5 Pengajaran Keusahawanan Yang Boleh Dipelajari Daripada Seorang Atlet

Setiap perkara yang berlaku mempunyai pengajaran yang tersirat dan tersurat. Bukan itu sahaja, pengajaran juga boleh diperolehi daripada pergaulan sesama manusia. Pengajaran boleh didapati daripada bagaimana mereka mampu berjaya sejauh itu. Semua itu penting untuk pembangunan kerohanian dan sikap yang patut ada dalam diri seorang usahawan.

Begitu juga dengan pembangunan kerohanian dan sikap daripada seorang atlet. Atlet adalah mereka yang berjuang sebaik mungkin untuk mencatat kemenangan. Malah atlet dan seorang usahawan, tiada beza kerana kedua-dua individu mensasarkan sesuatu yang lebih besar.

Oleh itu, jom tengok 5 pengajaran keusahawanan yang boleh dipelajari daripada seorang atlet.

Pengajaran 1: Tidak Mudah Putus Asa

Seorang atlet tidak mudah berputus asa apabila mereka berhadapan dengan kegagalan. Bagi mereka, kegagalan itu menunjukkan kelemahan mereka dan apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiknya.

Begitu juga dengan seorang usahawan. Seorang usahawan tidak terlepas daripada kegagalan, namun begitu mereka harus percaya bahawa kegagalan adalah satu peluang untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dan berubah.

Pengajaran 2 : Gagal Sekali Tidak Bererti Gagal Selamanya

Ini adalah konsep dan kepercayaan yang digunakan oleh seorang atlet. Kita seringkali melihat atlet begitu mudah memenangi acara yang dipertandingkan, tetapi kita tak nampak berapa banyak kegagalan yang perlu ditempuhi mereka sebelum berjaya.

Seorang usahawan boleh mempraktikkan apa yang diamalkan oleh seorang atlet. Gagal sesekali bukanlah pengakhiran kepada seorang usahawan. Cara yang terbaik ialah bangkit semula dan susun semula strategi.

Pengajaran 3: Kaji Kelemahan Dan Dengar Nasihat Pakar

Setiap apa yang berlaku ada sebabnya. Bagi seorang atlet, jika mereka gagal atau tidak berjaya dalam pertandingan, mereka akan kaji kelemahan mereka dan lihat potensi yang mereka ada. Dapatkan juga khidmat nasihat daripada jurulatih yang berpengalaman.

Begitu juga dengan seorang ahli usahawan. Apabila anda berhadapan dengan kegagalan, kaji titik kelemahan dan cari solusi yang tepat untuk mengatasi kelemahan tersebut. Sebaiknya dapatkan nasihat daripada mereka yang telah berjaya, dan korek rahsia kejayaan mereka.

Pengajaran 4: Berfikiran Positif

Setelah seorang atlet berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kegagalan, untuk bangkit semula daripada kegagalan memerlukan pemikiran yang positif. Pemikiran positif akan menjadikan seorang atlet tidak terlalu tertekan dengan apa yang dihadapi mereka.

Begitu juga halnya dengan seorang usahawan. Sebelum seorang usahawan bangkit semula, mindset positif itu perlu agar ianya menjadi dorongan dan tidak takut dengan kegagalan.

Pengajaran 5: Percaya Kepada Diri Sendiri

Seorang atlet perlu percaya kepada diri mereka sendiri kerana apabila mereka di dalam pertandingan, mereka hanya mempunyai diri mereka sendiri untuk bergantung. Apabila yakin dan percaya dengan diri sendiri, maka seorang atlet mampu fokus kepada pertandingan tersebut.

Perkara itu juga boleh diadaptasikan ke dalam diri seorang usahawan. Sebagai seorang usahawan, kepercayaan diri itu penting kerana itulah kunci untuk berjaya dalam dunia perniagaan. Tiada apa yang mustahil bagi mereka yang percaya kepada diri sendiri.

Kesimpulannya, 5 pengajaran ini boleh dipelajari daripada seorang atlet, kerana atlet dan usahawan tiada bezanya. Mereka adalah seorang yang mempunyai fokus dan matlamat untuk dicapai.

Semoga pengajaran ini akan menjadi dorongan kepada anak muda yang mahu “melangkah masuk” ke dalam dunia perniagaan, atau yang telah pun menceburinya.

Jemput baca juga:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.