5 Cara Simple Untuk Dapatkan Kembali Duit Hutang

“Pinjam duit kau sikit, nanti aku bayar balik” dan akhirnya sampai sekarang masih tak bayar-bayar.

Boleh dikatakan semua orang pasti pernah meminjamkan duit kepada rakan-rakan mahupun ahli keluarga bukan?

Ada sesetengah tu bila nak pinjam tu lembut lidah berbicara, tapi apabila time nak bayar buat-buat lupa. Sekarang anda perlukan duit, tapi nak minta segan.

Jadi apa cara terbaik untuk anda dapatkan kembali duit dengan cara halus tanpa menyakitkan hati peminjam?

1. Ingatkan Mereka

Sesetengah orang bukan sengaja tak mahu membayar kembali duit anda. Kadang-kadang mereka sebenarnya terlupa tambah lagi kalau jumlah yang dipinjam itu adalah kecil.

Tapi walaupun sedikit, itu tetap duit anda. Jadi ingatkan mereka tentang hutang ini.

Gunakan bahasa yang baik. Timing pun kena betul, seeloknya masa hari gaji. Anda boleh buat-buat tanya seperti, “Eh, hari tu kau ada pinjam duit aku kan? Agak-agak bila kau boleh bayar sebab aku nak guna duit.”

Simple kan?

2. Tanya Perkembangan

Kalau anda segan nak gunakan cara di atas, anda mungkin boleh gunakan cara ini. Selalunya peminjam akan memberitahu sebab mengapa mereka ingin meminjam duit tersebut.

Katakanlah mereka ingin meminjam untuk membaiki kereta. Jadi anda boleh tanyakan perkembangan kereta itu. Adakah kereta tersebut sudah siap dibaiki?

Ini cara yang lebih halus untuk mengingatkan mereka tentang hutang anda itu. Selalunya mereka akan faham hint ini yang menandakan bahawa mereka perlu segera membayar hutang.

3. Biar Mereka Bayarkan

Kalau jumlah yang dipinjam itu kecil, anda boleh meminta mereka bayarkan makanan atau tiket wayang sekiranya anda keluar bersama.

Tolak perbelanjaan tersebut daripada hutang mereka.

Jadi anda tetap akan dapar kembali duit anda itu walaupun bukan dalam bentuk tunai. Tetapi ingat, minta dengan cara yang baik-baik saja.

4. Minta Pertolongan Mereka

Dulu anda dah tolong mereka dengan memberikan pinjaman, sekarang masanya untuk mereka membayar kembali. Sekiranya anda perlukan duit untuk sesuatu, minta sahaja kepada mereka dan beritahu yang anda memerlukan duit tersebut.

Tetapi sekiranya anda rasa baik hati dan tidak mahu meminta kembali wang anda kerana faham dengan situasi peminjam yang mungkin berada dalam kesempitan wang, anda mungkin boleh memohon pertolongan mereka dengan cara lain.

Contohnya anda ingin pertolongan untuk mengecat rumah, anda boleh meminta mereka untuk membantu anda untuk mengecat rumah. Nanti pandai-pandailah tolak daripada jumlah hutang mereka tersebut.

5. Beri Satu Tempoh

Kalau jumlah yang dipinjam itu agak besar, anda boleh meminta mereka untuk membayar secara ansuran dalam tempoh masa tertentu.

Ini bukan saja dapat membantu mereka untuk melangsaikan hutang, tetapi juga memberi jaminan yang anda akan mendapatkan kembali duit anda walaupun tidak sepenuhnya.

Masalah hutang yang tidak diselesaikan boleh memusnahkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan. Kalau anda hendak beri juga hutang kepada sahabat atau saudara-mara, berilah jumlah yang bersesuaian.

Yang mana kalau mereka tak bayar pun, anda tidak berasa terkilan sangat.

Sumber Rujukan: Compare Hero

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.