SC Melancarkan SRI Roadmap untuk Pasaran Modal bagi Memacu Pembangunan Mampan Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan Roadmap Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab untuk Pasaran Modal Malaysia (SRI Roadmap) yang bertujuan mewujudkan ekosistem SRI bagi memudah cara dan memacu peranan pasaran modal dalam meningkatkan pembangunan mampan Malaysia.

“Kemampanan adalah agenda global utama bagi menangani isu-isu terkini yang mempengaruhi masyarakat seperti pemberantasan kemiskinan, menyediakan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan serta menangani perubahan iklim,” kata Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC

Dianggarkan bahawa dalam sepuluh tahun akan datang, dunia memerlukan kira-kira dolar AS5 hingga AS7 trilion setiap tahun untuk membiayai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bangsa-Bangsa Bersatu manakala di Malaysia, dalam jangkaan tempoh lima tahun akan datang, pasaran memerlukan RM45 bilion untuk membiayai matlamat pembangunan jangka panjang.

“Pasaran modal dapat memainkan peranan penting untuk menangani jurang ini terutama dalam sektor hijau, sosial dan mampan,” tambah Datuk Syed Zaid Albar.

Untuk mencapai tujuan ini, SRI Roadmap lima tahun ini telah mengenal pasti 20 cadangan strategik untuk memacu pembangunan ekosistem SRI yang memudah cara dan bersemangat dan meletakkan Malaysia sebagai pusat SRI di rantau ini. Ini termasuk meluaskan pelbagai instrumen SRI, meningkatkan asas pelabur SRI, membina asas penerbit SRI yang kuat, menanamkan budaya tadbir urus dalaman yang kuat, dan mereka bentuk seni bina maklumat dalam ekosistem SRI.

SRI Roadmap dibina atas inisiatif SC bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pelaburan mampan, juga merangkumi Rangka Kerja Sukuk SRI yang mula diperkenalkan pada tahun 2014 untuk memudah cara pembiayaan inisiatif untuk memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat.

Salah satu inisiatif segera yang diperkenalkan dibawah SRI Roadmap adalah semakan Rangka Kerja Sukuk SRI SC, yang akan dikeluarkan secara serentak pada hari ini. Rangka Kerja Sukuk SRI yang dikemas kini memperluaskan senarai projek SRI yang menepati kelayakan, keperluan pendedahan dan pelaporan yang dipertingkatkan, serta menjelaskan peranan penyemak luaran. SC juga mengeluarkan risalah untuk membimbing pihak berkepentingan dan orang ramai mengenai ciri-ciri utama rangka kerja yang disemak semula.

Sehingga Oktober tahun ini, secara kumulatif terdapat 10 sukuk SRI dengan terbitan berjumlah RM4.3 bilion. Ini termasuk sukuk SRI hijau pertama di dunia untuk membiayai projek tenaga boleh diperbaharui, dan penerbitan sukuk sosial untuk membiayai pembangunan sekolah amanah.

Garis Panduan SRI Roadmap dan Rangka Kerja Sukuk SRI boleh didapati di www.sc.com.my.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Anda boleh muat turun SRI Roadmap di laman web SC.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.