Usahasama Revenue Monster Dan Boost Memacu Perniagaan Digital Pengusaha F&B Sempena Bulan Ramadan

Revenue Monster – sebuah syarikat teknologi kewangan Malaysia yang mempelopori pendigitalan perniagaan telah mengumumkan usahasama baharu dengan pakar inovasi pembayaran eDompet tempatan, Boost dalam usaha meluaskan peluang pasaran digital bagi pengusaha makanan dan minuman (F&B) bersempena dengan bulan Ramadan.

Usahasama ini akan menyaksikan penyelesaian stor atas talian Revenue Monster, à la carte diintegrasikan terus ke dalam aplikasi eDompet Boost. Dengan ini, pengusaha F&B akan dapat mencapai hampir 9 juta pengguna eDompet Boost, seterusnya meningkatkan jangkauan pasaran mereka.

Khususnya, untuk pengusaha gerai di bazar Ramadan, mereka akan mempunyai lebih platform untuk menjual hidangan lazat mereka walaupun tanpa pelanggan berkunjung ke bazar, seterusnya meningkatkan peluang pendapatan mereka.

“Usahasama ini amat penting bagi kami dan para peniaga kerana ia membantu untuk mencapai langkah seterusnya dalam rancangan kami untuk meluaskan rangkaian bagi rakan niaga kami,” kata Amanda Chin, Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster. “Tidak dinafikan, pandemik ini telah menunjukkan bahawa digital adalah amat penting untuk maju. Di Revenue Monster, kami telah meluangkan bertahun-tahun membantu ribuan perniagaan membuat transformasi ini. Kini, dengan usahasama ini kami membuka lebih potensi untuk kelengkapan digital kami menerusi akses kepada data pelanggan Boost untuk memacu perniagaan rakan niaga kami secara digital.”

Penyelesaian à la carte yang dilancarkan awal 2020 ketika negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, telah menarik beberapa rakan niaga F&B seperti Sushi King, Kenny Rogers Roasters dan Dragon-I. à la carte telah menjadi satu elemen penting dalam membantu kelangsungan perniagaan dan membantu menjana lebih pendapatan di kala pandemik melanda.

Dengan ciri dalam aplikasi, pengguna Boost kini boleh mencapai akses, membuat pesanan dan membayar untuk perkhidmatan penghantaran makanan yang ditawarkan oleh rakan niaga F&B Revenue Monster menerusi aplikasi tersebut.

Mengulas tentang usahasama tersebut, Mohd Khairil Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Boost, berkata “Dengan peningkatan rakyat Malaysia yang kini mengaplikasikan gaya hidup tanpa sentuh dalam norma baharu ini, usahasama dengan Revenue Monster ini adalah tepat pada masanya. Kami akan dapat memberikan lebih pilihan dan kemudahan kepada jutaan pengguna di samping meningkatkan pendapatan rakan niaga F&B kami.”

Demi menghargai pelanggan, Boost menawarkan pengguna mereka promosi istimewa sempena Ramadan. Bermula 13 April sehingga 14 Mei, pengguna yang berbelanja sebanyak RM25 ke atas untuk pesanan makanan daripada pengusaha terpilih akan menerima rebat automatic berjumlah RM2. Para peniaga ini meliputi sebahagian peniaga terpilih dari à la carte.

Ciri baharu à la carte pada Boost menawarkan yuran platform terendah iaitu pada 18% untuk peniaga. Sebagai manfaat tambahan kepada peniaga sempena Ramadan, bermula sekarang sehingga 31 Mei 2021, peniaga yang mendaftar dengan tempoh minima setahun akan menerima satu terminal bayaran secara percuma.

Usahasama dengan Boost merupakan langkah seterusnya dalam strategi berterusan Revenue Monster untuk memacu sinergi dan kerjasama dalam pendigitalan dan industri e-dagang. Usahasama ini seiring dengan satu pengumuman oleh Revenue Monster baru-baru ini yang menampilkan usahasama dengan Alipay, sebuah platform utama untuk pembayaran digital dan perkhidmatan kehidupan seharian.

“Sinergi dan kerjasama akan menjadi keperluan penting untuk memajukan platform dan perkhidmatan digital. Seiring pertumbuhan industri dan perkembangan penggunaan, kita mesti menyatukan perkhidmatan untuk rakan niaga dan pengguna. Perkara ini akan menjadi tumpuan utama kami dalam membawakan perkhidmatan digital kami kepada lebih banyak platform, rakan niaga dan pengguna,” tambah Amanda.

à la carte memperkasakan perniagaan melalui alatan untuk memacu jualan atas talian dengan membolehkan perniagaan mencipta menu dan stor digital mereka sendiri yang boleh digunakan di mana-mana platform digital dan sosial. Kebolehan ini sejajar dengan keseluruhan ekosistem Revenue Monster yang memberikan kelebihan untuk peniaga mendigitalkan dan mengurus operasi perniagaan mereka, dari pembayaran melalui penyelesaian penyatuan pembayaran, pembayaran digital yang pantas dengan hanya satu klik melalui eInvoice, sehinggalah pengurusan pengekalan pelanggan melalui komunikasi media sosial.

Keseluruhan platform Revenue Monster telah memanfaatkan lebih 6,000 rakan niaga dan hampir 13,000 tempat perniagaan dalam industri makanan dan minuman, fesyen dan aksesori, peralatan rumah, kecantikan atau penjagaan peribadi, automobil dan lain-lain.

Daftar untuk penyelesaian à la carte sekarang dan tingkatkan pendapatan perniagaan digital anda dengan melayari www.revenuemonster.my

Tentang Revenue Monster

Ditubuhkan pada 2018, Revenue Monster adalah sebuah syarikat teknologi kewangan yang berpangkalan di Malaysia. Revenue Monster memperkenalkan penyelesaian untuk membantu pendigitalan perniagaan melalui ekosistem digital sepenuhnya.

Revenue Monster menggunakan gabungan unik kaedah pembayaran, program kesetiaan dan baucar, pemasaran media sosial dan teknologi perdagangan mudah alih bagi mencipta penyelesaian yang memberikan kawalan lebih kepada peniaga yang membawa kepada peningkatan nilai perniagaan jangka panjang.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Revenue Monster sila layari www.revenuemonster.my atau ikuti @RevenueMonster di media sosial.

Tentang Boost

Boost merupakan sebuah perkhidmatan eDompet tempatan yang bercirikan gaya hidup dengan matlamat untuk merevolusikan cara pengguna melakukan transaksai harian. Manggabungkan keperluan harian dan teknologi terkini, Boost memastikan transaksi dilakukan secara mudah, pantas, lebih selamat dan keseluruhannya memberikan lebih ganjaran kepada pengguna. Aplikasi eDompet membolehkan pengguna membuat pembayaran melalui telefon mudah alih di lokasi terpilih tanpa perlu menggunakan wang tunai atau kad. Sehingga hari ini, hamper 9 juta pengguna Boost telah menikmati kemudahan membuat pembayaran kepada lebih 235,000 terminal perniagaan di seluruh negara. Pengguna Android boleh memuat turun aplikasi Boost dari Play Store manakala pengguna iOS boleh memuat turun dari App Store. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.myboost.com.my/ atau follow Boost di Facebook (https://www.facebook.com/myboostapp/) dan Instagram (https://www.instagram/myboostapp/).

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.