4 Salah Faham Masyarakat Tentang Wasiat

Ilmu pengurusan harta adalah ilmu yang jarang dibincangkan oleh masyarakat sehinggalah berlaku kematian salah seorang ahli keluarga mereka. Ini kerana ilmu ini dipandang tidak penting dan tidak menguntungkan.

Berbeza dengan ilmu pelaburan dan ilmu perniagaan yang dilihat lebih mendatangkan keuntungan dan berbaloi dipelajari.

Kesannya?

Banyak salah faham berlaku dalam masyarakat apabila berlakunya kematian ahli keluarga. Bagaimana nak menguruskan, macam mana nak agih, berapa bahagian faraid dan banyak lagi salah faham yang lain.

Dalam penulisan ini, disenaraikan beberapa salah faham yang berlaku berkaitan dengan wasiat.

1. Bolehkah Ayah Mewasiatkan Kepada Anak-Anak Secara Tidak Sama Rata?

Persoalan ini perlu dipecahkan kepada dua soalan sebenarnya.

  1. Bolehkah seorang ayah berwasiat untuk anak-anaknya?
  2. Bolehkah seorang ayah berwasiat secara tidak sama rata kepada anak-anaknya?

Wasiat untuk anak

Dari segi syarak, wasiat tidak boleh diberikan kepada waris berdasarkan hadis ini:

Daripada Abi Umamah berkata, “Aku telah mendengar Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassallam bersabda, Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memberikan kepada orang yang berhak haknya, ketahuilah tiada wasiat kepada ahli waris”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Jadi secara ringkasnya, tiada wasiat untuk ahli waris.

Jika wasiat itu dibuat kepada waris sekalipun, ia adalah tidak berkuatkuasa melainkan jika dipersetujui oleh SEMUA waris-waris yang lain yang mana ianya adalah hampir mustahil berlaku.

Jadi bagaimana nak agihkan harta kepada anak-anak dan isteri?

Hibah.

Buat satu dokumen pemberian hibah kepada waris yang kita kehendaki.

Bolehkah Ayah Hibah Secara Tidak Sama Rata Kepada Warisnya?

Boleh.

Hibah adalah seperti memberi hadiah kepada seseorang tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Jadi si pemberi hibah boleh memberikan hartanya kepada sesiapa sahaja yang dia inginkan dan berapa banyak sekalipun jumlah harta tersebut.

Yang penting, akad hibah tersebut mesti didokumentasikan dan mempunyai saksi.

2. Bolehkah Buat Wasiat Secara Lisan?

Jawapan ringkas; boleh.

TETAPI

Telah banyak masalah yang berlaku akibat wasiat yang hanya disampaikan secara lisan sahaja dan tanpa dokumen khusus atau dokumen wasiat yang rasmi.

Siapa yang boleh jamin, dakwaan waris yang mengatakan bahawa arwah sebelum mati, pernah berwasiat sekian-sekian?

Sebagai contoh, seorang anak mendakwa, arwah bapanya pernah berwasiat untuk memberinya sebidang tanah selepas arwah bapa mati.

Dalam masa yang sama, waris-waris lain tidak tahu malah tidak mengakui pesanan atau wasiat tersebut.

Boleh jadi si anak tadi itu memandai-mandai sahaja mendakwa demikian untuk mendapatkan tanah tersebut.

Walaubagaimanapun, jika wasiat telah pun dibuat secara lisan, dan si pembuat wasiat telah meninggal dunia, tanpa ada saksi lain yang mendengar wasiat itu, maka penyelesaiannya adalah di Mahkamah Syariah.

Wasiat tersebut perlu disahkan di Mahkamah Syariah.

Jika wasiat disahkan maka bolehlah menjalankan hasrat wasiat tersebut, manakalah jika tidak sah, maka pusaka si mati hendaklah dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak.

Jadi cara yang terbaik adalah membuat wasiat dan DOKUMENTASIKAN hasrat wasiat tersebut.

Sekarang telah banyak syarikat pengurusan pusaka yang menawarkan khidmat runding pusaka.

3. Adakah Wasiat Wajib Dilaksanakan?

Jika wasiat tersebut boleh disahkan, sama seperti mana yang dihasratkan oleh si mati semasa hidupnya, maka ianya wajib diikuti dan dilaksanakan.

Sebab itu pentingnya dokumentasi wasiat.

Mudah untuk kita sahkan si mati telah mewasiatkan harta sekian-sekian kepada si fulan atau fulanah.

Kalau wasiat sekadar cakap mulut?

Maka ia kembali kepada perbicaraan Mahkamah Syariah. Mereka yang akan tentukan.

4. Bolehkah Wasiat Diubah?

Rupanya ramai juga salah faham bahawa wasiat adalah sesuatu pesanan yang tidak boleh diubah.

Ini adalah pemahaman yang salah sama sekali.

Wasiat boleh diubah.

Selagi mana si pembuat wasiat masih hidup, dia boleh mengubah wasiatnya.

Ini kerana, wasiat hanyalah pesanan sahaja dan terimaan (qabul) hanya berlaku selepas pembut wasiat meninggal dunia.

Sekalipun jika ada penerima wasiat yang telah bersetuju menerima wasiat tersebut, persetujuan penerima wasiat tersebut adalah tidak terpakai lagi kerana penyempurnaan wasiat tersebut hanya berlaku selepas pembuat wasiat meninggal dunia.

Kesimpulan

Kekeliruan yang banyak berlaku tentang ilmu faraid dan pengurusan pusaka adalah berpunca dari kurangnya pendedahan tentang ilmu ini dalam masyarakat.

Ini kerana bidang ini kurang glamour mungkin jika nak dibandingkan dengan bidang-bidang ilmu yang lain.

Sedangkan membuat wasiat adalah perkara yang digalakkan dalam Islam.

Menunjukkan betapa penting ilmu ini dalam Islam

Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Cari ilmu atau carilah mereka yang ada kepakaran tentang bidang ini dan rujuklah mereka.

Sebagai penutup, ingatlah, wasiat yang paling utama adalah wasiat sedekah.

Kerana harta yang kita sedekahkan selepas kita meninggal dunia lah amalan yang boleh ditambah kepada timbangan amal kita selepas kita meninggal dunia.

Baca juga Apa Yang Perlu Isteri Tahu Berkenaan Wasiat?⁣

7 Kesilapan Dalam Merancang & Urus Harta

Isu harta pusaka merupakan isu yang panas sejak dari dulu lagi. Sehingga mengakibatkan sebanyak RM70 bilion harta rakyat Malaysia kena beku.

Jom kita bersama-sama Tuan Fakhrur Radzi yang merupakan seorang perunding harta pusaka Islam dalam topik ‘7 Kesilapan Dalam Merancang & Urus Harta’.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.