Jenis Riba Dalam Transaksi Kewangan

Sektor kewangan Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan Lembaga Tabung Haji (LTH) pada tahun 1963. Ianya merupakan hasil kertas kerja oleh Yang Mulia Profesor Di Raja Ungku Aziz bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji pada tahun 1959.

20 tahun kemudian, muncul bank patuh Shariah pertama di Malaysia pada tahun 1983 yang dinamakan Bank Islam Malaysia Berhad.

Sejak daripada itu, berpuluh bank patuh Shariah lain telah ditubuhkan. Ada yang bertukar status daripada bank konvensional ke patuh Shariah, ada yang kekal konvensional tetapi menawarkan perkhidmatan patuh Shariah, dan muncul puluhan institusi kewangan patuh Shariah lain bagi melengkapkan pasaran sektor kewangan Islam seperti Takaful, Bursa Malaysia-i, Syarikat Pengurusan Dana Islamik dan sebagainya. 

50 tahun setelah penubuhan LTH, kerajaan telah meluluskan satu akta khusus bagi mengawal selia sektor kewangan Islam dengan pengenalan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act IFSA 2013).

Ia diperkenalkan bagi menjamin keyakinan masyarakat dan pelabur kepada kepatuhan Shariah sektor kewangan Islam di Malaysia di samping menjamin kestabilan dan pertumbuhannya.

Seksyen 28 (1) dalam akta ini menyatakan bahawa setiap institusi dalam sektor kewangan Islam perlu menjamin tahap kepatuhan Shariah mereka dan kegagalan melakukan perkara itu akan menyebabkan mereka boleh didakwa sebanyak RM25 juta atau dipenjara selama 8 tahun. 

Tugas berat ini diletakkan di bawah tanggungjawab Panel Penasihat Shariah di institusi-institusi berkaitan.

Konsep Transaksi Kewangan Dalam Shariah Dan Larangan Riba

Dalam Shariah, konsep hukum bagi Mu’amalat (urusan dunia, aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan termasuk segala jenis transaksi kewangan) adalah ianya harus atau dibolehkan selagi tidak ada dalil yang menunjukkan keharamannya.

Larangan bagi perkara Mu’amalat tidak banyak, di antaranya adalah larangan Riba. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah 278-279:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa Riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka, jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa Riba) maka ketahuilah bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu.Dan, jika kamu bertaubat (dari pengambilan Riba) maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya.”

Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Riba disebut sebagai salah satu daripada tujuh dosa besar:

“Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan Riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil) “

Ada 2 Jenis Riba

Riba terbahagi kepada dua jenis, pertama Riba Buyu’ (jualan) dan kedua Riba Duyun (hutang). Riba yang berlaku dalam transaksi-transaksi bank-bank konvensional adalah majoritinya Riba Duyun. Riba jenis ini berlaku dalam dua keadaan.

Keadaan yang pertama berlaku apabila kadar atau manfaat tambahan yang disyaratkan atas pemberian jumlah hutang pokok.

Keadaan kedua berlaku apabila kadar atau manfaat tambahan lebih dari jumlah hutang pokok yang dikenakan akibat si peminjam gagal membayar jumlah hutang yang ditetapkan pada tempoh yang dipersetujui.

Contoh bagi keadaan yang pertama, Encik Ahmad memohon pinjaman wang berjumlah RM100,000 daripada bank konvensional dan disyaratkan membayar balik wang tersebut dengan nilai RM18,0000. Maka lebihan nilai atas hutang pokok tersebut yang bernilai RM80,000 itu adalah Riba.

Bagi keadaan yang kedua, Encik Ahmad  meminjam wang berjumlah RM10,000 dan pembayaran semula perlu dilakukan sebelum 31 Mac. Encik Ahmad mengalami kesulitan dan meminta pertambahan waktu untuk bayaran semula. Tempoh baru diberikan sehingga 30 April tetapi jumlah bayaran bertambah menjadi RM10,500. Maka tambahan RM500.00 yang dikenakan itu adalah Riba.

Shariah meletakkan asas bagi isu ini seperti berikut:

“Segala hutang yang mempunyai tambahan manfaat adalah Riba.”

Perbezaan Perbankan Konvensional Dan Perbankan Patuh Shariah

Wujudnya bank patuh Shariah adalah sebagai alternatif kepada umat Islam mendapatkan produk pembiayaan yang selari dengan ketetapan Shariah dan mengelakkan dosa Riba sama ada ia Riba atas hutang atau Riba kerana lambat bayar semula.

Pendekatan yang digunakan oleh bank patuh Shariah adalah dengan menggantikan system pinjaman Riba dengan sistem jual beli.

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 275:

“Orang-orang yang makan (mengambil) Riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan Riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan Riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil Riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil Riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”

Caj Penalti Lambat Bayar

Satu lagi elemen Riba yang dihapuskan oleh bank patuh Shariah adalah penalti lambat bayar. Dalam bank konvensional, penalti dicaj dengan pertambahan kadar bunga dan berlaku juga kadar berganda yang dikenakan ke atas peminjam.

Bagi bank patuh Shariah, asalnya tiada apa-apa caj bagi bayaran lambat dikenakan tetapi berlaku banyak kes pelanggan sengaja melengahkan bayaran bulanan kepada pihak bank dan mengutamakan bayaran pinjaman bank konvensional.

Justeru, bagi memastikan pasaran yang stabil dan menjamin kekukuhan bank-bank patuh Shariah, bermula 2012, Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan Garis Panduan Caj Bayaran Lambat bagi Institusi Kewangan Islam (Guidelines on Late Payment Charges for Islamic Banking Institutions) di mana Institusi Kewangan Islam boleh mengenakan caj kepada pelanggan dengan syarat kesemua hasil tersebut disalurkan kepada badan kebajikan.

Bank juga hanya boleh mengambil 1% daripada jumlah bayaran bulanan sebagai kos ganti rugi bagi kos-kos yang terlibat seperti kos penghantaran surat amaran, kos bertemu pelanggan dan lain-lain. Garis Panduan itu diperkenalkan bagi mengelak pelanggan mengambil kesempatan terhadap bank patuh Shariah.

Semoga tulisan ini menambah pengetahuan kita tentang Halal dan Haram dalam kewangan.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Asingkan sedikit pendapatan anda dan tukarkan kepada bentuk emas. Kaedah termudah dan termurah di Malaysia buat masa ini bagi sesiapa nak simpan emas. Tak perlu 1 gram pun, minimum 0.25 gram.

Boleh mulakan simpanan emas patuh syariah dengan KAB Gold.

This image has an empty alt attribute; its file name is kab-gold-uncang-emas-800-700x990.jpg

Dengan minimum pembelian 0.25 gram emas atau serendah RM65 (berdasarkan harga emas RM260 segram), semuanya boleh dilakukan secara online.

Prosesnya sangat mudah:

  • Layari laman web KAB Gold
  • Lengkapkan borang pendaftaran
  • Verify emel

Kemudian dah boleh login dan buat pembelian pertama anda hari ini juga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.