SC Ingatkan Pengurus Dana dan Syarikat Pengurusan Unit Amanah Agar Utamakan Kepentingan Pelabur Semasa Covid-19

Memandangkan keadaan pasaran tidak menentu dan belum pernah berlaku sebelum ini susulan pandemik Covid-19, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengingatkan syarikat pengurusan dana dan pengurusan unit amanah mengenai kewajipan mereka untuk bertindak demi kepentingan pelabur pada sepanjang masa dan memastikan layanan adil kepada pelanggan mereka.

Dalam satu pekeliling yang dikeluarkan pada hari ini, SC menegaskan bahawa tadbir urus yang baik, tatalaku yang betul dan pematuhan berterusan terhadap peraturan pasaran modal adalah penting bagi pengantara pasaran modal untuk terus berfungsi. Ini terutamanya merangkumi para profesional pengurusan pelaburan yang dilesenkan oleh SC, yang bertanggungjawab ke atas pengurusan wang pelabur.

“Dalam situasi semasa pasaran, SC, sebagai pengawal selia pasaran modal, harus dan akan memastikan pasaran beroperasi secara adil dan teratur, dan perlindungan pelabur didukung sepenuhnya,” kata Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.

Pengantara pasaran modal perlu memantau rapi urus niaga dan dagangan dana di bawah pengurusan, dan memastikan pelanggan dimaklumkan berhubung potensi risiko pelaburan dana mereka. SC turut menekankan bahawa peserta pasaran hendaklah mengurus dengan sewajarnya mudah cair dana, khususnya dalam mengurangkan ketidakpadanan berpotensi antara kecairan aset pendasar dana dan syarat-syarat penebusan.

Komunikasi yang tepat pada masanya kepada pengawal selia dan pelabur adalah penting dalam persekitaran semasa pasaran. Oleh itu, pengantara pasaran modal dikehendaki segera memaklumkan kepada SC mengenai apa-apa isu penting atau situasi buruk yang dijangkakan yang berkaitan dengan dana di bawah pengurusan mereka.

Dengan meningkatnya penggunaan platform dalam talian bagi urus niaga dan operasi tertentu, SC mengingatkan para pengantara agar meningkatkan protokol pengurusan risiko siber mereka dan menyediakan langkah kesinambungan perniagaan yang kukuh untuk mengurangkan kesan gangguan yang berpotensi ketika krisis ini.

SC akan terus memantau rapi para pengantaranya bagi memastikan dagangan dan pengendalian pasaran yang teratur dikekalkan untuk memudahcarakan penerbit, peserta pasaran dan pelabur dalam menguruskan risiko dan peluang mereka dalam tempoh ini.

Pekeliling tersebut boleh didapati di https://www.sc.com.my/regulation/technical-notes-practice-notes-and-circulars/circular-fmc-utmc untuk rujukan lanjut.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.