BIMB Investment Melancarkan Bank Islam Premier Fund untuk Para Pelabur Sofistikated dengan Sasaran Pendapatan Tahunan 5%

BIMB Investment Management Berhad (“BIMB Investment”), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, hari ini mengumumkan pelancaran Dana Bank Islam Premier (‘BIPF’), sebuah dana borong aset campuran patuh Shariah yang mensasarkan pengagihan pendapatan secara tahunan.

Mengulas mengenai pelancaran BIPF, Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, “Kami berbesar hati dengan pelancaran Dana Bank Islam Premier yang menawarkan peluang pelaburan inovatif kepada para pelabur sofistikated. Kumpulan Bank Islam terus menawarkan solusi pengurusan dana dan kewangan yang menyeluruh dan komprehensif di 148 cawangannya di seluruh negara. Dana Bank Islam Premier menambahkan lagi penyelesaian pengurusan kewangan Bank Islam untuk pelanggan yang bernilai tinggi.”

Para pelabur sofistikated kini boleh meneroka peluang pelaburan baharu dengan BIPF yang berpotensi memberikan pulangan purata 5% setahun dalam masa lima tahun dengan pelaburan berisiko sederhana hingga tinggi. Ia dilengkapi dengan solusi pelaburan yang fleksibel tanpa tempoh penguncian dan tanpa caj pengeluaran.

Dana ini ditawarkan dengan pelaburan permulaan minimum RM30,000 dan pelaburan tambahan minimum RM15,000 bermula 17 November 2020 di semua cawangan Bank Islam seluruh negara. Harga tawaran permulaan untuk BIPF adalah RM1.00 seunit dalam tempoh tawaran permulaan selama 45 hari, bermula dari 17 November 2020 hingga 1 Januari 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi, berkata, “Kami tetap teguh bertahan ketika pasaran masih bergolak kesan daripada wabak coronavirus. Kami meneruskan usaha inovatif dalam bidang pelaburan Shariah dan ESG, menyediakan solusi untuk memenuhi keperluan semua pelabur yang merangkumi pelabur sofistikated, korporat dan institusi. Kami mengharapkan pasaran yang lebih baik apabila ekonomi pulih daripada pandemik Covid-19. Pelancaran Dana Bank Islam Premier adalah tepat pada masanya. Ia menawarkan pelabur sofistikated dengan portfolio pelaburan yang pelbagai yang bertujuan untuk menyediakan pulangan jangka sederhana hingga panjang melalui peningkatan modal dan pengagihan pendapatan. Oleh kerana kadar deposit 12 bulan kini sekitar 1.80% disebabkan oleh pemotongan OPR, Dana ini menawarkan alternatif kepada pelabur sofistikated yang berpotensi untuk meningkatkan pendapatan masa hadapan.

BIPF adalah dana borong aset campuran patuh Shariah dengan pelaburan dalam Skim Pelaburan Kolektif (CIS), akaun pelaburan Bank Islam, deposit Islam dan instrumen pasaran wang. Peruntukan aset dinamik dana bertujuan untuk menghasilkan potensi peningkatan modal serta pengagihan pendapatan tahunan. BIPF akan melabur maksimum 70% daripada Nilai Aset Bersih (NAB) Dana di CIS yang diuruskan oleh Pengurus, dan minimum 30% daripada NAB Dana akan dilaburkan ke dalam akaun pelaburan Bank Islam, deposit Islam dan instrumen pasaran wang.

BIMB Investment telah memenangi anugerah Pengurus Aset Islam dan Pengurus Dana Terbaik Malaysia selama empat tahun berturut-turut sejak 2017 dan Pulangan Penyelarasan Risiko Terbaik untuk Pelaburan Berprinsip ESG di Anugerah Alpha Southeast Asia 2019 dan 2020. BIMB Investment juga telah dinobatkan sebagai Pengurus Aset ESG Terbaik 2019 dan 2020, Dana Ekuiti ESG Terbaik 2020 (BIMB-ARABESQUE i Global Dividend Fund 1) dan Dana Sukuk ESG Terbaik 2020 (BIMB ESG Sukuk Fund) oleh Anugerah The Asset Triple A Islamic Finance.

BIMB Investment adalah Pengurus Aset Islam yang disokong oleh bank pertama di rantau ini yang menjadi penandatangan prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPRI).

Pernyataan Penafian

Pelabur sofistikated dinasihatkan untuk membaca dan memahami kandungan Memorandum Maklumat bagi Dana Bank Islam Premier (“Dana”) bertarikh 17 Nov 2020, Memorandum Maklumat tambahan (jika ada) dan Halaman Serlahan Produk (PHS) sebelum melabur, yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang tidak akan bertanggungjawab terhadap kandungannya. Salinan Memorandum Maklumat dan PHS boleh didapati di Ibu Pejabat BIMB Investment Management Berhad, di laman web www.bimbinvestment.com.my dan/atau mana-mana cawangan Bank Islam. Kebenaran SC atau pendaftaran Memorandum Maklumat tidak boleh diambil kira bahawa SC telah mengesyorkan Dana tersebut. Terdapat yuran dan caj yang dikenakan dan pelabur sofistikated dinasihatkan untuk membandingkan dan mempertimbangkannya sebelum melabur di dalam Dana. Pelaburan di dalam Dana ini terdedah kepada risiko, sila rujuk kepada Memorandum Maklumat untuk maklumat terperinci. Pelabur sofistikated dinasihatkan untuk mempertimbangkan risiko di dalam Dana dan harus membuat penilaian sendiri mengenai risiko dan mendapatkan nasihat professional, jika perlu, sebelum melabur. Pelabur sofistikated juga perlu ambil perhatian bahawa harga unit dan agihan yang dibayar, jika ada, boleh turun dan naik. Sebarang isu unit yang berkaitan dengan Memorandum Maklumat hanya akan dibuat setelah penerimaan borang permohonan yang lengkap yang dilampirkan bersama Memorandum Maklumat, tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung didalamnya.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.