Perbankan Islam Malaysia Terus Berkembang Pesat Tatkala Dunia Dilanda Pandemik

Tatkala rakyat semakin positif dapat menghela nafas lega untuk menjalani kehidupan secara normal semula, negara diserang dengan gelombang ketiga pandemik global yang menyaksikan kenaikan secara mendadak kes-kes COVID-19.

Dalam kekalutan ini, Fitch Ratings, iaitu sebuah agensi penarafan kredit, telah menyatakan keyakinannya bahawa beberapa sektor ekonomi akan terus berkembang walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-­‐19. Salah satu diantaranya adalah sektor perbankan Islam.

Menurut Dr. Azura Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF), “Faktor utama ketahanan sektor perbankan Islam adalah berdasarkan kepada prinsip kewangan Islam itu sendiri, iaitu perkongsian risiko dan ganjaran. Logik di sebalik prinsip ini adalah untung dan rugi dikongsi di antara bank dan pelanggan-pelanggannya, bersandarkan kepada aset fizikal berbeza dari pinjaman berdasarkan faedah di mana risiko kebanyakannya ditanggung oleh peminjam. Kaedah ini berasal dari prinsip Islam yang mementingkan serta menegakkan keadilan sosial dan amat menggalakkan prinsip ekuiti dalam sebarang transaksi kewangan”.

Diperkasakan oleh prinsip ini, bank yang berpaksikan Islam dan kaedah Shariah amat berpandangan jauh dalam usaha mempersediakan diri dalam pelbagai situasi yang berisiko tinggi, seperti COVID-­19, dan memastikan agar ianya efektif. Analisis yang dilaporkan oleh Fitch Ratings sekaligus mengukuhkan lagi fakta bahawa perbankan Islam telah begitu bersedia untuk bersemuka dengan pelbagai krisis ekonomi. Ini diperkuatkan lagi dengan elemen fleksibiliti sektor perbankan Islam berbanding perbankan konvensional.

Menurut agensi penyelidikan antarabangsa, Pew Research, jumlah penganut Islam di dunia bertambah dua kali ganda dari populasi dunia itu sendiri. Pada tahun 2060, dianggarkan terdapat lebih kurang 3 bilion Muslim di dunia – iaitu pertambahan sebanyak 70% berbanding tahun 2015. Samada mereka berada di Asia, Eropah, Timur Tengah atau benua Afrika, generasi Muslim yang seterusnya bakal memiliki dua persamaan iaitu, usia yang muda dan teknologi yang semakin berkembang.

Perkembangan institusi yang berpaksikan prinsip Shariah adalah bergantung kepada kedua-­dua elemen ini dan kemampuan untuk memperkasakan generasi baru dengan inovasi dan teknologi tinggi. Pada masa kini, sudah terdapat beberapa inisiatif untuk pembangunan kerangka pengawalseliaan antarabangsa berkenaan kewangan Islam. Negara-­negara seperti Malaysia, Indonesia, Qatar dan Kuwait telahpun mengambil langkah-­langkah penting ke arah pemusatan dan mempermudahkan polisi pematuhan kewangan Shariah negara masing-­masing.

“Di CIIF, kami melihat ini situasi ini sebagai satu peluang untuk mengembangkan potensi jangka panjang industri perbankan Islam dan prospek besar bagi Malaysia untuk menyumbangkan bakat-­bakat baru yang berkemahiran tinggi di dalam bidang ini. Perbankan Islam menitik beratkan beberapa elemen penting seperti standard industri yang tinggi, kecanggihan ilmu pengetahuan serta kualiti servis yang amat berintegriti.

Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab bagi pihak-­‐pihak yang relevan untuk mempersiapkan serta membekalkan bakat-­bakat baru industri dengan akreditasi dan kemahiran yang bersesuaian agar dapat memastikan kemajuan industri ini di masa hadapan. Ini dapat direalisasikan dengan pelbagai program yang disediakan oleh CIIF, yang ditubuhkan untuk mengukuhkan kredibiliti dan meningkatkan status pakar-­‐pakar professional di dalam bidang kewangan Islam di Malaysia.

CIIF percaya bahawa Malaysia mempunyai kemampuan besar untuk mengasah bakat-­‐bakat baru di dalam industri kewangan Islam bukan sahaja untuk memenuhi kehendak pasaran semasa malah mengukuhkan lagi kedudukan negara ini sebagai antara pembekal utama ahli-­ahli profesional yang berkualiti tinggi di dalam industri”, jelas Dr. Azura.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.