Majoriti Rakyat Malaysia Tidak Tahu Kos Sebenar Menguruskan Harta Pusaka

Tidak ramai yang tahu sebenarnya terdapat kos yang perlu dikeluarkan oleh waris yang ingin menguruskan harta pusaka si mati, sama ada si mati tersebut adalah ibu bapa, pasangan suami/isteri atau adik beradiknya. Kebanyakannya menyangka urusan pusaka ini mudah kerana telah ada hukum faraid.

Ya bagi orang Islam, kita ada hukum faraid untuk mengagihkan harta pusaka orang mati. Tapi ketahuilah sebelum proses agihan harta, ada beberapa proses lain yang perlu dilalui dan dilakukan oleh waris.

Secara ringkasnya, sebelum proses pengagihan harta, waris yang mentadbir harta si mati perlu menggunakan harta si mati untuk tujuan ini dahulu;

  1. Membayar kos urusan jenazah si mati seperti kos pengkebumian.
  2. Membayar segala hutang piutang si mati seperti badal haji, hutang rumah dan lain-lain.
  3. Menolak bahagian harta sepencarian pasangan (jika ada)
  4. Melaksanakan wasiat yang telah ditinggalkan si mati.
  5. Mengagihkan harta pusaka mengikut aturan faraid.

Proses pengagihan harta adalah fasa yang terakhir dalam bab mengurus pusaka!

Proses ini jika tak kena caranya akan mengambil masa yang sangat lama.

Kos Urus Pusaka Di Malaysia

Fokus penulisan kali ini adalah lebih kepada perihal kos yang perlu dikeluarkan untuk menguruskan harta pusaka orang mati. Kos ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kos langsung dan kos tidak langsung.

Kos langsung adalah seperti fi carian rasmi di pejabat tanah, kos perundangan dan caj khidmat guaman. Manakala kos tidak langsung pula adalah seperti kos perjalanan dan kos masa.

Jom kita tengok satu contoh.

Si mati meninggalkan dua buah rumah, satu di Kajang dan satu lagi di Seremban serta sebidang tanah pusaka di Alor Setar. Proses pertama yang waris perlu lakukan untuk mengurus harta pusaka si mati ini adalah dengan pergi ke pejabat tanah di mana rumah dan tanah pusaka tersebut terletak.

Dalam kes ini, ada tiga pejabat tanah yang perlu waris pergi untuk mendapatkan carian rasmi bagi hartanah si mati.

Carian rasmi adalah salah satu dokumen yang perlu dilampirkan sekali semasa proses tuntutan harta pusaka di buat. Jadi waris terpaksa keluarkan kos perjalanan dan mengambil cuti pula (sekiranya bekerja) untuk mendapatkan carian rasmi hartanah tersebut.

Seterusnya waris juga perlu menyediakan wang untuk membayar fi bagi carian rasmi di pejabat tanah. Fi di pejabat tanah pula berbeza-beza.

Bayangkan jika si mati meninggalkan lebih banyak harta di daerah yang jauh, jenuh pula waris nak pergi setiap pejabat tanah. Ini kerana urusan untuk mendapatkan carian rasmi tidak boleh dibuat atas talian, waris perlu hadir sendiri ke pejabat tanah yang berkaitan.

Jika tidak mahu buat semua ini sendiri, waris boleh saja melantik pihak ketiga seperti syarikat amanah atau peguam untuk membuatkan urusan ini, tetapi sekali lagi ada kos yang perlu dibayar kepada mereka.

Mengikut Seksyen 43 Akta Probet, fi yang boleh dikenakan oleh mana-mana pihak yang menguruskan harta pusaka bagi pihak waris, maksimum sebanyak 5% dari keseluruhan nilah harta si mati. Pun begitu, tidak semua syarikat yang menguruskan harta pusaka mengenakan fi maksimum 5%, ada yang hanya kenakan sebanyak 1% dan 2% sahaja.

Kos mengurus harta pusaka jadi semakin tinggi apabila nilai keseluruhan harta pusaka si mati melebihi RM2 juta. Ini kerana kes urus pusaka ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil. Lebih banyak kos-kos yang perlu dikeluarkan waris.

Begitu juga dengan masalah yang timbul apabila si mati meninggalkan harta berbentuk hartanah yang banyak, tetapi tidak meninggalkan harta berbentuk aset cair seperti wang tunai dari akaun Tabung Haji, KWSP dan pampasan takaful. Di mana waris nak cari duit untuk uruskan pusaka si mati?

Sepatutnya kos-kos ini ditangggung oleh semua waris yang berhak terima pusaka mengikut faraid. Tetapi hakikat yang sering terjadi adalah, waris yang secara sukarela menguruskan pusaka inilah yang terpaksa keluarkan duit sendiri semuanya.

Oleh itu menjadi tanggungjawab kita sebagai pemilik harta untuk menyediakan dana secukupnya untuk waris uruskan harta pusaka selepas kematian kita.

“Aku dan susah payah cari harta, biar anak-anak pula fikir macam mana nak uruskan lepas aku mati. Takkan aku juga kena fikirkan.”

Elakkanlah dari berfikir cara yang salah seperti ini kerana akhirnya kita yang rugi apabila harta yang kita miliki tidak dapat memberi manfaat kepada waris dan diri kita sendiri (dalam bentuk saham akhirat)

7 Kesilapan Dalam Merancang & Urus Harta

Isu harta pusaka merupakan isu yang panas sejak dari dulu lagi. Sehingga mengakibatkan sebanyak RM70 bilion harta rakyat Malaysia kena beku.

Jom kita bersama-sama Tuan Fakhrur Radzi yang merupakan seorang perunding harta pusaka Islam dalam topik ‘7 Kesilapan Dalam Merancang & Urus Harta’.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.