Belajar Daripada Kegagalan, Lelaki Thailand Ini Menjadi Jutawan Pada Usia 26 Tahun

Semua orang pasti pernah merasai kegagalan. Namun gagal sekali tidak bermaksud kita akan gagal selama-lamanya.

Itulah yang dibuktikan oleh seorang lelaki dari Thailand. Beliau telah mencapai status jutawan seawal usia 26 tahun!

Anda pasti tak pernah dengar nama Top Aitthipat Kulapongvanich kan? Tapi kami pasti anda pernah melihat produk snek rumpai lautnya di pasaran iaitu Tao Kae Noi.

Kalau anda hendak tahu, bukan mudah bagi beliau untuk memperoleh kejayaan ini. Pelbagai liku dan cabaran terpaksa ditempuhinya.

Dilahirkan Dalam Keluarga Yang Senang

Lelaki yang lebih dikenali dengan nama Top Ittipat dilahirkan pada 24 November 1986 dalam keluarga yang berada. Jadi beliau tidak terlalu memikirkan tentang masa depannya.

Tetapi panas tidak sampai ke petang apabila perniagaan keluarganya mula mengalami kemerosotan.

Sewaktu berusia 16 tahun, Top agak taksub dengan permainan komputer. Dari situlah titik tolak beliau mula terlibat dalam dunia perniagaan.

Beliau mula menjual senjata-senjata games online tersebut kepada para pengguna lain. Top mendapat keuntungan sebanyak 1 juta Baht sehingga mampu membeli keretanya sendiri.

Namun disebabkan jual beli ini adalah salah di sisi undang-undang, perniagaan ini terpaksa dihentikan dan akaunnya juga telah dibekukan oleh pihak bank. Keadaan ini juga turut diburukkan dengan masalah kewangan keluarganya.

Keluarganya telah diisytihar muflis dengan tanggungan hutang yang banyak. Kerana sikap malasnya selama ini, beliau juga tidak berjaya mendapatkan tempat di universiti awam dan terpaksa mendaftar di universiti swasta.

Dengan baki wang yang ada beliau mengambil keputusan untuk membuka perniagaan DVD Player. Tetapi nasibnya malang kerana telah ditipu.

Beliau berusaha untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank tetapi gagal. Ketika itulah Top mula berasa menyesal kerana mengabaikan pelajaran.

Photo by Francesco Paggiaro from Pexels

Minat dalam bidang perniagaan diteruskan bersama dengan pakciknya. Mereka mula mengusahakan perniagaan kacang chestnut di sebuah pasaraya.

Beliau telah bereksperimen untuk mendapatkan resepi kacang yang sedap dan berjaya mendapatkan rasa yang diingini.

Pelbagai perkara yang dipelajarinya dalam perniagaan kacang ini seperti pemilihan lokasi strategi perniagaan dan sebagainya. Baru sahaja hendak merasai manisnya kejayaan, masalah lain pula timbul.

Pihak pasaraya melarang Top untuk meneruskan perniagaannya kerana mendakwa mesin membuat kacang gorengnya telah mengeluarkan asap sehingga mengotorkan siling.

Pada waktu ini beliau hampir berputus asa. Tambah pula dengan bebanan hutang keluarga yang tekah meningkat sehingga 40 juta Baht!

Oleh itu keluarga Top mengambil keputusan untuk berhijrah ke China.

Anda pasti dapat meneka apa yang berlaku kemudian bukan?

Top berkeras untuk terus menetap di Thailand!

Kredit Gambar: Lucent Asset

Beliau mencuba pula perniagaan rumpai laut goreng dan telah menghabiskan sebanyak 100 ribu Baht untuk mempelajari teknik mengusahakannya dengan betul.

Beliau cuba untuk memasarkan produknya di 7-Eleven walaupun ia tidak semudah seperti yang disangka. Tetapi berkat kesabaran serta semangat yang tidak berputus asa, produknya ini mendapat sambutan sehingga dipasarkan ke luar negara.

Kini Top menjadi salah seorang jutawan muda terkaya di Thailand. Beliau telah melunaskan kesemua hutang keluarganya.

Kisah hidupnya yang sangat  menarik ini juga telah di adaptasi ke layar perak.

Sekiranya anda berminat untuk mengikuti kisahnya, anda bolehlah menonton filem yang bertajuk “Top Secret: The Billionaire”.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.