8 Langkah Mengurus Kewangan Dengan Bijak dan Sistematik

Kalau kita tidak merancang, maka kita merancang untuk gagal. Kemahiran menguruskan wang adalah ilmu yang semakin penting dan berlumba-lumba orang ramai ingin mempelajarinya.

Ada orang pandai menjana pendapatan yang tinggi, tetapi tidak pandai pula menguruskan duit gaji dan kekayaan yang diperoleh. Inilah lumrah kehidupan di bandar, di mana kita sibuk dengan kerjaya kita, sehingga lupa untuk mengurus kewangan sendiri dan keluarga.

Sepatutnya kekayaan yang diperoleh itu diuruskan dengan baik, supaya setiap tahun pembayaran zakat kita bertambah, waris-waris kita mempunyai wang yang cukup apabila kita tiada lagi di muka bumi, dan dapat juga ianya disumbang semula kepada masyarakat dalam bentuk sedekah dan wakaf.

Zaman serba moden ini juga, golongan wanita sudah independent dan tidak hanya bergantung kepada pendapatan suami semata-mata. Ini kerana ramai golongan profesional juga adalah terdiri daripada kaum wanita. Jadi, adalah tidak wajar jika hanya menunggu suami sahaja memulakan pengurusan kewangan. Jika suami tidak mahu memulakan, anda seharusnya memulakan langkah untuk masa depan anda dan anak-anak.

Berikut adalah 8 langkah untuk mengurus kewangan dengan bijak dan sistematik:

1. Mempunyai Matlamat Kewangan

Anda mesti tahu apa yang anda mahukan dalam hidup. Misalnya, apa yang anda mahu pada usia persaraan? Apakah simpanan untuk persaraan nanti adalah mencukupi jika diambil kira faktor-faktor kenaikan kos sara hidup, inflasi yang berlaku saban tahun? Benar, barangkali persaraan itu hanya berlaku lagi 10, 20, 30 tahun akan datang? Namun anda harus ingat buah durian yang dimakan hari ini pokoknya bukan ditanam semalam.

Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka pendek – sederhana – panjang. Mulakan dengan matlamat paling jauh. Apabila kita mempunyai satu pandangan jauh, kita telah menetapkan langkah yang betul untuk berjaya. Kerana itulah Islam menyuruh kita berfikir mengenai mati, kerana keyakinan kita mengenai syurga neraka, kehidupan alam akhirat menyebabkan kita bersungguh-sungguh bekerja dengan penuh amanah di dunia.

2. Mempunyai Sumber Pendapatan yang Mencukupi

Dalam surah Yusuf, ayat 47 ada menyebut tentang kepentingan menanam selama 7 tahun dengan bersungguh-sungguh. Ya, bukan sekadar menanam, tetapi menanam dengan bersungguh-sungguh. Dalam erti kata lain, sama ada kita makan gaji atau bekerja sendiri kita perlu benar-benar berjaya (termasuklah memperoleh gaji tinggi) dalam bidang kita. 7 tahun zaman senang itu tadi adalah untuk menghadapi 7 tahun zaman susah. Jika kita tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi maka sukar untuk mempunyai simpanan yang mencukupi kerana kos sara hidup yang semakin meningkat.

Hari ini mempunyai satu sumber pendapatan sahaja adalah tidak mencukupi. Paling kurang kena ada pendapatan kedua iaitu dari sumber pelaburan.

3. Simpan Sebelum Belanja

Ayat 47, surah Yusuf juga menyebut dengan jelas hasil-hasil tanaman itu tadi perlu disimpan dalam bentuk tangkai dahulu selebihnya baru makan. Itulah panduan yang terbaik, iaitu menyimpan dahulu selebihnya baru dibelanjakan. Ini adalah satu petunjuk agar kita semua mempunyai disiplin atau habit delay gratification iaitu menangguhkan kepuasan.

