
Photo by Max Vakhtbovych from Pexels
Sub Topik
Tak perlu bersihkan rumah dan berangan sakan selepas masuk rumah baru. Itu bukan perkara pertama yang harus dilakukan. Perkara pertama yang lebih penting adalah kita perlu periksa dahulu keadaan rumah tersebut.
Ada orang periksa rumah sekali pandang sahaja tetapi akhirnya tidak perasan masalah yang berlaku. Antara masalah yang kemungkinan besar terjadi adalah plaster tanggal, dinding crack, tiles lompong, cat tanggal dan lain-lain lagi.
Terdapat beberapa cara untuk anda periksa rumah baru dengan betul.

Kita perlu periksa sama ada rumah baru ini mempunyai sebarang kecacatan (defect) yang perlu dibaiki. Sekiranya ada kecacatan, tulis, senaraikan dan berikan buktinya kepada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.
Apa yang perlu diperiksa pada rumah baru? Jom lihat 9 perkara penting yang perlu anda periksa! Tulis setiap kecacatan tersebut di kertas dan letakkan di bahagian yang rosak itu sebagai penanda.
1. Pintu
Selepas masuk dan azankan rumah, kita boleh mula periksa rumah dari pintu. Lihat fungsi tombol pintu dan kuncinya sama ada berfungsi atau tidak.
Buka dan tutup pintu tersebut berkali-kali untuk periksa keadaannya.
2. Tiles Lompong

Tiada masalah untuk anda ketuk tiles rumah satu persatu, jika ada tiles kosong, anda perlu minta wakil pemaju untuk tampalkan yang baru.
Anda boleh ketuk tiles dengan menggunakan duit syiling atau pemutar skru untuk mengenalpasti tiles kosong dan padat.
3. Elektrik
Periksa punca elektrik dan soket setiap satunya. Hidupkan suis utama dan semak fungsi satu persatu kipas, lampu, soket dan lain-lain lagi.
4. Meter Air
Anda boleh menyemak saliran air di pili air rumah anda. Pastikan meter air dipasang dengan baik dan air mengalir lancar. Periksa semua kepala paip, kepala shower, paip air, sinki, tangki air dan sebagainya.
5. Tingkap dan Sliding Door
Periksa semua tingkap rumah anda dengan cara tutup dan buka semaksimum yang boleh. Pastikan ia boleh dikunci dan dibuka dengan baik. Begitu juga dengan sliding door.
6. Tangga
Sekiranya rumah mempunyai tangga, pastikan pemegang tangga rumah anda tidak longgar apabila bergoyang. Begitu juga dengan tangga yang anda naiki, pastikan ia kukuh dan tidak bermasalah.
7. Bilik Air

Periksa bilik air di tingkat atas sama ada ia bocor atau tidak. Kadang-kadang, terdapat dinding bilik air yang bocor sehingga terkeluar air di syiling atas bumbung rumah anda.
Sila maklumkan kepada kontraktor atau pemaju rumah.
8. Dinding Retak
Sama seperti bilik air, pastikan dinding seluruh rumah anda tidak retak. Ia sangat penting untuk anda maklumkan segera kepada pihak bertanggungjawab.
9. Kunci Rumah
Jangan lupa periksa semua kunci rumah anda iaitu di bahagian pintu, tingkap, tandas, sliding door dan lain-lain lagi. Bahagian ini perlu diberi perhatian lebih untuk mengelakkan berlakunya kes kecurian dan kerugian.
Luangkan masa anda untuk menyemak semua sudut rumah dengan teliti dan tepat. Catatkan masalah kerosakan atau kecacatan rumah yang berlaku dan bukti gambar tersebut.
Dengan melakukan pemeriksaan rumah secara teliti, anda dapat mengelakkan diri daripada masalah di masa akan datang.















