Analisis i-SCORE Experian: Campuran Kredit Pengguna Malaysia Tunjuk Perubahan Dalam Masa 3 Tahun di Kala Digitalisasi Membangun dalam Perkhidmatan Kewangan

Experian Information Services (Malaysia) hari ini mengeluarkan analisis trend skor kredit pengguna dan penggunaan kemudahan kredit rakyat Malaysia untuk tempoh 2018-2020. Kajian ini juga mendedahkan perubahan dalam kelayakan kredit rakyat Malaysia mengikut kumpulan usia berdasarkan penilaian risiko kredit i-SCORE Experian.

I-SCORE Experian merupakan skor kredit pengguna di Malaysia. Ia berdasarkan analisis statistik fail kredit pengguna yang akan menunjukkan skor antara angka 300 hingga 800 untuk melambangkan kelayakan kredit individu pada suatu masa. Unik bagi setiap individu, i-SCORE Experian yang lebih tinggi menunjukkan risiko kredit yang lebih rendah kepada pemberi pinjaman. Pada masa yang sama, institusi bank di Malaysia sering menggunakan i-SCORE Experian dalam membuat keputusan perniagaan dan mengurus portfolio mereka.

I-SCORE Experian dikategorikan kepada Gred Risiko (Risk Grades, RG) dari 1-10. Gred Risiko yang lebih baik ialah RG 8-10, sementara RG 1-4 menandakan risiko yang lebih tinggi.

Menerusi Analisis i-SCORE Experian, sejumlah 5.7 juta individu dari pelbagai peringkat usia telah dikaji dan mengambil kira pengguna yang berada di seluruh Malaysia (lihat lampiran untuk maklumat terperinci). Kemudahan kredit yang termasuk dalam kajian ini terdiri daripada kad kredit, pinjaman peribadi, sewa beli (cth: pinjaman kenderaan), gadai janji, overdraf, pinjaman kerajaan & pinjaman pendidikan serta lain-lain.

Skor kredit lebih lemah pada tahun yang terjejas oleh COVID-19, terutamanya buat segmen berusia 22 hingga 28 tahun

Mengulas mengenai analisis i-SCORE Experian, Dawn Lai, Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Services (Malaysia) berkata, “Apabila membandingkan tahap risiko kredit 2020 dengan 2018, peningkatan dapat dilihat untuk semua kumpulan usia terutama dalam kalangan rakyat Malaysia yang berusia lebih matang. Hampir 70 peratus individu berusia 29 – 35 telah mengekalkan atau menambahbaikkan tahap risiko mereka selama 3 tahun terakhir ini. Peningkatan serupa ini dilihat pada pengguna yang lebih matang, dengan 87 peratus individu berusia lebih dari 65 tahun telah mengekalkan atau menambahbaikkan lagi tahap gred risiko mereka.

Rajah 1: Status Gred Risiko Buat Seluruh Kumpulan Usia (2020 berbanding 2018)

“Ini menandakan bahawa walaupun dilanda COVID-19, pembayaran hutang individu rakyat Malaysia secara amnya stabil pada tahun 2020, dengan kelemahan yang lebih banyak dilihat dalam kalangan pengguna yang lebih muda yang berusia 22-28 tahun. Kini, moratorium pinjaman yang dilaksanakan menyeluruh sepanjang 6 bulan yang berakhir pada September 2020 telahpun beranjak ke arah pendekatan yang lebih menyasarkan mereka yang memerlukan lanjutan atau rundingan untuk Penjadualan atau Penyusunan Semula (Rescheduling & Restructuring). Justeru, kami menggalakkan rakyat Malaysia agar mereka mula mengambil langkah aktif untuk mengawal portfolio kredit mereka di 2021 berikutan masih terdapat risiko dan ketidakpastian dalam ekonomi.”  

Trend campuran kredit berubah pada tahun 2020 berbanding tahun 2018

Dipacu oleh usaha digitalisasi secara meluas oleh bank dan pengguna, rakyat Malaysia di semua segmen usia memperlihatkan perubahan dalam campuran kredit mereka selama 3 tahun terakhir ini. Sebilangan besar pengguna meningkatkan penggunaan kemudahan kredit jangka pendek seperti kad kredit pada tahun 2020 berikutan kekangan fizikal pada tahun yang terjejas oleh COVID-19, lantas mempercepatkan perbankan dan transaksi digital.

Rajah 2: Campuran Kemudahan Kredit mengikut Kumpulan Usia Sepanjang 3 Tahun (2018-2020)

Mengulas lebih lanjut tentang segmen berusia 22 hingga 28 tahun, Lai telah menekankan kemunculan sebuah trend yang menggusarkan dalam kalangan mereka yang masih baharu kepada kredit dan pengurusan kemudahan kredit. Perubahan paling ketara dalam campuran kredit dari 2018 hingga 2020 dilihat di kalangan golongan muda Malaysia. Aspek yang paling menyumbang ke arah campuran kemudahan kredit mereka dalam 3 tahun yang lalu adalah dalam Pinjaman Kerajaan & Pendidikan dan Lain-lain (32 peratus). Tetapi pada tahun 2020, Kad Kredit menjadi penyumbang utama, meningkat hampir dua kali ganda dari 20 peratus menjadi 38 peratus. Hampir 2 dari 5 (39 peratus) individu dalam kumpulan usia ini juga mengalami tahap risiko yang kian merosot (rujuk Rajah 1).

