Apa Itu Inflasi, Deflasi Dan Hiperinflasi?

“We are poorer than we think”

– Tajuk akhbar The Star bertarikh 20 Oktober 2018

Ada yang berada di tahap bahaya sekiranya ketua keluarga hilang punca pendapatan, hutang tidak boleh dibayar, rumah dilelong, kereta perlu dijual atau pendidikan anak-anak terhenti. Terus keluarga tersebut dikira keluarga miskin walaupun pada asalnya mereka adalah daripada golongan pertengahan dan berpendapatan tinggi.

Bagi mereka yang berpendapatan rendah, mereka tidak mampu untuk mengambil perlindungan Takaful sendiri, potongan SOCSO mahupun simpanan di KWSP; apatah lagi instrumen simpanan dan pelaburan yang lain.

Adakah ini disebabkan oleh kurangnya pendidikan?

Tidak, kerana golongan pertama tadi yang berpendidikan tinggi pun boleh jatuh miskin sekiranya berlaku hal yang tidak diduga seperti lumpuh kekal, kematian mengejut ketua keluarga atau kegagalan perniagaan yang dijalankan.

Adalah golongan pendapatan rendah selamanya tidak mampu menaikkan ekonomi mereka?

Ini merupakan tanggapan yang salah, kerana ilmu berkenaan kewangan adalah penting. Pertama, kita kena kawal perbelanjaan. Dahulukan apa yang penting, dan kena pandai simpan wang dan selebihnya digunakan untuk melabur.

OK, kita berbalik kepada tajuk mengenai inflasi, deflasi dan hiperinflasi.

Masa zaman 90-an dulu, mesti kita pernah dengar lagu inflasi sifar dan Wawasan 2020 kan? Malangnya, kedua-dua ini tidak menjadi kenyataan.

Oh ya, inflasi adalah kadar peningkatan harga barang dan servis berbanding nilai wang kita. Kalau dulu dengan wang RM50 kita mampu beli banyak barang sehingga penuh troli, kini dengan RM50 hanya beberapa barang saja.

Bagus Ke Inflasi Ini?

Boleh jadi bagus kerana pihak bank boleh semak semula kadar faedah bank ke tahap yang lebih rendah supaya pembelian dan pembayaran daripada orang ramai berterusan.

Bagi seorang pelabur pula, kita kena berpegang kepada prinsip Warren Buffet “Be fearful when others are greedy and be greedy when others are fearful”

Tak bagus kepada rakyat kerana harga barang tinggi, kadar gaji tidak setara untuk kelangsungan hidup. Ada juga peniaga menyorokkan barang tertentu kerana untuk mengawal pembelian stok ketika harga mahal.

Bisnes yang memerlukan aliran tunai akan terasa dengan fenomena ini kerana kuasa pembeli semakin berkurang.

Apa Pula Deflasi? 

Harga barang dan servis akan jatuh akibat kurangnya pergerakan wang. Kuasa jual beli juga berkurang.

Mesti anda yang ingat ianya bagus sebab boleh beli barang dengan harga murah dengan banyak. Tetapi kita perlu ingat apabila berlakunya deflasi, kadar upah juga menurun dan apabila gaji sikit, orang akan lebih banyak menyimpan berbanding belanja walaupun harga tengah murah.

Sama juga dalam pelaburan saham. Harga saham akan jatuh dan tidak ramai pelabur mampu bertahan dan kemungkinan besar akan rugi lalu menjual saham yang dimiliki.

Bagaimana Dengan Hiperinflansi?

Photo by Download a pic Donate a buck! ^ from Pexels

Ini lagi bahaya sekiranya terjadi apabila dengan bekerja pun tidak dapat menjamin kita boleh beli apa yang diperlukan. Kemungkinan besar kita perlu bercucuk tanam dan makan ubi kayu dan bergelap tanpa bekalan elektrik.

Kenapa? 

Apabila nilai mata wang jatuh teruk dan wang dicetak secara berlebihan sehingga tiada nilai. Ia terjadi apabila hutang yang tinggi dan juga kejatuhan harga sesuatu sumber yang penting untuk negara.

Sebagai contoh negara Venezuela dan Zimbabwe yang pernah mengalami situasi ini, wang tidak lagi bernilai sehinggakan mereka menggunakan sistem barter untuk meneruskan kehidupan. 

Lebih rela mendapatkan 10 biji telur berbanding dengan memiliki wang yang banyak, sampai macam tu sekali.

Jom tonton dan share video ini!

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan unit amanah dan takaful di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.