Ketahui Kos Nak Bercerai Di Malaysia

Semua orang mengimpikan alam perkahwinan yang bahagia bersama pasangan dan keluarga masing-masing. Tiada siapa pun yang mahu mahligai yang dibina runtuh. Tetapi kadangkala, perceraian mungkin merupakan penyelesaian terbaik untuk pasangan tersebut. Di sini kami ingin kongsikan anggaran kos perceraian di Malaysia.

1. Perceraian Bagi Pasangan Bukan Islam

Bagi pasangan bukan Islam, kes perceraian akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di bawah Mahkamah Keluarga. Untuk pasangan yang memilih untuk berpisah secara baik, kos yang terpaksa dikeluarkan lebih jimat berbanding pasangan yang menghadapi ‘pertikaian’. Sebenarnya pelbagai faktor akan diambil kira dalam menetapkan kos perceraian dan ianya pasti berbeza di antara setiap kes. Berikut merupakan sekadar anggaran kos yang ditanggung oleh pasangan bukan islam.

  • Petisyen dan pelbagai yuran guaman- Permohanan Tribunal Perkahwinan dan sijil, perceraian, hak penjagaan anak dan petisyen sokongan = RM250
  • Caj guaman bagi perceraian persetujuan bersama- Bayaran perundingan serta perwakilan=RM3,000 hingga RM10,000.
  • Caj guaman bagi perceraian tanpa persetujuan bersama- Bayaran perundingan perwakilan= RM15,000 hingga RM50,000 (bergantung kerumitan kes)

Selalunya kes pasangan yang berpisah secara persetujuan bersama lebih cepat diselesaikan berbanding pasangan kes Perceraian Tanpa Persetujuan Bersama. Dan sekiranya kes tersebut berlanjutan sehingga bertahun, pastinya kos yang ditanggung semakin tinggi!

2. Perceraian Bagi Pasangan Beragama Islam

Sekiranya berlaku perceraian tanpa persetujuan bersama, kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Syariah. Berikut merupakan anggaran kos yang bakal ditanggung.

  • Permohonan dan yuran mahkamah- Testimoni penyampaian, lain-lain permohonan dan perjalanan perbicaraan mahkamah= RM250
  • Yuran guaman bagi Perceraian Tanpa Persetujuan Bersama- Bayaran perundingan serta perwakilan= RM5,000 hingga RM100,000 (bergantung kerumitan kes)

Tidak kiralah anda beragama Islam atau tidak, anda juga boleh menggunakan khidmat perantara untuk menyelesaikan kes yang melibatkan pertikaian. Kosnya juga lebih murah iaitu dalam anggaran RM5,000 hingga RM15,000.

3. Perceraian Tanpa Peguam

Sekiranya anda tidak ingin melantik peguam, anda boleh juga mewakili diri sendiri. Tetapi cara ini tidak digalakkan sekiranya kes anda itu melibatkan pertikaian. Jika anda kurang pengetahuan dalam undang-undang, perlantikan peguam adalah tepat bagi menjamin hak-hak serta kepentingan anda.

4. Bantuan Kewangan dalam Urusan Undang-undang

Bagi pasangan yang kurang berkemampuan, anda boleh memohon bantuan guaman daripada Jabatan Bantuan Guaman Malaysia. Tetapi anda masih perlu membuat bayaran untuk mendapatkan khidmat ini. Anda juga perlu lulus syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh jabatan ini. Disebabkan jabatan ini menguruskan terlalu banyak kes perceraian, masa menunggu anda mungkin lebih lama berbanding melantik peguam sendiri.

5. Sara Hidup Selepas Bercerai

Terdapat dua jenis bantuan atau nafkah yang perlu ditanggung oleh suami iaitu belanja hidup anak-anak dan juga belanja hidup isteri.Belanja ini akan ditentukan melalui rundingan peguam kedua-dua pihak atau melalui mahkamah. Pelbagai kriteria akan di ambil kira untuk menentukan jumlah belanja tersebut.

6. Kos-kos Lain

Selain itu ada juga kos-kos lain yang perlu diambil kira sepanjang perbicaraan berjalan seperti kos perjalanan, kos penjagaan anak-anak dan sebagainya.

Lihat! Kos perceraian sahaja boleh melebihi kos perkahwinan. Sebab itulah kita selalu dinasihatkan untuk memilih pasangan yang benar-benar tepat untuk diri kita. Anda boleh mempertimbangkan Perjanjian Sebelum Pernikahan. Ini sebagai langkah pelindungan sekiranya penceraian tidak dapat dielakkan. Ia merupakan satu kontrak yang menerangkan tentang pemilikan/pembahagian harta bersama dan juga perjanjian-perjanjian lain.

Sumber Rujukan: Loan Street

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.