Forex Online Trading: Perkongsian ‘Orang Dalam’

Kepada mereka yang masih berpegang kepada harus untuk trade forex secara online sehingga mengenepikan fatwa, jom kita dengar pula penjelasan daripada ‘orang dalam’ industri itu sendiri seperti yang dikongsikan oleh Tuan Muhammad Alif.

2 Tahun Dalam Industri Forex

Kepada keluarga, kawan-kawan saya yang pm saya mengenai Forex Online Trading ni, setelah 2 tahun berkhidmat, saya berhenti kerja dari syarikat itu pada September 2020. Usahlah pm tepi lagi. Yang bertanya kenapa, saya tak larat nak jawab satu persatu, maka bacalah Post ni

Saya berhenti kerja kerana ia bercanggah dengan ajaran agama saya, bukan kerana budaya kerjanya. (Best sebenarnya kerja di situ, tapi itulah…).

Hujahnya:

Cara Broker Operasi adalah pertaruhan (Judi).
Produk ditawarkan adalah tidak patuh Syariah.

Ulasannya:

1. Operasi Broker Forex Online Trading Adalah Pertaruhan (Judi)

Cara operasi secara mudahnya:

i. Semua deposit client
ii. Duit itu dimasukan dalam poket / pool Broker
iii. Client masuk order (Buy/Sell) > order masuk dalam platform broker (MT4/MT5…etc)
iv. Order tidak hantar ke market sebenar, duit kekal berada dalam pool, tetapi pergerakan “harga sebenar” market itu ditunjukan pada MT4/MT5 masing-masing (client), hanya sekadar wayang gambar
v. Yang mana client loss, duit itu akan “stay” di dalam poket / pool broker, manakala client yang tutup posisi dan untung, duit daripada poket / pool broker akan bayar kepada client yang untung

Duit daripada “poket/pool” ini juga digunakan untuk tanggung kos operasi Broker, contoh: bayar komisen IB. Trader yang rugi lagi banyak dari yang untung sehingggakan boleh kaut jutaan USD dalam masa beberapa / saat / minit / jam / hari/ minggu /bulan / tahun. Modus operandi ini seakan dengan cara Casino & Kedai Nombor Ekor beroperasi.

Ini tidak jauh dengan makna pertaruhan (Qimar), seperti ditakrif oleh Imam Al-Jurjani: “Setiap permainan yang mensyaratkan peserta yang kalah memberikan sesuatu (seperti duit) kepada peserta yang menang” (Rujuk al-Ta’rifat, ms 179)

Syeikh Ali al-Sabuni menyebut, judi adalah setiap permainan yang memberikan keuntungan bagi satu pihak dan kerugian bagi pihak yang lain. (Lihat Rawa’i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-ahkam min al-Quran, 1/279)

Kegiatan seperti ini jelas dilarang oleh Islam, seperti dinyatakan di dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah Al-Baqarah,2.219)

Tambahan pula tiada penjelasan yang konkrit diberikan tentang sejauh mana ketulusan transaksi.

2. Produk ditawarkan hanya CFD (tidak patuh syariah)

Contract for Difference (CFD). Ia adalah kontrak derivative, iaitu ambil nilai dari asset dasar untuk mendapat posisi dalam sesuatu aset TANPA MEMILIKI ASET tersebut. Tiada aset/produk yang didagangkan, hanya bermain dengan pergerakan harga.

Ia tidak hanya kepada bahagian CFD yang broker maklumkan kepada anda sahaja, malahan ini termasuk semua instrument FOREX pair, komoditi (Oil,soya…etc), Metals (Gold, Silver..etc), Indices, Crypto & mana mana instrument yang institusi kewangan/ broker B book / “Hybrid”/ tawarkan trade tanpa pemilikan asset tersebut.

10 Broker CFD Yang Popular Di Kalangan Rakyat Malaysia

Contoh:

Trader A beli (long) EURUSD 0.5 lot, dengan matlamat akan harga akan naik 50 pip, selepas itu tutup posisi dengan keuntungan.

Adakah trader A memiliki EUR? Tidak. Broker beri EUR kepada Trader A? Pun tidak. Hanya nilai tukaran ditukar kepada nilai tukaran. Apa yang berlaku adalah Trader A telah “dagangkan” sesuatu yang dia tidak ada.

Hadis Nabi SAW: “Jangan jual sesuatu yang tiada padamu” (Riwayat Abu Daud 3503, al-Nasaie ,4613, al-Tirmidzi,1232 dan Ibnu Majah, 2187. Al-Albani mengatakan hadis ini sahih).

Ia juga bercanggah dengan hukum jual beli matawang dalam Islam iaitu Bai’ Al Sarf : Majlis Penasihat Syariah (MPS) pada mesyuarat ke-168 tarikh 28 Jun 2016 dan mesyuarat ke-179 bertarikh 22 Ogos 2017 telah memutuskan bahawa majlis akad Bai’ al-Sarf merujuk kepada sesuatu tempoh masa berlakunya pementraian kontrak pertukaran matawang bermula dengan penawaran (ijab) dan diiringi dengan penerimaan (qabul) serta diakhiri dengan perpisahan (disengagement) pihak-pihak berkontrak secara fizikal atau konstruktif, atau pelepasan hak untuk membatalkan kontrak (takhayur). Menurut Syariah, serah terima matawang dalam Bai’ al- Sarf mestilah berlaku semasa majlis (lani) kecuali kekangan operasi atau faktor gangguan luar jangkaan.

Transaksi yang dilakukan oleh Trader A bukan lani(spot) kerana dana beliau “floating” sehingga beliau tutup posisi, baharu transaksi Trader A lengkap. Telah berlaku Riba An-Nasa atau juga disebut sebagai Riba an Nasiah (jual beli / pertukaran 2 barangan ribawi sama jenis dan pertukaran tersebut dibuat secara tangguh, tidak sempurna dalam satu masa)

(Riba ada beberapa jenis…bukan “bunga” sahaja) dalam transaksi ini.

**Tidak kira teknik technical analysis apa anda lakukan, kajian fundamental analysis anda 100% tepat & Money Management terpaling mantap dalam alam semesta, ia tetap HARAM kerana tiada dagangan CFD yang halal setakat ini.

**Jika benar ada Broker jenis “Hybrid”, contoh 50% adalah A book + 50% adalah B book, ia bukan jadi auto 100% halal (sebahagian sup sayur di campurkan dengan sebahagian sup khinzir tak jadi 100% halal)

**Majikan/pekerja beragama Islam tidak semestinya ia jadi patuh Syariah.

Soalan selelalunya “dibahas” Trader Muslim mengenai Forex Online Trading:

1. Ada Ustaz kata halal?

Adakah ustaz itu di dalam bidang kewangan Islam? Perlu rujuk kepada ahlinya untuk mencari jawapan, dan jika berhujah mengenai ketetapan yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang terdiri daripada Al-Quran dan Sunnah (Syariah), perlu ada rujukan ayat Al-Quran atau Hadis, atau kata itjmak ulama di dalam bidangnya yang membahaskan.

Pendapat seseorang yang bukan ahli kewangan Islam, hujahnya tiada rujukan tidak boleh diguna pakai kerana hujahnya hanya berdasarkan pendapatnya tanpa kajian. Seperti jika anda sakit, pergi jumpa doctor kerana doktor yang belajar, mengkaji, dan mengamalkan perubatan, bukan Pomen jiran sebelah kerana Pomen itu belajar & amalkan bidang automotive. Begitu juga dengan bidang kewangan Islam.

2. Ada orang kaya-raya,siap pergi haji hasil dari profit, pakai serban, sentiasa post Islamik, bercakap mesti keluar ayat hadis, kalau Haram, mesti Tuhan tidak kurniakan nikmat sebegitu.

Apa yang haram, tetap haram. Walaupun penghafaz Al-Quran atau Imam tidak lari daripada melakukan dosa. Carilah jawapan dengan menuntut ilmu. Jika lebai teguk todi, kita pun boleh minum ke? Mestilah tidak.

Kesenangan tidak bermakna benar, Tuhan uji hambanya di dalam keadaan SENANG dan SUSAH. Gunakan nikmat kehidupan sementara untuk berhenti lakukan perkara yang dimurkai Tuhan sebelum meninggal.

3. “Negara, bank-bank ini semua trade forex, haram sebab tak kena cukai, bila kena cukai auto halal!”

Negara memerlukan matawang asing untuk kegunaan seperti “Special Drawing Right” (SDR).

Bank-bank menawarkan tukaran matawang kepada pelanggan dan mereka juga berurus niaga dengan negara luar. Maka mereka perlukan transaksi tukaran matawang asing.

**Bukan semata-mata ada signal buy/sell macam korang (macam saya juga dulu).

Kesimpulannya

Operasi Broker adalah perjudian (Haram).

Produk dagangan adalah CFD (trade di tempat yang Haram, kene widen spread, Depo WD rate tinggi, PO tak trigger, deposit lambat, server hang tak boleh close position…berlapis-lapis korang kena ni)

Haramnya bukan setakat di Leverage dan Swap sahaja.

Gambar hiasan : Terdapat broker Forex yang kononnya menawarkan akaun islamik dengan kemudahan swap free
Gambar hiasan : Terdapat broker Forex yang kononnya menawarkan akaun islamik dengan kemudahan swap free

*** Harap penjelasan ini menambah baik pemahaman kita. Kepada keluarga dan sahabat-sahabat saya yang beragama Islam dan masih aktif bergelumang, kaji sebaiknya, berhenti menipu diri sendiri dan orang lain. Rezeki Tuhan bagi, ajal tuhan janji, bukan duit. Sila kongsikan informasi kepada yang memerlukan. Saya menjemput untuk memperbetulkan kesalahan saya, hujah lah dengan fakta dan ilmiah, kerana saya mahu belajar.

Rujukan:

Boleh google sahaja mengenai Forex Online Trading dan Islam. Banyak kajian dan perbahasan telah dilakukan. Cuma penyokong tegarnya sahaja yang asyik ulang hujah yang sama tanpa isi. Jika kajian dan hujah kamu adalah benar, lontarkanlah kepada ahlinya untuk perbincangan, demi agama dan umat manusia.

Sumber Rujukan:

Kredit: FB Muhammad Alif

Previous ArticleNext Article

2 Comments

  1. assalamualaikum, saya ada sorang kawan ..

    dia join forex, dia “cakap dia jumpa guru yg betul untuk bimbing, forex ta haram kalau ta niat untuk judi, orang awam mmg akan kata forex haram, kerajaan tanak rakyatnya kaya, and dia also cakap duit bole bersihkan dengan zakat”.

    i still rasa pemahaman dia salah even i mmg not into forex sngat and now pun i still kaji about forex . sbb duit or income dari forex tu la nanti maybe akan jadi sebahagian dr darah daging bila kahwin nanti.

    1. Waalaikumussalam.

      Semoga sahabat puan akan insaf dan meninggalkan forex trading online ni.

      Pokok pangkal instrumen itu perlulah halal / patuh shariah dulu. Tak ada lagi dalil yang kata bila ada ilmu benda yang haram boleh jadi halal.

      Duit dari hasil yang haram tidak boleh dibersihkan dengan zakat tetapi perlu diserahkan kepada Baitulmal. Boleh rujuk https://www.majalahlabur.com/halal-haram/ada-duit-atau-harta-daripada-sumber-yang-haram-ini-dia-cara-pengurusan-wang-tidak-patuh-syariah/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jangan Biar Hutang Jadi Beban Akhirat

Isu kegagalan membayar semula pinjaman pendidikan atau perniagaan kian menjadi perhatian dalam masyarakat. Statistik semasa menunjukkan trend yang membimbangkan, khususnya melibatkan agensi peminjam utama seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Hal ini bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan kewangan institusi berkenaan, malah turut mencerminkan tahap tanggungjawab peminjam dalam melunaskan amanah yang telah diberikan.

Sebagai contoh, data menunjukkan bahawa sebanyak RM32.29 bilion daripada RM71.3 bilion pinjaman PTPTN berada dalam kategori “sepatutnya dibayar balik”, melibatkan seramai 2,716,110 peminjam. [1] Sementara itu, sebanyak 97,866 orang, iaitu 49% daripada 197,348 peminjam aktif MARA, telah disenarai hitam kerana gagal membuat bayaran dalam tempoh tiga bulan. [2] Bahkan mana-mana institusi kerajaan atau swasta yang menawarkan pinjaman juga mengalami masalah pembayaran semula hutang daripada peminjam.

Perbahasan Syarak Berkenaan Isu Bayaran Semula Hutang

Dalam ajaran Islam, melunaskan hutang merupakan suatu kewajipan yang sangat dititikberatkan. Tanggungjawab ini disokong oleh banyak dalil daripada al-Quran dan sunnah Nabi SAW, yang menegaskan betapa seriusnya urusan hutang dalam kehidupan seorang Muslim.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا ۚ 

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah SWT telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Kemudian, hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu.”

Surah al-Baqarah (282)

Ayat ini secara zahirnya menunjukkan larangan menangguhkan pembayaran dalam semua bentuk hutang.[3] Oleh itu, setiap umat Islam perlu memainkan peranan penting dalam menyelesaikan hutang. Hal ini kerana, Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain dengan niat untuk membayarnya kembali, maka Allah SWT akan membantunya melunaskan hutang itu. Tetapi sesiapa yang mengambil harta tersebut dengan niat untuk tidak membayarnya, maka Allah akan membinasakannya.”

Riwayat al-Bukhari

Hadis ini menunjukkan bahawa niat seseorang dalam berhutang memainkan peranan besar di sisi Allah SWT. Sekiranya niatnya jujur untuk membayar, maka pertolongan Allah akan menyertainya. Namun, jika tujuannya adalah untuk menipu dan menganiaya si peminjam, maka akibatnya amat buruk bukan hanya di dunia bahkan juga di akhirat.

Dalam sebuah lagi hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ، حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Roh seorang mukmin akan tergantung (tertahan daripada dihisab) disebabkan hutangnya, sehinggalah hutang tersebut dilangsaikan bagi pihaknya.”

Riwayat al-Tirmizi

Hadis ini menggambarkan betapa hutang boleh memberi kesan kepada nasib seseorang di alam akhirat. Meskipun seseorang itu soleh, amalannya boleh tertangguh daripada dihisab kerana masih mempunyai hutang yang belum diselesaikan. Bahkan Imam al-‘Iraqi menyebutkan urusan roh itu tertangguh sehinggalah diselesaikan hutangnya.[4]

Lebih daripada itu, Islam juga mengecam keras perbuatan melengahkan pembayaran hutang, terutamanya bagi mereka yang sebenarnya berkemampuan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ

Maksudnya: “Menangguhkan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah satu bentuk kezaliman.”

Riwayat al-Bukhari

Hadis ini menunjukkan bahawa sikap melambat-lambatkan pembayaran hutang tergolong dalam perbuatan zalim. Menariknya, ungkapan dalam hadis tersebut disampaikan secara umum sebagai satu bentuk penegasan yang tegas bagi menimbulkan rasa gerun, sekaligus mendorong orang ramai agar menjauhi amalan menangguhkan bayaran hutang tanpa alasan yang sah.[5] Ini bermakna, apabila seseorang yang berkemampuan sengaja tidak membayar hutangnya, ia dianggap telah berlaku zalim terhadap si pemberi hutang. Islam amat menekankan prinsip keadilan dalam semua urusan, termasuk dalam urusan kewangan dan muamalat.

Secara keseluruhannya, ajaran Islam menegaskan bahawa hutang bukan sekadar tanggungjawab duniawi, tetapi juga amanah yang membawa kesan kepada akhirat. Oleh itu, umat Islam perlu berusaha untuk membayar hutang secepat mungkin, menjaga niat ketika berhutang, serta tidak mengabaikan hak orang lain. Membayar hutang bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sosial, malah ia adalah ibadah yang dipandang tinggi di sisi Allah SWT.

Sebagaimana kita bersungguh-sungguh ketika meminjam, begitu jugalah seharusnya kita berusaha dengan tekun untuk membayar semula hutang tersebut, walaupun hanya dalam jumlah yang kecil setiap bulan. Insya-Allah, usaha tersebut dapat memberikan kelegaan kepada pemiutang dan menunjukkan bahawa penghutang benar-benar komited menunaikan tanggungjawabnya.

Solusi Bayaran Hutang Bagi Mereka yang Belum Mampu

Namun, sekiranya peminjam benar-benar berada dalam keadaan belum mampu untuk melunaskan hutang yang dipinjam disebabkan belum berpendapatan, faktor kesihatan dan seumpamanya. Dalam hal ini Islam tetap mengiktiraf realiti tersebut dan menawarkan pendekatan yang adil dan berperikemanusiaan. Syariat Islam tidak menekan golongan yang berhutang dalam kesempitan, sebaliknya menyeru agar mereka diberi tempoh penangguhan atau ruang bernafas sehingga mereka mampu melunaskan hutang tersebut.

Perkara ini bertepatan dengan amalan yang dilakukan oleh pihak institusi pinjaman. Sebagai contoh, antara amalan yang telah dilakukan oleh pihak institusi tersebut ialah:

  • Membuka ruang kepada para peminjam untuk membuat penstrukturan semula nilai bayaran bulanan bagi setiap hutang yang dilakukan.
  • Menyediakan potongan bayaran balik bagi mereka yang mampu membayar secara bayaran penuh (full settlement).
  • Peminjam yang melunaskan bayaran lebih awal tidak akan dikenakan sebarang caj upah sepanjang tempoh 12 bulan tersebut.
  • Memberi pilihan tempoh pembayaran hutang.
  • Peminjam pelajaran boleh membayar menggunakan akaun II KWSP.

Berikut merupakan beberapa solusi bayaran hutang bagi mereka yang belum mampu:

  • Peminjam perlu mempunyai niat bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan hutang.
  • Peminjam boleh berunding dengan pihak institusi pinjaman berkenaan isu pembayaran semula hutang.
  • Bagi peminjam yang berkemampuan boleh melakukan bayaran secara penuh (full settlement) bagi mendapatkan diskaun.
  • Jika diberi tempoh baharu bagi bayaran semula hutang maka peminjam perlu berusaha untuk membayar mengikut kadar yang ditetapkan.
  • Peminjam yang mempunyai pendapatan tetapi mempunyai komitmen yang tinggi maka disarankan untuk menggunakan akaun II KWSP bagi menyelesaikan hutang.

Kesimpulan

Kesedaran dan tanggungjawab dalam melunaskan hutang merupakan satu aspek penting dalam kehidupan seorang Muslim yang beriman. Hutang bukan sahaja memberi implikasi kepada hubungan sesama manusia, tetapi turut memberi kesan terhadap urusan akhirat, sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dan hadis Nabi SAW. Oleh itu, setiap individu yang berhutang hendaklah berusaha sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawabnya dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, walaupun secara beransur. Islam juga tidak menafikan kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah peminjam, malah menyediakan garis panduan yang penuh ihsan dengan menggalakkan penangguhan atau penstrukturan semula bayaran bagi mereka yang benar-benar tidak mampu. Inisiatif pihak institusi pinjaman seperti penawaran bayaran fleksibel, potongan, serta penggunaan KWSP turut mencerminkan pendekatan yang mesra peminjam dan selari dengan prinsip keadilan dalam Islam. Justeru, umat Islam hendaklah menjadikan hutang sebagai amanah yang tidak boleh diabaikan, serta berusaha memelihara integriti diri dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Membayar hutang merupakan salah satu asas penting dalam pembinaan insan yang berintegriti dan bertanggungjawab, yang seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan negara yang sejahtera dan dicintai. Secara keseluruhannya, usaha untuk melunaskan hutang juga salah satu langkah penting dalam mencapai kestabilan kewangan untuk jangka masa panjang. 

Wallahu a’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan