Raya Ini, Shopee Di Sisimu Dan Membawakan Sambutan Lebih Bermakna

Walaupun dengan kejadian yang melanda negara kita pada masa ini, Hari Raya Aidilfitri masih dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Untuk menjadikan sambutan lebih bermakna, Shopee mengadakan kempen Raya Bersama Shopee bagi memenuhi segala keperluan untuk persiapan Ramadan dan Raya mereka, selaras dengan slogan kempennya iaitu Raya Ini Shopee Di Sisimu.   

Berlangsung dari sekarang hingga 26 Mei 2020, kempen ini menawarkan pelbagai keperluan harian dari serendah RM10 seperti MILO, kurma, ayam, ikan, daging, beras dan minyak masak serta peralatan rumah seperti pengisar dan juga pakaian seperti telekung. Pada masa yang sama, pengguna dapat menikmati penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM19. Ini membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan barang-barang keperluan tanpa berbelanja secara berlebihan.

Kempen ini juga akan menampilkan empat hari yang sungguh istimewa – Jualan Hebat Raya pada 23 dan 24 April dan Pesta Jualan Raya pada 14 dan 15 Mei dengan diskaun hingga 80%, tawaran RM1 untuk produk-produk kegemaran dan penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum yang diturunkan kepada RM10 dari jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.

Salam by Shopee

Ciri Salam by Shopee yang membuat kemunculan pertamanya pada musim penuh kemuliaan ini direka untuk memudahkan aktiviti melayari dan membeli-belah bagi mereka yang mencari produk halal, peralatan solat, produk kosmetik mesra wuduk, fesyen Muslim dan banyak lagi. Salam by Shopee menawarkan tawaran, diskaun dan baucar serta:

  • Koleksi Terkini: Koleksi produk terbaharu daripada pelbagai kategori berdasarkan tema mingguan untuk membantu pembeli dalam persiapan Raya mereka.
  • Resipi Raya: Resipi hidangan lazat untuk memberi inspirasi dan memudahkan pengguna mencari ramuan masakan.
  • Pilihan Halal: Bahagian ini menampilkan produk-produk daripada jenama yang disahkan Halal untuk kemudahan pengguna yang mencari produk Halal.
  • Azan: Peringatan masuknya waktu solat kini boleh dibuat dalam aplikasi untuk manfaat para pengguna Muslim.
  • Derma: Pengguna yang ingin menyumbang balik kepada masyarakat pada bulan Ramadan ini boleh memberi sumbangan mereka kepada organisasi-organisasi amal di satu tempat. Dari organisasi bukan bermotifkan keuntungan seperti Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY), Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia, MAKNA  dan NKF, salah satu usaha tersebut ialah Tabung Shopee MMA COVID-19 di mana pengguna juga boleh salurkan sumbangan. Sehingga sekarang, Shopee telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM450,00[1] untuk Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia bagi membantu petugas barisan hadapan yang merupakan salah satu kumpulan berisiko tinggi, yang bekerja lebih masa dan mengorbankan nyawa mereka demi memastikan semua orang selamat.

Untuk memeriahkan lagi Raya ini, Shopee akan membawakan hiburan dan kegembiraan Hari Raya kepada para pengguna yang boleh dinikmati di rumah:

  • Shopee Live: Tontoni kandungan menarik yang direka khas untuk pengguna seperti program makanan, sesi senaman oleh pakar kecergasan, dan kandungan lain yang berkaitan dengan penonton Muslim termasuk kelas membaca Al-Quran. Shopee Live juga akan menayangkan rancangan hiburan MeleTOP yang menampilkan lagu, filem, parodi dan gosip terkini. Rancangan ini akan disiarkan pada 21 dan 28 April, serta 5 dan 12 Mei, pada jam 9 malam.
  • Shopee Games: Hafal pergerakan tarian di Joget Shopee; tangkap kuih-muih di Shopee Tangkap dan berseronok dengan permainan kegemaran ramai Goyang Shopee, Shopee Throw, Lucky Raya dan One or Not bersama seisi keluarga untuk memenangi syiling Shopee, baucar dan juga televisyen 43 inci.
  • Duit Raya: Meskipun keadaan kini menyukarkan kita untuk memberikan Duit Raya kepada ahli keluarga tersayang, Shopee telah mencipta cara yang seronok, selamat dan mudah untuk pengguna memberikan e-Duit Raya melalui e-dompet ShopeePay.

“Musim Ramadan dan Hari Raya dipenuhi dengan pengampunan dan keberkatan. Walaupun Raya ini mungkin sedikit berbeza, kami berharap kempen Raya Bersama Shopee akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengadakan sambutan tanpa berbelanja secara berlebihan namun tetap bermakna dan tidak dapat dilupakan,” kata Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee.

Tambah Ho, “Baru-baru ini, kami melancarkan Pakej Bantuan Peniaga Shopee bernilai RM15 juta untuk membantu perniagaan tempatan. Kini, kempen ini akan memberi tumpuan kepada pengguna Malaysia untuk membantu mereka harungi tempoh sukar ini dengan menawarkan tawaran yang lebih hebat. Utama sekali, kami berharap usaha kami akan membawa sedikit kelegaan kepada semua rakyat Malaysia bahawa kami berada di sini, dan bersama mereka.”

Kempen Raya Bersama Shopee disokong oleh jenama kegemaran rakyat Malaysia – Nestle, Nestle Nutrition, P&G, Unilever, Enfagrow, Friso Gold, Pediasure, Vinda, L’Oreal, Wipro Unza, Mentholatum, Beiersdorf, Elianware, Mr DIY, Photobook Malaysia, Arctic Hunter, realme, Black Shark, Skechers, Bagstation, Voir, Carlo Rino dan Lim Tayar.

Mengenai Shopee

Shopee ialah platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan. Shopee dilancarkan di 7 pasaran pada tahun 2015 untuk menghubungkan pengguna, penjual, dan perniagaan di rantau ini.

Shopee menawarkan pengalaman yang mudah, selamat, dan menarik yang dinikmati oleh berjuta-juta pengguna setiap hari. Ia menawarkan pilihan produk yang luas, disokong oleh pembayaran dan logistik bersepadu, serta ciri-ciri hiburan popular yang disesuaikan untuk setiap pasaran. Shopee juga merupakan penyumbang utama kepada ekonomi digital di rantau ini dengan komitmen teguh untuk membantu jenama dan usahawan berjaya dalam e-dagang.

Shopee adalah sebahagian daripada Sea Limited (NYSE:SE), sebuah syarikat internet pengguna global terkemuka. Selain daripada Shopee, perniagaan teras Sea termasuk bahagian hiburan digital, Garena, dan bahagian perkhidmatan kewangan digital, SeaMoney. Misi Sea adalah untuk menaiktaraf kualiti kehidupan pengguna dan perniagaan kecil menerusi penggunaan teknologi.

[1] Setakat 20 April 2020.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI