4 Cara Nak Membezakan Duit Palsu Dengan Tulen

Duit palsu adalah pengeluaran semula wang menggunakan bahan yang berkualiti rendah tetapi kelihatan sama dengan yang asli. Biasanya, duit palsu ini digunakan untuk menipu orang awam dalam pelbagai aspek.

Duit palsu tidak mempunyai nilai tetapi ianya digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan boleh melepaskan diri dari pengimbas duit dalam beberapa jangka masa tertentu. Terdapat beberapa cara untuk anda mengenal pasti duit palsu dan duit tulen.

1. Cetakan

Biasanya duit tulen dicetak dengan sangat teliti. Setiap tulisan dan gambar matawang agak jelas dan terang butirannya. Jika ia adalah duit palsu, cetakannya pudar dan segala butiran tidak jelas kelihatan.

Bagi wang kertas, ia boleh dilihat pada tanda bayang, warna cetakan dan ciri keselamatan mengikut keluaran setiap pemerintah.

Duit asli dan duit palsu boleh dikenali menerusi bentuknya, timbangan berat dan bentuk tulisan serta ketepatan kaligrafi.

2. Tekstur

Duit tulen biasanya mempunyai tekstur yang tersendiri. Jika anda menyentuh sekeping duit dan rasa amat ganjil dan pelik teksturnya, ia mungkin adalah duit palsu. Cara kenal pasti duit palsu dan duit tulen ini amat mudah sebenarnya.

Seperti gambar di bawah, di sebelah kiri adalah duit syiling tulen keluaran tahun 1971 seberat 2.85gram, manakala di sebelahnya adalah palsu.

Cara mengenal pasti duit palsu adalah menyentuh dan melihat permukaan duit palsu yang lebih cembung, salutan logam dan sebagainya ke atas duit syiling.

3. Nombor Siri

Tahukah anda, setiap duit tulen mempunyai nombor siri yang unik? Sekiranya anda menerima duit dengan nombor siri yang sama dan mencurigakan, ianya mungkin adalah duit palsu.

Orang ramai juga boleh menggunakan kanta untuk melihat pemalsuan yang sukar dikesan menerusi mata kasar, contohnya bentuk kaligrafi dengan ejaan salah.

4. Ciri-ciri keselamatan

Cara kenal pasti duit palsu dan duit tulen juga adalah dari segi ciri-ciri keselamatan.  Duit tulen mempunyai potret watermark, benang keselamatan dan sempurna melihat melalui ciri-cirinya.

Potret watermark Yang DiPertuan Agong mempunyai kesan tiga dimensi dan kelihatan lembut dan teduh tanpa potret tajam. Benang keselamatan akan sentiasa kelihatan tertanam di dalam kertas.

Bunga raya di depan akan sejajar dengan sempurna dengan bunga yang sama pada belakang wang kertas itu. Manakala watermark duit palsu pula tidak kelihatan. Segala ciri yang ada pada duit tulen, tidak ada pada duit palsu tersebut.

Apa Kita Perlu Buat Bila Dapat Duit Palsu?

Beritahu pihak polis dengan segera jika anda telah menerima wang kertas palsu. Menggunakan wang kertas palsu adalah sama haram seperti pembuatannya. Wang kertas palsu tidak layak untuk diganti dengan duit tulen.

Jom ikuti langkah ini:

  • Jika ada pihak yang memberi anda wang kertas palsu, sila perhatikan ciri-ciri orang tersebut. Sebaiknya, sila catat nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan oleh mereka atau kedai di mana kita menerima wang tersebut.
  • Jangan menulis, memotong atau mengitar semula duit tiruan.
  • Catat semua butiran mengenai bagaimana anda memperolehi duit tiruan tersebut.
  • Bawa duit palsu tersebut ke balai polis terdekat. Serahkan duit palsu tersebut kepada mereka selepas membuat laporan polis.

Sumber Rujukan:

  1. Astro Awani
  2. Bank Negara Malaysia
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.