HTC Global Services Siap Sedia untuk Pertumbuhan Dengan Pelaburan dalam Pejabat Berprestij di Tengah-tengah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, Malaysia, 14 Mei 2019 /PRNewswire/ — HTC Global Services, penyedia perkhidmatan dan penyelesaian IT global yang terkemuka, baru-baru ini membeli premis-premis pejabat mewah di tingkat 22 Q Sentral, bangunan pejabat Gred A yang terkini di KL Sentral. Dibina di plot berkeluasan 1.85-ekar, Q Sentral ialah sebuah bangunan mesra alam di lokasi idaman, terletak antara Stesen KL Sentral dan stesen Sentral MRT.

Pembukaan besar-besaran pejabat baharu HTC di Malaysia dihadiri oleh beberapa ahli kepimpinan eksekutif, Chary Mudumby, Ketua Pegawai Teknologi, Teja Reddy, Ketua Pegawai Pemasaran dan Saji Abraham yang memimpin operasi HTC di rantau APAC, berserta perunding dan pelanggan yang dihormati. Ia merupakan detik yang membanggakan untuk seluruh HTC Global Enterprise.

“Ini merupakan peristiwa penting dalam pertumbuhan kami di rantau ini dan merupakan hasil daripada tumpuan pelanggan yang tekal, hubungan pelanggan yang kukuh serta kecemerlangan penyerahan perkhidmatan,” kata En. Madhava Reddy, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif.

HTC Global Services, sebuah organisasi yang menggaji lebih 11,000 kakitangan yang mantap, beribu pejabat di Troy, Michigan dengan pusat-pusat penyerahan berada di AS, India dan Malaysia serta telah mendorong kejayaan pelanggan menerusi penyelesaian teknologi sejak tahun 1990. HTC mewujudkan operasi di Malaysia pada tahun 2002 dan sejak itu telah menawarkan perkhidmatan kepada jenama-jenama korporat terkemuka, menerusi penglibatan dalam 30 syarikat terkemuka merentas pelbagai industri seperti perkhidmatan kewangan, insurans, minyak dan gas alih serta pengilangan semikonduktor.

Langkah untuk berpindah ke lokasi menonjol dengan kemudahan-kemudahan terkini, mengukuhkan lagi komitmen HTC kepada pelanggan dan bakat di rantau APAC. Chary Mudumby, Ketua Pegawai Teknologi, berkata, “Selain mendayakan pelanggan dalam perjalanan transformasi digital mereka, kami juga percaya untuk menyediakan kakitangan kami dengan persekitaran kerja yang kondusif, yang merangsang daya kreativiti dan menginspirasikan inovasi. Pejabat KL kami juga berperanan sebagai pusat inovasi yang menonjolkan kerja global HTC melibatkan AI, AR/VR Mobiliti dan teknologi-teknologi baru muncul yang lain untuk manfaat pelanggannya di rantau ini.”

Latar Belakang HTC Global Services

HTC Global Services menyediakan rangkaian komprehensif perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dan proses perniagaan kepada organisasi-organisasi Global 2000. Ditubuhkan pada tahun 1990 dan beribu pejabat di Troy, Michigan, AS. HTC ialah sebuah syarikat Inc. 500 Hall of Fame dan merupakan salah sebuah syarikat Asia Amerika yang paling pantas berkembang di AS. Untuk maklumat lanjut kunjungi: https://www.htcinc.com/

Sumber: HTC Global Services India Pvt Ltd

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI