Utusan Malaysia, Kosmo! Akan Dihentikan Mulai Rabu 21 Ogos 2019 – Berakhirlah Sebuah Legasi

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) akan menghentikan penerbitan dua akhbarnya, Utusan Malaysia dan Kosmo! bermula Khamis ini untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan.

Beberapa kakitangan syarikat itu yang dihubungi mendakwa perkara itu dimaklumkan oleh pengarang kedua-dua akhbar itu kepada kakitangan mereka petang tadi.

Kakitangan yang enggan dinamakan mendakwa pemberhentian penerbitan kedua-dua akhbar itu dipercayai bagi memberi ruang pelabur baru mengambil alih syarikat.

Mereka turut dimaklumkan pihak pengurusan akan mengadakan pertemuan dengan kakitangan kedua-dua akhbar esok, berkemungkinan bagi memaklumkan mengenai pemberhentian operasi itu secara terperinci.

“Esok mungkin hari terakhir Utusan beroperasi. Penerbitan terakhir akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! adalah pada Rabu,” katanya.

Cubaan BH untuk mendapatkan pengesahan Pengerusi Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir tidak berjaya apabila beberapa panggilan dan mesej kepadanya tidak dijawab.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan, Mohd Taufik Razak, mengesahkan kakitangan syarikat ada dimaklumkan pihak pengarang bahawa penerbitan kedua-dua akhbar itu akan diberhentikan.

Bagaimanapun, katanya, NUJ Utusan menganggap perkara itu belum boleh dianggap muktamad kerana belum ada pekeliling dikeluarkan oleh pihak syarikat buat masa ini.

“Ya, memang pihak pengarang sudah maklumkan kepada kakitangan, tetapi belum ada hitam putih setakat ini.

“Pihak pengarang mungkin dimaklumkan dalam satu taklimat dengan pihak atasan dan terus memaklumkan kepada kakitangan.

“Buat masa ini, ia masih belum muktamad. Selagi tak ada pekeliling, NUJ Utusan menganggapnya sebagai khabar angin,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, lebih 100 kakitangan Utusan, ahli NUJ cawangan syarikat itu serta beberapa bekas kakitangan yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) melancarkan piket di luar ibu pejabat Utusan di Jalan Chan Sow Lin, di sini.

Piket selama sejam bermula jam 1 tengah hari hingga 2 petang itu bertujuan menuntut pihak pengurusan menyelesaikan segera tunggakan gaji kakitangan syarikat akhbar berusia 80 tahun itu yang mencecah hampir dua bulan.

Ketika ditemui pemberita selepas piket itu, Mohd Taufik berkata, pihak pengurusan memaklumkan kepada NUJ Utusan bahawa Utusan mungkin ditutup jika pengurusan gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji itu.

“Dalam mesyuarat pengurusan bersama Abd Aziz pagi tadi, beliau maklumkan jika syarikat gagal selesaikan tunggakan gaji lebih sebulan setengah ini, langkah terakhir adalah menghentikan operasi Utusan.

“Pengurusan tidak maklumkan tempoh untuk selesaikan sebelum menutup operasi, tapi mereka akui sudah tiada langkah dan kehabisan idea bagaimana mahu selesaikan isu ini,” katanya.

Mohd Taufik berkata, NUJ Utusan dimaklumkan pengurusan berdepan masalah untuk mendapatkan dana, khususnya menerusi penjualan aset syarikat, bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji kakitangan yang hampir mencecah dua bulan.

“Ada beberapa masalah teknikal, antaranya ada aset yang nak dijual, antaranya di Petaling Jaya, didapati tidak memiliki Sijil Perakuan Kelayakan (CF).

“Disebabkan tiada CF, aset itu tidak boleh dijual kerana terpaksa mendapatkan kelulusan pihak berwajib seperti bomba dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu,” katanya.

Pada 9 Ogos lalu, NUJ Utusan dalam satu sidang akhbar mendedahkan kira-kira 250 ahli kesatuan kalangan wartawan, jurugambar dan artis grafik yang tidak mendapat bayaran gaji sejak dua bulan lalu.

Ada kakitangan Utusan dilaporkan terpaksa memberi sirap kepada bayi bagi menggantikan susu kerana tidak mampu membelinya, selain ada yang mendapatkan pinjaman ceti haram serta dikejar bank kerana gagal membayar pinjaman.

Mana-mana pihak yang mahu meringankan beban mereka boleh berbuat demikian dengan memberi sumbangan ke akaun CIMB Tabung Kebajikan NUJ – 8000822560.

Utusan Malaysia mula diterbitkan pada 29 Mei 1939 dan memainkan peranan mendokong perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Sumber: BH Online

Harga Saham Pernah Cecah RM2, Kini Tinggal 11 Sen Saja

Sumber: Trading View

Mula disenaraikan sejak tahun 2002, pada kemuncaknya harga saham Utusan Melayu ini pernah sampai RM2.26 pada Jun 2003, tetapi telah menurun sejak daripada itu.

Kalau nak tahu Utusan Melayu Bertaraf PN 17 sejak bulan Ogos 2018 yang lalu. Ianya disebabkan kegagalan syarikat membayar hutang berpunca daripada kerugian yang berterusan.

Kredit Gambar: MalaysiaStockBiz

Gaji pekerja pun tidak dibayar, apakah nasib pemegang saham Utusan ni ya?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

ACSR Keluar Laporan Kemampanan Ilustrasi untuk Membimbing Syarikat mengenai Piawaian ISSB

Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) hari ini mengeluarkan Laporan Kemampanan Ilustrasi (ISR) berdasarkan Piawaian ISSB , untuk menyokong pendedahan kemampanan di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF).

Dua ISR tersebut disediakan untuk sektor perladangan dan pembinaan. Matlamat keduadua laporan adalah untuk menyediakan rujukan ilustrasi kepada syarikat apabila menggunapakai keperluan IFRS S1 dan IFRS S2 dalam pendedahan kemampanan mereka.

Laporan ini adalah sebahagian daripada PACE (Dasar, Andaian, Kalkulator, Pendidikan), iaitu inisiatif ACSR yang menyediakan panduan dan pembinaan kapasiti untuk pelaporan kemampanan.

ISR telah disediakan dengan memberi fokus kepada industri untuk mencerminkan laporan sejajar ISSB praktikal. Dalam membangunkan ISR, ACSR telah melibatkan pemain industri untuk memahami cabaran praktikal dalam keperluan pelaporan.

Pengerusi SC dan ACSR Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, “ISR menawarkan panduan tepat pada masanya dan menyediakan contoh terperinci untuk membantu syarikat menyediakan laporan kemampanan mereka selaras dengan Piawaian ISSB.”

Inisiatif PACE lain termasuk Program Penyedia NSRF (NPP). RFN telah dilancarkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), cabang latihan SC. Sesi pertama telah dijalankan pada 15 Julai 2025, dengan sesi selanjutnya dijadualkan sepanjang tahun.

Ia termasuk modul mengenai pelaporan kemampanan menurut Laporan Kemampanan Ilustrasi, pengiraan dan pelaporan pelepasan GHG Skop 3, dan analisis senario berkaitan iklim.

ISR boleh didapati di www.sc.com.my/nsrf/resources. Untuk pertanyaan, sila hubungi Sekretariat ACSR di [email protected].