“Pengguna yang baru sahaja menggunakan kredit adalah golongan paling terdedah dengan risiko kerana mereka mungkin kekurangan pengalaman dalam pengurusan kredit. Malah, sebarang salah urus dalam kredit boleh menyebabkan kesan jangka panjang terhadap akses untuk kemudahan kredit. Nasihat Experian kepada pengguna muda Malaysia adalah untuk mengambil langkah proaktif agar menjadi lebih celik kewangan dari awal. Paling penting, memantau skor kredit anda sendiri akan menjadikan anda lebih mengambil tahu dan menghargai betapa pentingnya pengurusan kredit sepanjang kehidupan kita,” nasihat Lai.

Laman web perbandingan kewangan tempatan, RinggitPlus yang baru-baru ini mengeluarkan Kajian Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2020 juga mendedahkan bahawa golongan belia / milenial (di bawah 35 tahun) adalah tidak celik kewangan. Dengan hanya 29 peratus menyedari pentingnya dana kecemasan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dilaksanakan, hampir satu daripada empat (23 peratus) golongan ini berbelanja dengan jumlah yang sama ataupun lebih daripada pendapatan mereka. Tiga dari lima (hampir 60 peratus) dalam segmen usia ini mengatakan bahawa mereka tidak dapat menampung perbelanjaan mereka dengan simpanan semata-mata, untuk jangkamasa lebih dari 3 bulan.

Pemberi pinjaman memperketat syarat kelulusan baharu di kebanyakan portfolio pada tahun 2020

Rajah 3: Kelulusan Gred Risiko Kemudahan Kredit (Jan 2020 – Sep 2020)

Sebahagian daripada kajian ini juga merangkumi pemerhatian mengenai kelulusan di seluruh kemudahan kredit sepanjang 3 suku pertama tahun 2020. Dari bulan Jun 2020 hingga September 2020 (rujuk Rajah 3), kriteria pemberian pinjaman yang ketat dapat dilihat sewaktu kekangan aktiviti ekonomi yang sebahagian besarnya diakibatkan oleh kesan Covid-19. Pemberi pinjaman meluluskan pemohon yang mempunyai gred risiko kredit yang lebih baik (RG 8-10) dalam portfolio kad kredit dan pinjaman peribadi mereka. Trend yang serupa telah direkodkan dalam portfolio kredit bercagaran untuk gadai janji dan sewa beli.

Trend konservatif ini berkemungkinan besar akan berterusan berikutan ketidakstabilan ekonomi yang masih berlanjutan, kewujudan kes COVID-19, ketidakpastian politik dan juga keadaan darurat Malaysia ketika ini.

Sudut pandang daripada analisis Experian turut mencerminkan data yang dikeluarkan oleh Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia 2020/2021 yang mencatatkan bahawa sebahagian besar hutang seisi rumah merangkumi pinjaman untuk pembelian hartanah kediaman (55.9%) pinjaman peribadi (14.2%) dan kereta penumpang (12.3%). Dalam tujuh bulan pertama pada tahun 2020, kelulusan dan pengeluaran pinjaman turun sebanyak 22% dan 7.3% kepada RM185.5 bilion dan RM657.1 bilion. Pinjaman seisi rumah juga bergerak perlahan dengan kelulusan pinjaman yang menurun sebanyak 30% kepada RM88.9 bilion.

“Walaupun tahun 2020 adalah amat mencabar, skor risiko kredit tetap kukuh secara umumnya. Ini mungkin disebabkan pelbagai pengenalan inisiatif dan langkah rangsangan dari kerajaan. Namun dalam jangka masa panjang, apabila bantuan ini berkurangan, impak sebenar mungkin akan muncul dan mempengaruhi ekonomi, lantas kelestarian syarikat dan pekerjaan. Sebagai individu, sebarang keputusan membabitkan kredit memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Dengan ketidaktentuan ekonomi yang bakal kita tempuhi, kami menggesa rakyat Malaysia untuk tetap proaktif dan mendalami hal ehwal pengurusan kredit dan kewangan mereka agar mereka dapat merancang masa hadapan di samping menguatkan langkah pemulihan masing-masing selepas ini,” akhiri Lai.  

Mengenai Experian

Experian adalah syarikat perkhidmatan maklumat global terkemuka di dunia. Saat-saat terpenting dalam kehidupan – dari membeli rumah atau kereta, menghantar anak melanjutkan pelajaran, sehinggalah mendapatkan pelanggan baharu untuk mengembangkan perniagaan – kami meletakkan kuasa di tangan pengguna dan pelanggan kami untuk menguruskan data mereka dengan yakin. Antaranya, kami membantu individu untuk mengawal kewangan mereka dan mengakses perkhidmatan kewangan. Kami turut membantu perniagaan untuk membuat keputusan yang lebih bijak supaya mereka dapat berkembang lebih maju. Selain itu, kami membantu pemberi pinjaman untuk memberi pinjaman dengan lebih bertanggungjawab, di samping membantu organisasi untuk mencegah penipuan dan jenayah identiti.

Kami mempunyai 17,800 pekerja yang beroperasi di 45 negara dan saban hari, kami melabur ke arah teknologi baharu, bakat baharu dan inovasi untuk membantu semua pelanggan kami memaksimumkan setiap peluang yang tiba. Kami disenaraikan di Bursa Saham London (EXPN) dan tersenarai dalam FTSE 100 Index.

Ketahui lebih lanjut di www.experianplc.com atau lawati laman kandungan global kami untuk mendapatkan berita dan pandangan terkini dari Kumpulan Syarikat kami.

Lampiran

Pecahan Demografi Kajian
* Kumpulan Usia 18-21 dikecualikan daripada kajian kerana akses kemudahan kredit adalah terhad

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.