7 Cara Merawat Kewangan Yang Tenat

Ada simptom-simptom berikut?

  • Gaji besar tetapi tak pernah cukup?
  • Pengurusan kewangan kelaut? Hancur? Barai? Rabak?
  • Segala jenis hutang dah bela?
  • Simpanan setiap bulan langsung zero?
  • Banyak resit daripada duit dalam dompet?
  • Tak cukup duit nak bayar hutang PTPTN?

….Itu tandanya kewangan korang sedang tenat dan patut masuk ICU.

Ada orang gaji RM4 ribu, nak beli sebuah rumah pun tak lepas sebab terbeban dengan hutang. Tapi ada yang bergaji RM2 ribu boleh beli empat buah rumah.

Jom kita ikuti tips yang diolah daripada posting Amir Syahir berkenaan 7 Cara Untuk Membaiki Kewangan Yang Tenat

1. Turunkan Taraf Hidup

Kalau sebelum ini, setiap awal bulan dapat gaji mesti ketuk pintu restoran Nandoz, Kenni Rogers, Pizza Hat, lepas ni kurangkan. Boleh makan, tak berdosa tapi janganlah sampai lupa nak menyimpan dan bayar hutang.

Jadi, berubahlah. Tahan sikit godaan nak minum air kopi mahal tu. Minum air masak hilang juga dahaga.

2. Tahan Nafsu Berbelanja

Ada jenis orang akan menggelupur setiap kali ternampak perkataan SALE 70% atau 80%. Macam alergik. Lebih-lebih lagi kalau iklan jualan murah tu melintas dekat timeline Facebook. Walaupun tak ada duit, tapi nak juga beli. Rugi tak beli masa harga promosi katanya. Kad kredit menjadi mangsa.

Lepas beli, mula lah rasa menyesal sebab benda yang sama dah pernah beli sebelum ni. Jadi, lain kali fikir dulu sebelum klik BUY NOW.

3. Potongan Gaji

Bila simpan duit dalam bank, senang nak keluarkan balik. Baik buat potongan gaji ke Tabung Haji ataupun ASB. Bank akan potong siap-siap daripada akaun bank sebagai “force saving”. Jadi, selebihnya boleh buat belanja.

4. Pendapatan Sampingan

Cari jalan tambahkan pendapatan. Zaman dah berubah. Rebut manfaat daripada ekonomi digital. Kalau tak nak jual barang boleh beri servis secara online. Kalau tahu sikit-sikit guna komputer serta berbakat menulis, menterjemah atau menaip banyak platform yang boleh kita cuba. Contohnya program eRezeki, inisiatif dari MDEC. Kerja part time komen di Facebook pun ada! 

Pusat eRezeki adalah pusat fizikal, yang menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang nak turut serta dalam program ini. Semak senarai wakil eRezeki yang dibuka kepada orang awam di sini.

Kalau jenis tak boleh duduk diam boleh cuba jadi pemandu Uber atau Grabcar. Kerajaan pun dah kasi green light. Berhenti mengeluh tapi keluarlah peluh demi menambahkan pendapatan sampingan.

5. Buat Bajet & Ikut

Rangka bajet, tulis dan ikut. Tulis apa yang ingin dibelanjakan dan yang lebih penting lagi, patuhi bajet yang telah dibuat. Kau perlu berdisiplin dalam berbelanja. Membuat bajet adalah langkah yang sangat penting.

6. Berhenti Buat Hutang Baru

Berhenti buat hutang baru. Jika dah ada hutang kad kredit RM15K, jangan pula buat hutang peribadi untuk langsaikan kad kredit tu. Gali lubang tutup lubang bukan caranya. Jangan bertangguh bayar hutang. Rosak CCRIS nanti.

7. Jangan Ikut Syaitan

Jauhkan diri daripada sifat membazir. Amalan syaitan tu. Bezakan antara barang-barang keperluan dan kehendak. Gaji bawah RM3K kenapa nak pakai kereta import. Pakai kereta tempatan sudah. Masa beli tu beringat sama duit belanja untuk maintenance. Telefon tu selagi dia hidup tak perlu tukar baru. Tak guna telefon baru tapi bila bank telefon takut nak angkat.

Guna sampai habis, pakai sampai rosak.

Anak muda biasanya ada hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi. Jenis yang sanggup buat pembiayaan peribadi ni biasanya untuk dijadikan modal skim cepat kaya. Tengok-tengok melingkup. Padan muka. Baca sini tentang peluang pelaburan yang sah serta patuh syariah.

Masa muda gilakan kereta import, tukar sport rim, tukar seat driver. Tiap bulan dapat gaji mesti pergi travel. Siap beli GoPro, DSLR bagai. Nak kahwin berhutang, nak beli kereta import RM80K pun berhutang. Lepas tu, bila masa nak simpan duit? Macam mana nak beli rumah nanti? Lepas tu marahkan orang lain yang mampu beli rumah banyak-banyak.

Kami doakan agar Allah buka pintu rezeki kalian seluas-luasnya. Kalau rasa perkongsian ilmu kali ini cukup bermanfaat, rajin-rajinlah follow FB Amir Syahir. Nak lebih inspirasi baca Tertib Dalam Kewangan. Ikuti Langkah yang Dikongsikan Gadis Ini

Posting Asal: FB Amir Syahir

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.