Hikmah COVID-19: Inilah Masanya Untuk Muhasabah Kewangan

Wabak COVID-19 yang melanda seantero dunia pada ketika ini memberi pelbagai implikasi ekonomi, sosial dan politik kepada penduduk dunia.  Kesan yang ketara akibat wabak ini ialah kesediaan anggota barisan hadapan bagi memerangi wabak ini hingga ke garisan penamat.  Dalam masa yang sama, kesan kewangan kepada pengguna tidak dapat dielakkan yang memungkin kita perlu bersedia untuk mendepani situasi kehidupan dengan normal baharu. 

COVID-19 merubah segalanya, wabak ini secara langsung telah merubah struktur kehidupan masyarakat dan memberi impak kepada landskap kewangan pengguna secara amat dramatik.  Walau bagaimanapun, setiap bencana itu pasti ada hikmahNYA.  Bagi mengatasi kesukaran masyarakat dalam menghadapi kesulitan ini, kerajaan Malaysia telah melancarkan pakej bantuan PRIHATIN dalam bentuk bantuan kewangan.  Antaranya memberikan pakej moratorium kewangan dengan penangguhan bayaran pinjaman di institusi kewangan yang diharap dapat mengurangkan tekanan ekonomi kepada masyarakat, khasnya pengguna. 

Tempoh moratorium kewangan yang diberikan selama 6 bulan dilihat berupaya mengimbangi tekanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat jelata dalam suasana bencana ini.  Justeru itu, penstrukturan semula aliran tunai perlu dilakukan oleh pengguna dengan serta merta.  Peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu kewangan perlu diuruskan dengan bijak agar tidak menyimpang daripada matlamat bantuan yang diberikan.  Dalam hal ini, pengguna perlu melakukan muhasabah kewangan dengan meneliti semula struktur pendapatan dan perbelanjaan yang sedia ada. 

Sesungguhnya Malaysia bumi bertuah, di sebalik bencana global COVID-19 yang melanda negara, kerajaan tampil dengan pakej kewangan prihatin bagi membantu pengguna menghadapi kesukaran kewangan pada masa kini. Di samping pakej ransangan ekonomi dan moratorium kewangan yang disediakan untuk manfaat pengguna, kerajaan Malaysia sebenarnya telah lama bersedia dalam menghadapi kegetiran masalah kewangan pengguna dengan menyediakan platform khidmat kaunseling kewangan yang diuruskan oleh pihak Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK).  AKPK memainkan peranan yang utama dalam memberi perkhidmatan kaunseling dan bimbingan kepada pengguna dalam mengamalkan pengurusan kewangan berhemat sebagai budaya hidup. 

AKPK yang beribu pejabat di Bangunan Maju Junction Kuala Lumpur mempunyai kakitangan yang berkepakaran dalam melaksanakan kaunseling kewangan kepada pengguna yang menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan.  AKPK juga beroperasi hampir di kesemua cawangan seluruh negara termasuklah di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, terpulanglah kepada pengguna untuk menentukan kesejahteraan kewangan masing-masing secara bijak demi manfaat masa hadapan yang lebih baik.  Kesemuanya telah disediakan oleh pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan. Tepuk dada tanya minda! Bertindaklah sebelum terlambat bagi memastikan iklim kewangan pengguna berada ditahap yang paling kondusif seiring dengan tingkat pendapatan dan perbelanjaan yang direncanakan.

Dalam hal ini, pengguna dinasihatkan agar melakukan muhasabah kewangan terutama dalam penentuan ke atas objektif penggunan kewangan.  Objektif penggunaan ke atas pendapatan atau sumber kewangan yang ada perlu disusun semula bagi menyesuaikan bebanan hutang kewangan yang perlu ditanggung.  Oleh itu, manfaat moratorium kewangan perlu digunakan sebaik mungkin dengan menyusun semula struktur bebanan hutang yang perlu dilangsaikan oleh pengguna.  Sekurang-kurangnya selepas tamat tempoh moratorium kewangan pada bulan September nanti, bebanan hutang yang ditanggung pengguna hampir berkurangan ataupun telah selesai.   

