15 Tahun AKPK Memperkasa Rakyat Ke Arah Kesejahteraan Kewangan

Hari ini genap 15 tahun Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit beroperasi sejak ia ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2006. Agensi yang lebih dikenali sebagai AKPK ini adalah sebahagian daripada Rangka Kerja Perlindungan Pengguna di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan 10 tahun BNM (2000 – 2010).

Tujuan penubuhan AKPK tersirat dalam logonya—akronim AKPK yang berwarna biru berserta gurisan berkembar yang melengkung; masing-masing berwarna kelabu dan biru mewakili pengguna dan AKPK. Kedua-dua gurisan ini, selari antara satu sama lain, melambangkan AKPK yang sedang membimbing dan membantu pengguna untuk terus maju ke arah pengurusan wang yang lebih baik.

Untuk tujuan itu, AKPK menawarkan tiga (3) perkhidmatan utama. Pendidikan kewangan (PK) menyediakan bahan dan program untuk kemahiran asas dalam pengurusan wang serta tip tentang bagaimana menggunakan kredit secara bertanggungjawab. Khidmat nasihat kewangan (NK) memberikan nasihat secara peribadi kepada individu untuk mengurus kewangan dengan bijak—dari cara membuat belanjawan dan mengurus kewangan sehinggalah kepada masalah berkaitan kredit. Program Pengurusan Kredit (PPK) pula menyediakan pelan pembayaran balik yang sesuai dengan kemampuan individu melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan.

Selama lebih daripada sedekad, AKPK telah menjadi jenama yang dipercayai oleh isi rumah untuk penyelesaian masalah pengurusan kewangan. Setakat ini, AKPK telah membantu hampir 1.2 juta individu melalui NK, dan daripada jumlah tersebut, lebih daripada 330,000 telah mengambil bahagian dalam PPK. Hampir 34,000 dari mereka yang mengambil bahagian dalam PPK telah berjaya melunaskan tunggakan yang berjumlah lebih daripada RM1.5 bilion. Dari aspek pencegahan pula, hampir 7 juta rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada pelbagai intervensi pendidikan kewangan AKPK sejak penubuhannya.

Kini, setelah 15 tahun beroperasi, perjalanannya bukan lagi seperti biasa buat agensi milik penuh BNM ini. Mulai akhir tahun 2020, AKPK telah diberi mandat baharu untuk membantu perniagaan, khususnya PKS. Kini, dengan slogan “AKPK untuk semua”, AKPK menjadi pusat setempat bagi penyelesaian masalah pengurusan kewangan untuk isi rumah dan PKS termasuk perniagaan mikro di negara ini.

Ini bermula dengan penyediaan kemudahan PPK untuk pemilik tunggal, diikuti dengan pemindahan fungsi Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SPPK) dari BNM ke AKPK. SPPK merupakan jalan penyelesaian bagi PKS untuk mendapatkan bantuan pembayaran balik, lantas melengkapkan usaha industri perbankan dalam memberikan bantuan kepada PKS yang terjejas. Ini dilakukan dengan memudahkan perbincangan antara PKS dan bank dalam menyusun semula pembayaran balik secara baik dan kolektif, tanpa menggunakan saluran undang-undang. Di samping itu, AKPK juga melancarkan Meja Bantuan Perusahaan Mikro yang memberi khidmat nasihat kewangan dan memudahkan urusan bantuan pembayaran balik oleh pihak bank kepada perusahaan mikro.

Dalam ulasannya, Ketua Pegawai Eksekutif, Azaddin Ngah Tasir, menegaskan bahawa AKPK sudah pun bersedia untuk menjalankan mandat baharunya malah telah merangka visi dan misi baharu untuk mencerminkan perubahan ini.

“Misi kami adalah untuk memperkasa masyarakat—isi rumah dan PKS—agar mempunyai daya tahan kewangan melalui pendidikan kewangan serta khidmat nasihat kewangan dan pengurusan hutang yang bertumpuan pelanggan. Untuk misi ini, kami telah menetapkan visi untuk menjadi peneraju yang berautoriti dan dipercayai ke arah kesejahteraan kewangan, memperkasa masyarakat yang berdaya tahan kewangan dan menyumbang kepada matlamat sosio-ekonomi negara. Dengan kata lain, kami adalah syarikat yang menerapkan

amalan terbaik dalam setiap apa yang kami lakukan. Pada masa yang sama, di mata isi rumah dan perniagaan di Malaysia, kami adalah sebuah khidmat masyarakat yang menyediakan penyelesaian khusus untuk membantu mereka bertahan dan pulih dengan cepat daripada sebarang kejutan kewangan agar dapat mengekalkan ketenangan fikiran.”

Menyentuh tentang apa yang akan mendorong AKPK untuk terus maju ke hadapan, Azaddin menambah, “Selama bertahun-tahun kami telah berlayar dengan baik ke destinasi yang hendak dituju dan sekarang kami akan memulakan pelayaran baharu untuk membawa AKPK ke sempadan yang baharu pula. Sudah pasti kami akan menghadapi lebih banyak cabaran. Menyedari hal ini, kami telah menyusun rancangan tiga (3) tahun untuk transformasi digital AKPK. Lebih penting lagi, saya percaya bahawa warga kerja AKPK mempunyai DNA untuk berjaya kerana kami telah memupuk budaya korporat AKPK selama bertahun-tahun dengan nilai-nilai kejayaan berikut: Pembelajaran, Empati, Produktiviti, Integriti dan Keikhlasan serta Kemuliaan. Budaya AKPK membuatkan kami melihat bahawa apa yang kami lakukan bukanlah satu pekerjaan tetapi khidmat bakti kepada masyarakat, dan kami akan terus melakukannya untuk tahun-tahun yang akan datang.”

Mengimbau kembali perjalanan AKPK, agensi ini bermula dengan cawangan utamanya di Kuala Lumpur, dan cawangan keduanya di Johor Bahru. AKPK menawarkan PPK dan modul Pengurusan Kewangan Peribadi untuk digunakan bagi membimbing pengguna mengurus kewangan peribadi mereka. Dalam tempoh lima tahun pertama ini, AKPK menubuhkan sembilan cawangan lain di Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Kuching, Melaka, Kuantan, Ipoh, Alor Setar dan Kota Bharu. AKPK juga menyebarluaskan kehadirannya di kalangan pengguna dengan pelancaran laman web korporat, e-buletin dan platofrm media sosial AKPK.

Lima tahun seterusnya menyaksikan AKPK mempertingkat perkhidmatan pengurusan hutang dan pendidikan kewangannya. Pemprosesan PPK menjadi lebih cepat dan modul baharu diperkenalkan untuk menjadikan pendidikan kewangan AKPK lebih relevan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Tempoh ini juga menyaksikan AKPK memperkuat inisiatif literasi kewangannya melalui kerjasama dengan institusi kewangan dan agensi kerajaan, antara lain, sebagai rakan pintar.

Lima tahun berikutnya pula sehingga 2020 merupakan tempoh transformasi bagi AKPK—mengembangkan potensinya untuk menjadi badan berautoriti dalam kesejahteraan kewangan.

Dalam pendidikan kewangan, AKPK mula mengadakan wacana intelektual, dengan satu simposium nasional yang diadakan pada tahun 2018, serta melakukan kajian-kajian di peringkat nasional. Program khusus mahupun awam serta banyak lagi modul dalam talian dapat diakses melalui portal pembelajaran dalam talian AKPK. Portal Pendidikan Kewangan AKPK pula yang telah tersedia sejak Disember 2019 menawarkan perkhidmatan berkaitan dengan lengkap. AKPK juga menganggotai Jaringan Pendidikan Kewangan yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  

Dalam khidmat nasihat dan pengurusan hutang pula, AKPK memberikan bantuan perundingan lanjutan kepada pemohon pembiayaan rumah yang tidak berjaya melalui inisiatif yang disebut Khidmat Nasihat Kewangan (MyKNP). Penstrukturan semula pinjaman perumahan juga diperkenalkan dalam PPK.

AKPK juga meningkatkan kerjasama dengan pelbagai rakan pintar. Salah satu kolaborasi utama ialah ‘Sinergi Sosial’ yang dilancarkan oleh AKPK dan PERKESO bersama dengan agensi lain. Ahli-ahli agensi yang terlibat boleh mendapatkan penyelesaian holistik kepada masalah kewangan mereka agar dapat memulihkan kembali kehidupan dan penghidupan.

Sepanjang tempoh ia berperanan dalam masyarakat, AKPK telah diiktiraf dengan pelbagai cara. Antara yang utama ialah anugerah ‘Sijil Pengiktirafan Pengurusan Perkhidmatan Pelanggan’ oleh SIRIM, dan anugerah ‘Organisasi Sektor Awam Terbaik’ dan ‘Juara CEO’ bagi kategori Organisasi Sektor Awam dalam Anugerah LIFE AT WORK 2019 TalentCorp. Selain daripada perkhidmatan AKPK yang mengubah hidup individu, usaha mengangkat jenama AKPK melalui video-video pengumuman perkhidmatan awam (PSA) yang disiarkan di saluran TV utama semasa musim perayaan, wawancara media dan mesej-mesej di media cetak mahupun digital, semuanya menyumbang kepada pengiktirafan yang AKPK nikmati pada hari ini.

Azaddin menyimpulkan, “Pengiktirafan dan status yang dinikmati AKPK hari ini sebahagian besarnya datang daripada kerjasama pintar kami dengan rakan media dan juga sektor awam mahupun swasta. Kami sentiasa berterima kasih dan menghargai sokongan rakan pintar kami yang tidak putus-putus membantu AKPK mengubah persepsi masyarakat yang menganggap AKPK sebagai pusat pemulihan kewangan untuk peminjam yang bermasalah semata-mata kepada pengiktirafan “AKPK Sahabat Kewangan Anda”, iaitu agensi bertumpuan pelanggan yang memberikan ketenangan jiwa kepada semua rakyat Malaysia dengan membantu mereka dalam semua keperluan pengurusan kewangan mereka.

Memperakui AKPK sebagai agensi yang sedemikian, seorang pelanggan PPK berkata dalam satu wawancara, “Saya pernah menyertai PPK sebelum ini dan ia benar-benar memberikan saya ketenangan fikiran. Tiada lagi panggilan telefon dan notis kutipan hutang. Saya hanya perlu fokus untuk menyelesaikan ansuran yang distrukturkan semula dengan AKPK. Dulu saya berasa malu untuk menyertai PPK tetapi sekarang saya telah pun melunaskan pinjaman saya yang tertunggak. Dengan bantuan AKPK, saya kini selesa dengan kedudukan kewangan saya dan dapat merancang kewangan saya dengan lebih yakin untuk masa hadapan.”

Sepanjang 15 tahun kewujudannya, telah terbukti AKPK dapat memberikan ketenangan fikiran kepada ramai rakyat Malaysia yang menghadapi kesukaran dalam menguruskan kewangan mereka. AKPK mempunyai kedudukan yang unik untuk membantu individu yang berada dalam keberhutangan serius agar dapat kembali membayar balik pinjaman mereka dengan selesa di samping memberikan mereka panduan dan pembelajaran yang berkesan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan. Apa yang akan diusahakan oleh AKPK selepas ini adalah jelas—mandat untuk mewujudkan sektor isi rumah dan perniagaan yang berdaya tahan kewangan ke arah Malaysia yang lebih kukuh.

Nota Tambahan

AKPK beribu pejabat di Menara Bumiputra-Commerce sejak Jun 2020. Pada masa ini, orang ramai digalakkan untuk menghubungi AKPK melalui pautan perkhidmatannya, https://services.akpk.org.my, untuk pertanyaan atau bantuan, atau mengunjungi laman webnya di https://www.akpk.org. untuk maklumat lanjut. Harap maklum bahawa AKPK tidak pernah melantik ejen pihak ketiga untuk menjalankan perkhidmatannya.

Tanpa mengira perubahan dan pengembangannya, AKPK terus mengguna pakai moto sejagatnya, iaitu Jadikan Pengurusan Kewangan yang Berhemat Sebagai Budaya Hidup.

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.