Sejarah Logo Bank Negara Malaysia: Kijang, Matahari Dan Anak Bulan

Bank Negara Malaysia (BNM) adalah bank utama yang memainkan peranan penting dalam sesebuah negara yang juga merupakan bank pusat di Malaysia. Segala urusan kewangan yang melibatkan bank-bank di Malaysia akan melalui persetujuan dan arahan dari Bank Negara Malaysia.

Secara umumnya, Bank Negara berperanan menyimpan rizab, mengeluarkan mata wang, menjadi penasihat kewangan kepada kerajaan serta mewujudkan kestabilan struktur kewangan. Tapi tahukah kita asal-usul logo Bank Negara tersebut?

Cetusan Ilham Logo Bank Negara

Pada tahun 1964, Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali merupakan rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia dan telah mendapat sebuah ilham. 

Ideanya adalah untuk menjadikan motif kijang sebagai logo BNM. Menurut sumber sejarah, motif kijang ini diambil daripada duit syiling emas terawal Kesultanan Melayu, iaitu Negeri Kelantan.

Selain kijang, matahari dan anak bulan turut dijadikan imej logo bank negara. Semuanya mempunyai maksudnya yang tersendiri seperti berikut:

Kijang: Sempena kijang yang terdapat di syiling Kesultanan Melayu di Kelantan

Matahari: Melambangkan kuasa yang unggul

Anak Bulan: Melambangkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia

Sejarah Simbol Kijang Dari Negeri Kelantan

Ramai yang beranggapan bahawa imej kijang diambil disebabkan haiwan kijang, tetapi sebenar tidak sepenuhnya. Ia lebih kepada sejarah kijang dengan Tanah Melayu dan Kesultanan Melayu.

Ada juga yang mengatakan bahawa motif kijang ini adalah sempena duit syiling emas lama Kelantan iaitu kupang emas. Ketika zaman pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa lagi, Kelantan sudah terkenal dalam kalangan pedagang. 

Ramai orang sudah mengenali syiling ini dan telah menggunakannya pada zaman tersebut. Kebetulan Cik Siti Wan Kembang juga mempunyai seekor kijang kesukaannya, lalu gambar kijang ini kemudiannya diterap dan dijadikan imej di atas wang emas.

Sehingga sekarang, Kelantan menjadikan simbol kijang sebagai lambang kebesaran negeri mereka. Kini, ia diambil oleh bank negara Malaysia untuk dijadikan sebahagian daripada simbol logonya.

Itulah dia sedikit sebanyak berkaitan logo BNM yang harus kita tahu. Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan logo Bank Negara Malaysia, boleh layari laman sesawang BNM.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.