Apa Benda DuitNow Yang Sibuk Diperkatakan Ni?

Sejak dua menjak ni, hangat diperkatakan pasal DuitNow. Ada yang positif, tak kurang juga yang negatif.

Paling kecoh apabila pengguna CIMB Bank menerima SMS berkenaan nak terima atau tidak servis DuitNow. Kalau lihat di laman web CIMB Clicks pun ada hebahan tentang perkara ini.

Tapi sebelum itu, apa kata kita berkenalan dengan DuitNow ini terlebih dulu.

Apa Dia DuitNow Ni?

Menerusi laman web DuitNow, banyak maklumat yang boleh diperolehi. Dan DuitNow ni merupakan cara baru untuk membuat bayaran. Kita hanya perlu tahu nombor telefon sahaja. Proses pemindahan duit adalah serta-merta, selamat dan percuma.

Bagaimana DuitNow Berfungsi?

Ada dua proses yang terlibat iaitu:

1. Pendaftaran

Log masuk ke Perbankan Internet bank anda atau ke aplikasi telefon pintar penyedia perkhidmatan yang terlibat.

Kemudian cari DuitNow di bawah menu ‘Funds Transfer’ (Pemindahan Wang) atau ‘Send Money’ (Hantar Wang).

Lakukan pendaftaran sekali bagi membolehkan DuitNow menghubungkan ID anda (samada nombor telefon atau nombor Kad Pengenalan) dengan akaun bank atau akaun e-Wang anda.

2. Pemindahan

Dah daftar, proses untuk pemindahan wang cukup mudah iaitu sama seperti di atas:

Log masuk ke Perbankan Internet bank anda atau ke aplikasi telefon pintar penyedia perkhidmatan yang terlibat.

Cari DuitNow di bawah menu ‘Funds Transfer’ (Pemindahan Wang) atau ‘Send Money’ (Hantar Wang).

Masukkan ID penerima dan sahkan butiran pemindahan wang tersebut. Wang akan dipindahkan serta-merta ke dalam akaun penerima.

Kat Mana Boleh Pakai DuitNow?

Kalau dikirakan, ada 44 penyedia perkhidmatan yang kebanyakannya terdiri daripada bank-bank tempatan dan luar negara. Senang cerita, anda pasti ada akaun bank dengan mana-mana bank seperti di atas punyalah.

Ada Had Pemindahan Menggunakan DuitNow?

Bagi pihak konsumer, kita boleh pindahkan wang sehingga RM100 ribu bagi setiap transaksi. Manakala bagi perniagaan pula, boleh pindahkan wang sehingga RM100 juta bagi setiap transaksi.

Had pemindahan mungkin berubah-ubah mengikut bank. Penyedia perkhidmatan e-Wang akan mempunyai had yang lebih rendah.

Apa Kelebihan Pakai DuitNow Ni?

Kini anda hanya perlu tahu nombor Telefon, nombor Kad Pengenalan atau nombor Pendaftaran Perniagaan pihak penerima sahaja.

Tak perlu lagi ingat nombor akaun yang panjang berjela-jela. Takut nanti tersalah key-in, dapat ke orang lain pula.

Cepat, mudah dan percuma pula tu. Tiada lagi caj tersembunyi yang akan dikenakan.

Jadi Apa Yang Negatifnya Pasal DuitNow?

Bagi memudahkan pendaftaran, hampir semua orang akan didaftarkan terlebih awal. Ramai yang menerima SMS pengesahan pendaftaran secara automatik.

Ini bermakna anda tidak perlu melalui proses pendaftaran, akaun anda dah siap sedia untuk guna DuitNow ni.

Tapi nampaknya seakan-akan ramai yang masih tidak bersedia untuk menerima teknologi baru yang akan diperkenalkan oleh DuitNow ni. Ada yang takut kebocoran data peribadi mereka, ada yang takut nombor telefon mereka akan disalahgunakan dan bermacam-macam lagi.

Katanya DuitNow Ni Menguntungkan Pihak Ketiga?

Dan seperti mana projek-projek baru yang akan dijalankan, katanya kroni-kroni saja yang akan memperolehi keuntungan. Jadi siapakan di sebalik tabir DuitNow ni?

Untuk itu, jom kita berkenalan dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau PayNet.

Sumber: Laman Web PayNet

Rupa-rupanya Bank Negara Malaysia (BNM) punya PayNet ni.

Selain daripada itu, sebelas institusi kewangan turut bersama sebagai pemegang saham iaitu Malayan Banking Berhad, RHB Bank Berhad, Public Bank Berhad, CIMB Bank Berhad, AmBank (M) Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Affin Bank Berhad, Alliance Bank Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad and Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.

Masih Risau Pasal DuitNow Ni?

Dah tahu apa kegunaannya, betapa mudah nak gunakannya dan siapa di sebaliknya; masih ada yang risau pasal inisiatif DuitNow ni?

Tapi rasanya ramai tak akan risau, kalau ada maklumat awal yang tepat daripada pihak yang bertanggungjawab. Ini tidak, terkejut bila dapat SMS kata akaun DuitNow dah didaftarkan. Apa tu DuitNow pun tak diberitahu terlebih dahulu, itu yang membuatkan ramai orang yang cuak dan kurang bersetuju dengan langkah ini.

Jadi sekarang dah tahu, kita boleh lihat bagaimana kerajaan sedang berusaha ke arah ‘cashless’ dengan adanya DuitNow ni.

Previous ArticleNext Article

2 Comments

  1. Kalau kita sdh daftar duitnow d bank islam contohnya kemudian kita nak guna duitnow di maybank adakah perlu daftar duitnow d maybank lagi atau pun tak perlu sdh daftar.

  2. Maaf saya kurang paham mengenai.isu ni..jika akaun simpanan kita kosong apakah kita masih boleh mengunakan duitnow ni?tq

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian