Ingin Tahu Cara 4 Kuadran (EBSI) Buat Duit?

Sebelum kita pergi lebih jauh, jom kita tengok dulu sedikit maklumat Survei Tenaga Buruh (STB). Kita ada seramai 14.99 juta pekerja di Malaysia, setakat Januari 2019. Bilangan penganggur mengikut Statistik Utama Tenaga Buruh Di Malaysia pada Januari 2019, adalah seramai 515.6 ribu orang.

Manakala seramai 7.10 juta rakyat Malaysia tidak bekerja yang berumur 15-64 tahun termasuklah suri rumah, pelajar, pesara dan mereka yang tidak minat untuk bekerja!

Tidak minat bekerja itu sebab apa ya? Musykil saya.

Baiklah,

Bagi mereka yang pernah membaca buku “Rich Dad’s Cashflow Quadrant” hasil idea daripada Robert Kiyosaki menyatakan ayah kawan beliau yang kaya  menceritakan perkara ini

Ada 4 kuadran aliran tunai seperti di atas.

Kebanyakan kita berada di kuadran pertama, iaitu:

1. E-Employee

Ramai di kalangak kita bekerja dengan majikan dan terikat dengan beberapa peraturan syarikat serta mendapat gaji di akhir bulan.

Di Malaysia, pada Januari 2019 seramai 14.99 juta yang bekerja. Mereka ini juga penyumbang kepada cukai negara dan pembeli aktif barangan secara offline dan online.

2. S-Self Employed

Seterusnya kita ada kuadran kedua iaitu mereka yang bekerja sendiri menggunakan skill yang dimiliki seperti konsultan, perniagaan jual beli online skala kecil, mengajar tuisyen, berniaga di pasar malam, dan secara perseorangan.

Jika sakit atau tidak bekerja, mereka tiada pendapatan. Ada yang membuka Enterprise mahu pun PLT kerana untuk mengasingkan wang berniaga tersebut. Ada yang suka bekerja sendiri kerana kebabasan masa dan potensi pendapatan yang lebih banyak jika rajin.

3. B-Business

Kuadran seterusnya pula bagi yang menubuhkan syarikat yang sudah ada sistem. Jika pemilik tidak bekerja, bisnes beliau masih mampu menjana pendapatan kerana ada orang yang dipercayai menguruskan perniagaannya.

Kebanyakan syarikat tahap Sdn Bhd, Berhad atau Holdings sudah ada sistem, pihak pengurusan dan pekerja untuk memastikan bisnes terus berjalan walaupun pemilik syarikat sudah tiada.

4. I-Investor

Bagi memastikan bisnes terus hidup, kita memerlukan pelabur iaitu mereka yang mempunyai lebihan wang atau wang yang diberi kepada bisnes untuk mendapat keuntungan dan meneruskan perjalanan bisnes.

Pelabur ini boleh jadi pelabur persendirian ke atas sesuatu bisnes atau pelabur secara berjemaah di pasaran saham Bursa Malaysia.

Berbalik kepada statistik tadi kepada mereka yang menganggur, apa alasan anda untuk tidak menjana pendapatan?

4 kuadran ini boleh dilakukan mengikut kemampuan masing-masing. Jika dahulu boleh dimaafkan kerana kurang kemudahan dari segi infrastruktur dan teknologi. Tetapi kini kita di tahun 2019, perkhidmatan internet sangat meluas dan hampir setiap orang mempunyai telefon kan?

Kajian dari pihak Hootsuite mendapati, 69% rakyat Malaysia mempunyai telefon dan 75% aktif menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Blog dan bermacam-macam lagi.

Gunakan peluang kuadran S-Self Employed untuk  jual sesuatu seperti skill dan jual barang secara trading. Ada juga saya juga jumpa yang terlibat dalam keempat-empat kuadran.

Masih di kuadran E-Employee, masih gigih buat perniagaan online iaitu S-Self Employed dan juga sebagai rakan niaga dalam B-Business dan juga sebagai I-Investor persendirian dan juga dalam pasaran saham.

Beliau menjana pendapatan secara aktif dan juga pasif.

Pendapatan aktif di kuadran E-Employee dan S-Self Employed.

Dan pendapatan pasif di kuadran B-Business dan I-Investor.

Anda yang membaca artikel ini juga boleh lakukan sesuatu yang hebat kan? Jom kita bersama-sama tingkatkan pendapatan sendiri dan keluarga.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan rumah.

Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB.

Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.