman berkadar terapung, kos peminjaman akan meningkat.
Hal ini bermakna bayaran ansuran bulanan anda akan menjadi lebih tinggi. Lazimnya, kenaikan kadar ini akan memberikan kesan pada pinjaman perumahan dan sesetengah pinjaman peribadi. Bagi peminjam individu, kadar faedah pinjaman anda akan meningkat pada jumlah yang sama seperti kenaikan OPR.

Contohnya, jika OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas, kadar faedah bagi pinjaman perumahan anda juga akan meningkat kepada 3.75% sekiranya kadar sebelum ini ialah 3.50%. Ansuran pinjaman anda akan meningkat seiring dengan kadar faedah yang lebih tinggi.

Kesan peningkatan OPR.

Bila semakan OPR seterusnya?

Mesyuarat Seterusnya Jawatankuasa Dasar Monetari ialah pada 10 & 11 Julai 2024.

Ramai sangat give up dalam saham. Kawan-kawan kami pun ramai dah give up.

Tapi kenapa give up?

Sebab kita sibuk mencari rahsia, teknik, indikator dan terlalu cepat nak kaya.

Bila dah rugi, mulalah salahkan cikgu, mentor, sifu yang ajar kita.

Hidup ni tak perlu complicated sangat.

Dan tak perlu pun tengok saham ni setiap masa. Yang penting kita tahu caranya dan aplikasikan dengan betul.

Kami suka kongsikan kaedah Swing ini sebab:

  • Kita tak perlu melekat di screen
  • Kita boleh bekerja seperti biasa
  • Kurang risiko untuk rugi
  • Set siap-siap bila nak jual saham tu
  • Kurang stress

Insya-Allah berbaloi……
Sesi baharu BAKAL dibuka!! Pra-daftar dahulu untuk dapat diskaun Early-Bird dan jadi terawal yang dapat info.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Dari Gaji Cukup-Cukup, Kini Ada Duit Lebih. Apa Yang Kita Buat Untuk Upgrade Hidup?

Masa mula-mula kerja dulu, gaji aku cukup-cukup makan. Beli barang murah, makan pun janji kenyang. Tapi bila kerjaya makin stabil, income pun naik sikit demi sikit.

Kat sinilah ramai orang mula terjebak bila gaji naik, tapi duit entah ke mana. Kereta tukar, baju penuh almari, makan luar setiap hari. Akhirnya, “duit lebih” tu tak pernah terasa.

Kita tak nak ulang silap itu. Jadi bila income naik, kita mula buat beberapa perubahan kecil yang akhirnya ubah hidup kita.

1. Pilih Kualiti, Bukan Kuantiti

Dulu baju cepat lusuh sebab beli yang murah. Sekarang beli sikit je, tapi jenama berkualiti. Tahan lama, nampak kemas. Sama juga dengan gadget tak perlu setiap tahun tukar, asalkan boleh pakai lama.

Hasilnya, jimat jangka panjang dan tak perlu shopping tanpa henti.

2. Jaga Badan Dengan Lebih Serius

Bila ada duit lebih, mula pilih makanan lebih sihat. Pergi gym, buat medical check-up tahunan. Memang nampak kecil, tapi tenaga itu lain macam.

Bila badan sihat, kerja juga lebih produktif.

3. Beli Balik Masa

Kerja makin sibuk, jadi kita upah cleaner seminggu sekali. Kadang groceries juga kita beli online. Masa yang kita jimat, kita guna untuk baca buku kewangan, rehat, atau luang masa dengan keluarga.

Duit boleh cari lagi, masa tak boleh beli balik.

4. Upgrade Tidur

Kita pernah sakit belakang sebab tilam lama. Jadi kita invest dalam tilam dan bantal yang betul-betul selesa. Hasilnya tidur lebih nyenyak, bangun pagi badan segar.

Tidur berkualiti maka fokus dan emosi stabil.

5. Labur Pada Pengalaman

Daripada asyik beli barang, guna duit itu untuk pergi melancong dan hadir seminar. Bukan saja dapat pengalaman baru, tapi dapat kenal orang baru yang akhirnya buka peluang bisnes.

Barang boleh hilang, tapi pengalaman kekal dan dapat tambah nilai diri.

6. Naikkan Level Kewangan

Mula diversify pelaburan sikit dalam simpanan kecemasan, sikit dalam saham, sikit dalam unit trust. Kita juga cari penasihat kewangan lebih berpengalaman.

Income naik, tapi kalau ilmu kewangan sama, kita akan stuck.

7. Tukar Circle Sosial

Kurang keluar dengan geng yang suka “burn duit” setiap hujung minggu. Sebaliknya join komuniti bisnes dan pelaburan. Energy mereka buat kita lebih fokus nak capai target besar.

Circle kita tentukan hala hidup kita.

8. Asah Skill Baru

Kita sedar dunia kerja cepat berubah. Jadi ambil kursus online, improve komunikasi dan leadership. Skill ini jadi “backup plan” bila industri berubah.

Ilmu dan skill tak pernah rugi.

9. Jaga Mental Dan Emosi

Luangkan sikit masa untuk therapy bila perlu dan mula ambil hobi macam hiking. Mental lebih tenang, keputusan kewangan pun lebih bijak.

Mental sihat maka hidup lebih seimbang.

10. Upgrade Rumah

Ubah sikit demi sikit, lighting lebih selesa, kerusi office ergonomic, ruang kerja lebih kemas.

Rumah yang tenang buat kita lebih fokus dan gembira.

Kesimpulannya bila income naik, sebenarnya itu peluang untuk naikkan standard hidup dari semua sudut kesihatan, kewangan, masa, circle, mentaliti.

Perubahan kecil yang aku buat ni beri impak besar. Bezanya, dulu kita cuma “nampak macam cukup”, sekarang kita betul-betul rasa hidup lebih berkualiti.