Manfaat Berjumlah Lebih Daripada RM1,500 Di Bawah Kempen E-Dagang Perusahaan Mikro Dan PKS PENJANA

30,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) yang baharu kepada e-dagang masing-masing akan menerima manfaat berjumlah lebih daripada RM1,500, sebagai sebahagian daripada komitmen Shopee dalam Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS PENJANA yang dilancarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) baru-baru ini. Inisiatif ini, yang merupakan sebahagian daripada komponen ‘Propel Businesses’ dalam pelan pemulihan ekonomi jangka pendek PENJANA, dijangka dapat merancakkan ekonomi dengan mempercepatkan digitalisasi di kalangan perniagaan tempatan serta memberi galakan kepada penjual yang baharu kepada e-dagang.

Pada bulan April dan Mei, Shopee dengan sukarela menyuntik RM15 juta ke dalam ekonomi Malaysia melalui Pakej Bantuan Peniaga Shopee demi membantu penjual baharu dan sedia ada untuk mengatasi kesan wabak Covid-19, yang mengakibatkan kehilangan pendapatan terutama semasa tempoh perintah kawalan pergerakan. Penyertaan dalam Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS PENJANA ini menjadikan pakej ini sebagai pakej bantuan kedua yang akan dibiayai oleh Shopee bagi perniagaan tempatan, dan kali ini dengan manfaat yang lebih baik.  

Melalui kempen ini, MSME baharu di Shopee akan mendapatkan manfaat-manfaat berikut:

  1. Jumlah baucar bernilai RM1,000 untuk kedai Shopee mereka bagi membantu memulakan dan menjana hasil jualan.
  2. RM500 dalam kredit iklan yang boleh digunakan oleh penjual untuk meningkatkan keterlihatan kedai dan produk mereka di Shopee.
  3. Penyertaan percuma dalam Pakej Penghantaran Percuma RM15 Shopee di mana perbelanjaan minimum untuk pembeli menikmati penghantaran percuma dikurangkan kepada RM15 berbanding dengan jumlah perbelanjaan minimum biasa platform iaitu RM40,  menjadikan kedai MSME lebih menarik kepada para pengguna.
  4. Penyertaan percuma dalam Program Pulangan Tunai Syiling Shopee di mana pembeli akan mendapat manfaat daripada pulangan tunai 10% tanpa perbelanjaan minimum, tanpa had dalam bentuk baucar Syiling Shopeeapabila mereka berbelanja di kedai-kedai MSME baharu ini. Syiling Shopee yang diperoleh membolehkan pembeli berjimat dalam pembelian masa depan. Ini akan membantu mendorong pembelian berulang dan menjana lebih banyak penggunaan bagi ekonomi tempatan.

Insentif yang ditawarkan kepada MSME adalah tambahan kepada semua manfaat penjual Shopee yang sedia ada seperti komisen 0% untuk peniaga di pasaran atau marketplace, yuran penyenaraian 0%, tiada bayaran pendaftaran dan latihan e-dagang percuma melalui Shopee University.

Bagi memenuhi syarat penyertaan kempen ini, penjual mestilah merupakan MSME atau individu berwarganegara Malaysia, perlu mendaftar sebagai penjual Shopee dari 1 Januari 2020 dan selepasnya dan mempunyai kurang daripada 10 pesanan yang disempurnakan sebelum 1 Julai 2020.

Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee juga memberi penjelasan mengenai industri ini, “Perusahaan kecil dan sederhana menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Malaysia pada tahun 2018. Ini menunjukkan betapa pentingnya sektor ini untuk dipulihkan berikutan kesan buruk Covid-19. Keadaan semasa mendorong perubahan dalam pertumbuhan ekonomi digital ketika perniagaan mencari saluran penjualan alternatif untuk terus bertahan. Oleh itu, rancangan PENJANA dipersiap dengan teliti demi membantu perniagaan tempatan dalam perjalanan digitalisasi mereka ketika ekonomi beralih ke arah pemulihan. Sebagai pemain e-dagang terbesar di negara ini, Shopee berusaha untuk melaksanakan tugas kami dan memenuhi komitmen kami kepada Kementerian Kewangan dan MDEC.”

“Oleh itu, jika anda mengkaji bagaimana manfaat Shopee dibentuk, anda akan menyedari bahawa ia menumpukan pada bantuan bagi MSME untuk memulakan perjalanan penjualan atas talian mereka, menggalakkan pesanan, memberikan pendedahan dan yang lebih penting lagi, menjana penggunaan untuk ekonomi tempatan. Dengan ini, kami berharap MSME di negara ini akan menerima galakan ini dan prospek ekonomi akan bersifat lebih optimis,” kata Ho.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS di Shopee, kunjungi: https://shopee.com.my/m/msmecampaign

Mengenai Shopee

Shopee ialah platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan. Shopee dilancarkan di 7 pasaran pada tahun 2015 untuk menghubungkan pengguna, penjual, dan perniagaan di rantau ini.

Shopee menawarkan pengalaman yang mudah, selamat, dan menarik yang dinikmati oleh berjuta-juta pengguna setiap hari. Ia menawarkan pilihan produk yang luas, disokong oleh pembayaran dan logistik bersepadu, serta ciri-ciri hiburan popular yang disesuaikan untuk setiap pasaran. Shopee juga merupakan penyumbang utama kepada ekonomi digital di rantau ini dengan komitmen teguh untuk membantu jenama dan usahawan berjaya dalam e-dagang.

Shopee adalah sebahagian daripada Sea Limited (NYSE:SE), sebuah syarikat internet pengguna global terkemuka. Selain daripada Shopee, perniagaan teras Sea termasuk bahagian hiburan digital, Garena, dan bahagian perkhidmatan kewangan digital, SeaMoney. Misi Sea adalah untuk menaiktaraf kualiti kehidupan pengguna dan perniagaan kecil menerusi penggunaan teknologi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI