Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih mempunyai baki hutang perlu mengemaskini maklumat pendapatan mereka secara atas talian melalui portal rasmi PTPTN.
Menurut Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, proses berkenaan boleh dibuat di ruangan ‘Pengemaskinian Maklumat Pendapatan’ bermula hari ini hingga 25 Julai.
Peminjam PTPTN yang tidak mengemaskini maklumat pendapatan tidak akan mendapat keistimewaan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Selain daripada maklumat pendapatan, peminjam juga perlu mengemaskini maklumat penting yang lain termasuk maklumat perhubungan terkini seperti alamat, nombor telefon serta alamat e-mel dan maklumat pekerjaan.
“Peminjam diingat untuk mengemaskini maklumat pendapatan yang sahih dan benar disertakan dokumen sokongan apabila diminta bagi tujuan audit,” katanya.
Yang Tak Mampu Bayar Penuh, Bayar Separuh Pun OK
Peminjam yang mempunyai kemampuan untuk membuat pembayaran balik pinjaman, bagaimanapun diminta terus membuat bayaran walaupun dalam jumlah yang kecil.
Katanya, PTPTN komited untuk melaksanakan manifesto Kerajaan bagi meringankan beban hidup yang ditanggung peminjam dengan mengeluarkan mereka daripada senarai hitam Jabatan Imigresen dan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi yang berpendapatan RM4000 ke bawah sebulan.
Sehingga kini, PTPTN telah mengeluarkan nama seramai 429,945 peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen seperti yang diumumkan 26 Jun lalu.
Cepat Update Maklumat PTPTN
Peminjam boleh layari laman web PTPTN untuk mengemaskini maklumat PTPTN atau telefon Careline PTPTN di 03-2193 3000.
PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.
Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama. Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.
Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata, “Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.
Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”
Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.
Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.
The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.
Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.