Sekiranya anda membelanjakan semua pendapatan terlebih dahulu dan jika ada lebih baru simpan, maka itulah langkah paling berkesan untuk mencipta masalah kewangan yang kronik pada masa akan datang. Jadi, gunakan formula ini

Gaji – Simpanan = Belanja

4. Berbelanja Dengan Bijak

Anda perlu menyusun keutamaan perbelanjaan. Bermula dengan keperluan-keperluan asas hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Disusuli dengan kehendak-kehendak kemudian barulah kemewahan.

Dalam hal ini, penyata kewangan (financial statement) peribadi memainkan peranan penting sebagai langkah pertama untuk berumla. Angka-angka dalam penyata kewanganan adalah data terbaik yang anda ada sama ada selama ini anda sebenarnya banyak berbelanja untuk harta (asset) atau pun beban (liability)

Dari Penyata kewangan juga dapat menentukan sama ada kita patut menumpukan membaiki aliran tunai, menyelesaikan hutang atau dapat terus memulakan pelaburan secara serius.

5. Menguruskan Risiko Kewangan

Risiko kewangan adalah sesuatu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Apa yang anda dapat buat adalah menguruskan risiko tersebut dengan efektif. Bagi kebanyakan orang, cara paling mudah menguruskan risiko kewangan adalah dengan mengambil produk-produk takaful (insurans patuh Shariah).

Dan untuk menjadi seorang yang betul-betul berjaya dalam pengurusan kewangannya, ilmu adalah sangat penting kerana produk takaful tidak mampu menguruskan semua risiko kewangan anda. Adakah ada produk takaful yang dapat melindungi anda dari inflasi, kejatuhan ekonomi atau kemerosotan bisnes?

6. Membayar Zakat & Cukai

Zakat dan sedekah merupakan proses 3+1. Dengan banyak memberi, kita dapat menyucikan harta, melindungi harta dan mengembangkan harta sekaligus. Harta-harta yang kita beri ini sama sekali tidak berkurangan, malah semakin bertambah dengan cara yang Allah sahaja yang tahu. Zakat hanya untuk harta halal, manakala harta dari sumber haram kita perlu bersihkan 100%.

Manakala cukai pula ia adalah kewajipan seorang rakyat kepada sesebuah negara. Dari duit cukai yang kita bayar, maka ia membolehkan kerajaan memberikan kita pelbagai infrastruktur asas jalan, sekolah, longkang, hospital dan keperluan lainnya.

7. Membuat Pelaburan yang Bijak

Simpanan yang kita telah buat itu antaranya adalah untuk dijadikan modal pelaburan. Tujuan pelaburan kita adalah untuk kegunaan menunaikan haji, tabung persaraan, tabung pendidikan anak-anak, tabung percutian dan apa-apa sahaja matlamat kewangan kita. Kita perlu tahu menyusun strategi pelaburan dengan bijak. Ini kerana ramai orang yang melabur, tetapi berapa ramai yang telah melabur dengan bijak ?

8. Membahagikan Harta

Setelah kita berjaya mengumpul harta, jangan lupa menyediakan exit strategy. Ini kerana kita semua pasti mati. Pastikan harta-harta anda sudah ada penama dan jika perlu boleh gunakan wasiat, hibah, wakaf, pengsiytiharan harta sepencarian dan pemegang amanah (trustee). Itu semua dibuat berdasarkan apa kemahuan anda sendiri.

Jika harta-harta ini tidak diuruskan dengan baik, sekiranya waris-waris anda pandai menguruskannya dan dapat berpakat maka senang hidup anda dalam kubur. Jika sudah berebut harta, hukum faraid pun dilanggar sahaja.

Pembahagian harta semasa hidup juga penting sekiranya anda mempunyai anak angkat, kes anak luar nikah, anak susuan, berkahwin lebih dari seorang dan tidak mempunyai anak lelaki. Jangan sampai harta beku dan orang yang kita sayang menjadi miskin sebab kelalaian kita dalam urusan ini.

Sumber Rujukan: FB Suzardi Maulan – Rancang Wang

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.