Boost Menyertai Ekosistem DuitNow QR untuk Membantu Penjanaan Semula Ekonomi Malaysia Secara Tanpa Kontak dan Lebih Selamat

E-dompet tempatan, Boost mengumumkan penyertaan ke dalam PayNet Real Time Retail Payment Platform (“RPP”) dan boleh menggunakan DuitNow QR, bermula pada hari Jumaat lalu. DuitNow QR ialah standard kod QR kebangsaan yang dikeluarkan oleh Payments Network Malaysia (PayNet) di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Operasi (ICTF) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Penyertaan Boost diumumkan tepat pada masanya, kerana ia meningkatkan pilihan dan keupayaan pembayaran digital bagi membantu menamatkan kitaran COVID-19 secara selamat dan tanpa kontak. Pada masa yang sama, ia menggalakkan perbelanjaan tempatan  dan penjanaan semula ekonomi yang kini kembali terbuka.

DuitNow QR berfungsi sebagai kod QR standard yang disatukan dan membolehkan urusan tanpa tunai, tanpa kontak dan mudah untuk semua pengguna e-dompet, termasuk mereka yang tidak menggunakan pelantar Boost. Kemudahan yang ditawarkan turut merangkumi pedagang Boost, di mana hanya satu kod QR diperlukan untuk menerima bayaran tanpa kontak dan tanpa tunai dari pengguna mana-mana syarikat e-dompet yang menyertai ekosistem PayNet. Seterusnya, pedagang akan mendapat akses kepada kelompok pelanggan mudah alih-dahulu yang lebih besar.

Pada masa yang sama, pengguna Boost juga boleh meningkatkan capaian kepada lebih ramai pedagang menggunakan QR DuitNow untuk pembayaran serta menuntut ganjaran kesetiaan Boost yang menarik.

Mohd Khairil Abdullah, CEO Boost berkongsi, “Kami percaya kewujudan kod QR standard yang disatukan sebagai infrasktuktur sepunya pembayaran ialah ciri penentu dalam membina ekosistem tanpa tunai ‘One Nation, One QR.’ Ini akan memudahcara saling kendali antara penyedia pembayaran digital dan meningkatkan kebolehcapaian warga Malaysia untuk menghayati gaya hidup kebiasaan baharu, di mana sistem tanpa tunai menjadi keutamaan. Tentunya, ini akan membantu pemulihan ekonomi dengan membolehkan warga Malaysia kekal selamat dan tanpa kontak apabila melangkah ke luar rumah dalam suasana pergerakan lebih bebas sewaktu PKPB, PKPP dan tempoh seterusnya.”

“Kami teruja untuk menyertai rangkaian QR DuitNow dan bekerjasama dengan Paynet untuk menyumbang kepada membentuk lembaran seterusnya dalam transformasi digital dan tanpa tunai negara,” tambah Khairil. 

Ketika negara masih giat memerangi pandemik, penggunaan QR DuitNow oleh Boost amat penting untuk mengurangkan pendedahan dan risiko kontak COVID-19, demi pengalaman lebih selamat apabila membeli belah dalam talian atau di kedai.

Peter Schiesser, CEO Kumpulan, PayNet berkata, “Pada tahun lalu, e-dompet seperti Boost memainkan peranan penting dalam membantu warga Malaysia mengamalkan gaya hidup tanpa tunai dan tanpa kontak. Penyertaan Boost di ekosistem DuitNow bakal mengukuhkan sumbangan mereka kepada memberdayakan perniagaan, khususnya perusahaan mikro dan PKS,untuk menerima pembayaran digital dan mengharungi impak COVID-19. PayNet berbesar hati untuk membantu Peserta kami melalui penyediaan ekosistem kewangan terangkum dan kolaboratif, yang berciri liut, berdaya saing dan boleh diakses oleh semua. Penyertaan Boost, dengan pangkalan pengguna dan pedagang luas meliputi sehingga Sabah dan Sarawak yang kini menggunakan QR DuitNow, ekosistem DuitNow di dalam negara yang rancak membangun semakin bersedia memacu penggunakan ePembayaran dan keterangkuman kewangan yang meluas di dalam negara.”  

Boost menempa nama sebagai pengusaha e-dompet utama yang pertama di dalam negara pada Oktober 2017. Semenjak itu, Boost sudah memperluaskan lingkaran kepada hampir sembilan juta pengguna. Kini, dengan kod QR DuitNow, syarikat memperluaskan pangkalan pedagang kepada lebih daripada 231,000. Syarikat e-dompet tempatan ini kini diterima dengan luas di seluruh negara, di mana hampir 60% pedagang terdiri daripada perusahaan mikro dan pedagang yang lazim berasaskan tunai seperti gerai makanan, peniaga pasar malam dan kedai kecil-kecilan, manakala baki 40% termasuk jenama terkenal di sektor peruncitan. 

Penggunaan kod QR DuitNow sejajar dengan kempen #BoostGotYou yang dirasmikan pada Mac lalu, ketika PKP pertama di mana warga Malaysia mula mempelajari cara kekal selamat di rumah dalam kebiasaan baharu. Kempen #BoostGotYou mengetengahkan perkhidmatan dan solusi inovatif untuk warga Malaysia menjalankan urusan perlu dengan kemudahan tanpa kontak yang selamat. Ini termasuk membayar bil, membeli tambah nilai prabayar untuk terus berhubung dengan orang tersayang, membeli-belah dalam talian, memperoleh perlindungan insurans dan membantu kelangsungan perniagaan pedagang tempatan.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh mengikuti rangkaian media sosial rasmi Boost di Facebook (facebook.com/myboostapp) dan Instagram (instagram.com/myboostapp) serta laman sesawang rasmi di www.myboost.com.my. Boost boleh dimuat turun di Google Play, App Store atau HUAWEI AppGallery.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI