Nak Tahu Bagaimana Sesebuah Negara Lebih Kaya Berbanding Negara Lain?

Kemakmuran, kemahsyuran, keberhasilan dan keunggulan sesebuah negara boleh dinilai dengan melihat rakyat sesebuah negara tersebut. Namun jika melihat kepada masyarakat negara tersebut, apakah bentuk statistik atau pandangan yang ingin kita lihat?

Adakah Malaysia lebih baik berbanding Vietnam kerana rakyat Malaysia mempunyai wang yang lebih? Adakah Jerman lebih baik berbanding Itali kerana mempunyai produk yang lebih baik? Adakah Jepun lebih baik berbanding Singapura kerana rakyat mereka mempunyai gaji yang lebih besar?

Walau apa jua parameter yang kita gunakan untuk menilai, terdapat pelbagai cara untuk menentukan kekayaan dan setiap negara cenderung untuk melihat pelbagai statistik yang berlainan. Sungguhpun begitu, kebiasaannya ahli ekonomi mendefinisikan kekayaan negara berdasarkan jumlah pendapatan, aset dan pemilikan rakyat negara tersebut seperti gaji pendapatan bulanan mereka hasil daripada bekerja.

Namun membandingkan perbezaan gaji antara sesebuah negara, ibarat membandingkan buah oren dengan buah epal. Ini kerana gaji setiap negara dibayar dalam mata wang yang berlainan.

Adakah purata gaji di Jepun sebanyak ¥311,000 lebih baik berbanding £28,000 di England? Kita perlu melihat dengan lebih teliti agar dapat menterjemahkan jumlah pendapatan mereka dalam perspektif yang betul.

Salah satu cara mudah, adalah dengan melihat perbandingan kedua-dua mata wang tersebut. Ia boleh dinilai melalui penggunaan kadar pertukaran mata wang.

Kadar pertukaran mata wang adalah ditentukan oleh pasaran tukaran mata wang asing di seluruh dunia. Tukaran mata wang asing memberi cerminan pandangan pasaran mengenai sistem ekonomi dan politik sesebuah negara.

Walau bagaimanapun, masalah masih wujud kerana ‘Apakah yang mampu dibeli berdasarkan pendapatan rakyat sesebuah negara?`. Contohnya jika tukaran mata wang Japanese Yen lebih baik berbanding Switzerland Franc dan kadar purata gaji rakyat di Jepun lebih tinggi berbanding di Switzerland.

Nilaikan pula adakah barangan yang sama mampu diperolehi oleh rakyat Jepun dan Switzerland pada kadar sama? Sekiranya harga barangan di Jepun sebenarnya 30 kali ganda lebih mahal berbanding di Switzerland, tidak bermakna pendapatan yang tinggi di Jepun berbanding di Switzerland akan menjanjikan taraf hidup yang lebih baik.

Oleh kerana itu, adalah penting untuk melihat gaji yang benar-benar mampu menampung taraf hidup mereka, atau pun dalam bahasa mudahnya digelar sebagai ‘kuasa membeli’. Kuasa membeli hasil daripada pendapatan mereka akan mampu memberitahu kita, ‘Apakah bentuk taraf hidup rakyat sesebuah negara?’ atau dalam bahasa ekonomi dikenali sebagai Purchasing Power Parity (PPP).

Dengan adanya PPP ini, ia membolehkan kita membandingkan kuasa membeli atau nilai sebenar wang yang dimiliki oleh purata rakyat negara tersebut.

Walaupun sesebuah negara lebih kaya daripada segi jumlah wang yang diperolehi berbanding negara yang lain, namun kita harus menilai apakah tempoh masa yang panjang hasil daripada wang tersebut mampu menampung kehidupan mereka berbanding negara yang lain.

Jom kita tengok senarai negara yang mempunyai PPP yang tinggi seperti berikut:

Sumber: Statista

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.