Contohnya, penyelesaian hutang kad kredit boleh dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan moratorium kewangan yang diberikan ke atas pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi yang ditanggung oleh pengguna. Kesempatan ini perlu dimanfaatkan dengan baik bagi memulihkan struktur kewangan pengguna.  Elemen muhasabah kewangan yang perlu dilakukan ialah dengan mengkaji semula bajet kewangan dengan sebaiknya.  Perbelanjaan secara berjimat perlu dilaksanakan berasaskan objektif keperluan dan bukannya untuk memenuhi tujuan kehendak semata-mata.  Senarai perbelanjaan yang berobjektif perlu disediakan sebelum sesuatu transaksi perbelanjaan dilaksanakan.  Langkah ini dapat mengelakkan masalah ketirisan dalam penggunaan kewangan. 

Pada masa kini, kehendak nafsu dalam berbelanja perlu dikawal dengan sepenuh jiwa.  Disiplin dan ketegasan dalam perbelanjaan perlu diterapkan dalam diri setiap pengguna.  Hal ini amat perlu bagi memastikan matlamat yang telah dirancang berjaya dilaksanakan dengan sebaiknya.  Sematkan ingatan dalam diri sendiri bahawa dalam setiap sesuatu perbelanjaan “kita yang mengawal wang! Bukannya wang yang mengawal diri kita!”

Dalam menghadapi situasi kewangan yang penuh mencabar ini, pengguna dinasihatkan agar sentiasa peka dengan status aliran tunai dari semasa ke semasa.  Memahami status aliran tunai diibaratkan seperti memeriksa tahap kesihatan diri setiap individu.  Aliran tunai merupakan suatu penanda aras kesihatan kewangan pengguna yang perlu dikenal pasti bagi memastikan tahap daya upaya kewangan berfungsi dengan sinergi yang luar biasa. 

Pendemik kewangan harus dikawal agar perbelanjaan yang dilakukan tidak melebihi jumlah kemampuan pendapatan yang ada.  Hal ini dapat mengelakkan virus defisit dalam kesihatan kewangan pengguna.  Defisit adalah kurangan dalam sumber kewangan yang menjadi bebanan kepada pengguna bagi menguruskan keperluan diri dan keluarga. 

Virus defisit kewangan boleh menyebabkan sintom jangkitan kewangan yang merebak dalam bentuk penciptaan hutang baharu. Oleh itu, bagi mengelakkan masalah defisit kewangan, amalan berbelanja secara berhemat perlulah diutamakan demi memastikan kesejateraan aliran tunai dapat berlangsung dengan cekap.

Dalam menghadapi wabak COVID-19, daya tahan kewangan pengguna perlu diperkasakan dengan melipat gandakan amalan tabungan yang lebih komprehensif. Terdapat pelbagai platform tabungan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna seperti tabungan pendidikan anak-anak, tabungan persaraan, tabungan Haji serta pelbagai lagi dana tabungan yang diiktiraf oleh kerajaan.  Hal ini penting agar masa depan kewangan pengguna sentiasa berada dalam keadaan bersedia dalam segala kemungkinan berbentuk kemelesetan ekonomi dan kewangan.

Bagi mengukuhkan daya tahan kewangan, dalam masa yang sama pengguna juga perlu memberi pertimbangan terhadap perlindungan risiko kewangan berbentuk takaful dan insuran.  Hal ini penting bagi meminimumkan risiko kewangan yang dihadapi dengan sistematik agar tidak menjadi bebanan yang lebih dramatik dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi di masa hadapan. 

Ringkasnya, COVID-19 yang sedang kita perangi kini perlulah dihadapi dengan positif melalui muhasabah kewangan yang penuh istiqamah dengan perbelanjaan yang paling berhemah.  Oleh itu, pengguna perlu mengelakkan hutang kewangan dengan meningkatkan tabungan, melakukan modifikasi kewangan demi masa depan ekonomi keluarga yang lebih mapan dan berwawasan.

Artikel ini adalah hasil tulisan dan pandangan daripada Dr. Azwan bin Abdullah, Pensyarah Kanan, Fakulti Keusahawan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan dan Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK), Universiti Malaysia Kelantan.

Sekiranya anda memerlukan khidmat AKPK yang boleh didapati secara percuma, layari laman web AKPK untuk maklumat lanjut.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.