Prinsip Pareto Dalam Perniagaan

Apa itu prinsip Pareto? Prinsip Pareto atau dengan kata lain Prinsip 80/20 adalah sebuah prinsip yang pada asalnya diasaskan oleh seorang Ahli Ekonomi Itali bernama Vilfredo Pareto pada tahun 1906 dan kemudiannya diperkenalkan ke seluruh dunia oleh Dr. Joseph M. Juran pada hujung 40-an di Amerika Syarikat.

Mengikut prinsip ini, diterangkan bahawa dalam hampir semua isu di dunia ini, peratus tindakan yang sedikit (20%) akan menyumbang kepada peratusan hasil yang banyak (80%).

Setelah diteliti, ternyata prinsip ini sangat bersesuaian untuk diguna pakai dalam sesebuah perniagaan.

Contoh Prinsip Pareto

Kredit Gambar: Fatah Eref
  • 20% orang memiliki 80% kekayaan di dunia
  • 20% daripada ‘defect’ dalam produk, menyumbang kepada 80% masalah produk itu
  • 20% daripada pekerja anda adalah penyumbang 80% kepada kejayaan syarikat
  • 20% daripada pekerja anda adalah penyumbang 80% kepada masalah syarikat
  • 20% daripada barang jualan anda menyumbang kepada 80% jualan syarikat

Disebabkan oleh keberkesanan Prinsip Pareto ini, ia telah dijadikan sebagai dasar dalam merancang ekonomi sesebuah negara. Terdapat banyak negara yang menggunakan prinsip ini dalam mengolah data dan mencari keputusan mengenai langkah-langkah yang akan dirangka dalam meningkatkan ekonomi negara. Prinsip Pareto juga merupakan salah satu prinsip yang boleh digunakan dalam perniagaan dunia.

Seorang usahawan, peruncit atau pengusaha boleh menggunakan prinsip ini untuk mencari jawaban kepada masalah yang terdapat dalam perniagaan mereka. Mencari nisbah 80/20 adalah penting bagi peniaga memaksimumkan prestasi perniagaan mereka. Bagaimana prinsip Pareto ini boleh diamalkan secara efektif dalam perniagaan?

Kenalpasti Best-Seller Anda

Apa yang boleh dilakukan oleh peniaga ini adalah dengan membuat senarai jenis barangan yang telah dijual. Dalam senarai ini, peniaga perlu meletakkan barangan tersebut mengikut urutan. Jumlah jualan yang paling banyak diletakkan di bahagian atas dan jumlah jualan yang paling kecil diletakkan di bawah sekali. Ini boleh dilakukan berdasarkan jumlah kuantiti barang atau jumlah jualan untuk setiap barang tersebut.

Peniaga tentu akan dapati hanya 20% daripada produk yang menjana 80% daripada hasil jualan atau hasil keuntungan. Kemudian, peniaga perlu mengumpulkan 20% jenis barangan yang teratas dan bandingkan dengan jumlah jualan untuk masa yang sama. Adakah ia menyamai 80% daripada jumlah jualan barangan di dalamnya?

Bila dah tahu produk mana dan dah tahu jenis pelanggan macam mana, maka peniaga perlu buat perubahan pada strategi perniagaan mereka. Setelah mengetahui jenis barang yang disukai ramai yang tersenarai dalam 20% teratas, peniaga harus lebih berhati-hati menjaga stok barangan tersebut agar tidak kehabisan stok.

Layan Pelanggan Top 20% Anda

Peniaga perlu memastikan untuk kejar pelanggan dalam kategori 20% tersebut dan perbanyakkan jumlah mereka. Itulah sebenarnya pelanggan yang perlu disasarkan. Peniaga juga perlu memastikan untuk mengembangkan dan mantapkan produk yang 20% tersebut. Itulah sebenarnya produk asas perniagaan yang perlu ditolak naik setinggi-tingginya. Dengan cara ini, peniaga telah mula menjana untung dalam perniagaan mereka.

Penggunaan Prinsip Pareto dalam perniagaan anda mungkin bukan strategi yang terbaik. Walau bagaimanapun, Prinsip Pareto mengingatkan kita kembali tentang betapa pentingnya 20% dalam mana-mana keadaan, yang mana ia mungkin boleh menyumbang kepada lebih besar peratusan. Walaupun ia hanya sebagai pengamatan sahaja tetapi ia juga boleh diguna pakaidalam memperbaiki proses yang ada di sekeliling kita.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.