OneWeb Lakar Sejarah dengan Misi Pelancaran Pertama Buahkan Hasil

LONDON, 1 Mac 2019 /PRNewswire/ —

  • Pelancaran enam satelit pertama merupakan langkah pertama dalam perjalanan untuk menyediakan ketersambungan global yang sebenar dan merapatkan jurang digital
  • Lancar isyarat pada permulaan kempen pelancaran satelit terbesar dalam sejarah dan peralihan daripada bukti-konsep yang berjaya kepada pengkomersialan OneWeb

OneWeb, sebuah syarikat komunikasi global dengan misi untuk membawakan fungsi ketersambungan kepada semua orang, di mana-mana jua, hari ini mengumumkan kejayaan pelancaran enam satelit jalur lebar pertamanya di atas kenderaan pelancar Soyuz dari Pusat Angkasa Guiana di Kourou, French Guiana.

Pelancaran berlaku pada 27 Februari jam 21:37 malam UTC. Enam satelit OneWeb ini dipisahkan daripada roket dalam dua kumpulan. Pemerolehan isyarat disahkan untuk kesemua enam satelit. Satelit-satelit OneWeb dikeluarkan oleh OneWeb Satellites, satu usaha sama antara OneWeb dan Airbus Defence and Space.

Pelancaran ini menandakan permulaan kempen pelancaran satelit yang terbesar dalam sejarah dan peralihan daripada bukti-konsep yang berjaya kepada pengkomersialan OneWeb. Melancarkan lebih 30 satelit bagi setiap roket, program pelancaran bulanan OneWeb akan mengembangkan gugusannya kepada lebih 650 satelit bagi membolehkan demonstrasi pelanggan pada tahun 2020 dan menyediakan liputan komersial global sepenuhnya menjelang tahun 2021.

Rangkaian OneWeb akan menyediakan kombinasi unik antara daya pemprosesan data yang tinggi, kependaman rendah, liputan global yang sebenar ke kutub dan pelbagai terminal pengguna untuk berbilang pasaran. Satelit-satelit OneWeb akan berkomunikasi dengan Bumi melalui jalur-jalur spektrum Ka dan Ku. Jalur-Ka akan digunakan untuk komunikasi antara Rangkaian Bumi (yang menghubungkan sistem OneWeb kepada Internet) dan satelit-satelit; manakala jalur Ku akan digunakan untuk komunikasi antara satelit-satelit dan terminal-terminal pengguna yang akan menyampaikan sambungan Internet kepada pengguna.

OneWeb mengumumkan semalam tentang penandatanganan oleh dua pelanggan pertamanya, memperlihatkan permintaan terhadap penyelesaian liputan global. Model perniagaan OneWeb membolehkan OneWeb menyediakan perkhidmatan secara tidak langsung melalui rakan-rakan kongsi penjual semula, atau secara terus kepada pelanggan akhir, contohnya dalam hal syarikat penerbangan atau pengendali kapal.

Adrian Steckel, Ketua Pegawai Eksekutif OneWeb, berkata: “Kejayaan pelancaran ini merupakan suatu pencapaian bersejarah untuk OneWeb dan menandakan permulaan fasa baharu untuk syarikat kami tatkala kami mula meluaskan gugusan satelit kami sebagai persediaan untuk memulakan perkhidmatan komersial sepenuhnya. Saya juga berasa bangga kerana kami dapat mengumumkan penandatanganan oleh dua pelanggan pertama kami, justeru memperlihatkan permintaan terhadap perkhidmatan OneWeb.

“OneWeb ditubuhkan untuk menyediakan akses kepada semua orang, di mana-mana jua dan pelancaran ini merupakan langkah pertama ke arah menjadikan matlamat kami suatu kenyataan serta bagi membawakan akses Internet yang amat diperlukan kepada orang ramai tanpa mengira di mana mereka berada.”

Adrian Steckel menyambung: “Sistem kami akan berupaya untuk menawarkan kependaman yang jauh lebih rendah dan kelajuan lebih pantas. Kami mereka bentuk sistem kami untuk mewujudkan jejak liputan untuk seluruh planet – termasuk kawasan luar bandar yang sebelum ini tidak terhubung, lautan dan ruang angkasa.

“Dunia kita kini semakin terhubung dan kami tidak mahu sesiapa pun ketinggalan. Gugusan kami akan menyamakan daya saing dan menghubungkan komuniti, kawasan dan industri yang sehingga kini dikecualikan daripada akses Internet yang pantas dan andal. Apa yang kami lakukan di sini merupakan satu projek yang bercita-cita tinggi dan saya amat berbangga dengan pasukan kerana membolehkan kami meraih pencapaian penting ini.”

Bagi meraikan pelancaran pertama OneWeb dan selaras dengan misi dan visi syarikat, OneWeb menyatakan komitmen untuk menghubungkan enam buah sekolah di enam kawasan yang tidak terhubung di dunia. Menerusi kempen yang dikenali sebagai #EmpowerHumanity, OneWeb akan menghubungkan sebuah sekolah di: AlaskaEcuadorHondurasKyrgyzstanNepal dan Rwanda. Setiap sekolah tersebut pula seterusnya memilih nama untuk enam satelit pertama OneWeb. Ahli-ahli dalam pasukan OneWeb telah menjelajah ke sekolah-sekolah ini untuk bertemu dengan pelajar-pelajar dan mengajar mereka tentang satelit dan angkasa. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang kempen Empower Humanity (Memperkasa Kemanusiaan) dan lihat lebih lanjut tentang sekolah-sekolah tersebut dengan mengunjungi laman sesawang OneWeb atau melalui saluran-saluran media sosial kami: TwitterInstagram dan YouTube.

Latar Belakang OneWeb

Misi OneWeb adalah untuk menyediakan akses Internet kepada semua orang, di mana-mana jua. OneWeb membina rangkaian komunikasi menerusi gugusan satelit Orbit Rendah Bumi yang akan menyediakan fungsi ketersambungan kepada berbilion-bilion individu di seluruh dunia. Rangkaiannya yang berkelajuan tinggi dan berkependaman rendah akan menawarkan penyelesaian mobiliti yang mengubah hasilnya kepada industri-industri yang bergantung pada ketersambungan global. http://www.oneweb.world

Sumber: OneWeb

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.