iDEA Mengiktiraf Pemaju-Pemaju Terbaik Dalam Pembangunan Hartanah, Kepimpinan Industri Dan Tanggungjawab Sosial Terbaik

KUALA LUMPUR, 25 MEI 2021 — Pemaju-pemaju hartanah terkemuka diberi penghormatan pada majlis anugerah iProperty Development Excellence Awards (iDEA) tahunan ke-4 2021 yang dianjurkan oleh iProperty.com.my, portal hartanah No. 1 di Malaysia bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam sektor pembangunan hartanah. iDEA mengumumkan 32 pemenang kategori yang menjadi rebutan dalam sebuah acara anugrah maya yang distrimkan secara langsung di dalam laman Facebook iProperty.com.my.

Mah Sing Group Berhad menjadi pemenang terbesar apabila berjaya memperolehi enam (6) anugerah termasuk anugerah Pembangunan Bangunan Tinggi Terbaik 2021 dan anugerah Game Changer Pengguna
yang mengiktiraf Mah Sing Group Berhad sebagai pemaju yang berjaya memperkenalkan dan mempengaruhi perubahan corak pemikiran pengguna.

Tahun ini, selain daripada 26 kategori yang dipertandingkan, iDEA turut mengenal pasti empat (4) anugerah istimewa bagi mengiktiraf para pemaju hartanah, projek pembangunan dan individu cemerlang yang berjaya mencipta inovasi dan memberi sumbangan besar terhadap industri pembangunan hartanah di Malaysia. Selain daripada itu, sepuluh (10) pemaju hartanah akan dianugerahkan dengan Anugerah Pilihan Ramai berdasarkan kepada jumlah undian tertinggi yang diterima daripada orang ramai, manakala anugerah CSR Komuniti pula diberikan kepada pemaju yang menunjukkan sifat kepimpinan yang wajar dicontohi semasa pandemik COVID-19 dengan membantu rakyat yang terjejas.

Di antara para pemenang yang wajar diberi perhatian ialah Tropicana Danga Cove Sdn Bhd yang berjaya meraih anugerah Pembangunan Kediaman Bertanah Terbaik dan Pembangunan Bertanah Selatan Terbaik untuk projek Ayera Residences. Manakala Rembawang Holdings Sdn Bhd pula berjaya memperolehi anugerah Pembangunan Bertanah Terbaik 2021 dan Pembangunan Bertanah Mewah Terbaik untuk projek Teringin @ Sri Ukay. Sementara itu, Ideal Group Berhad memenangi anugerah Pembangunan Bangunan Tinggi Paling Mampu Milik untuk projek One Foresta dan Sheng Tai International Sdn Bhd pula memenangi Anugerah Pembangunan Komersial Terbaik untuk The Sail.

“iProperty.com.my amat berbangga kerana dapat menyediakan sebuah platform yang mengiktiraf dan menghargai pembangunan hartanah berinspirasi yang menjadi contoh kepada seni bina, kecemerlangan, reka bentuk dan konsep berkualiti yang berupaya menambah baik pengalaman hidup para pembeli rumah hari ini. Kami berharap semoga pengiktirafan ini dapat membantu para pembeli membuat keputusan bermaklumat yang lebih tepat dalam mencari hartanah idaman mereka, dengan memilih hartanah yang terbaik di dalam kelasnya serta layak untuk dijadikan sebagai rumah impian mereka,” kata Pengurus Besar iProperty.com Malaysia Sdn Bhd, Shylendra Nathan.

“2021 adalah tahun di mana industri hartanah perlu menjalankan perniagaan dalam normal baru dan ia adalah sesuatu yang baik. Pandemik global ini telah mendorong para pencari hartanah di Malaysia untuk beralih kepada platform digital. Rakyat Malaysia telah beralih kepada platform digital yang lebih mudah dan selamat dalam usaha pencarian hartanah mereka yang terganggu akibat pandemik COVID-19.”

Rakyat Malaysia telah meluangkan lebih banyak masa di dalam iProperty.com.my semasa pandemik ini, di mana secara purata mereka meluangkan masa lebih 8 minit di dalam laman berkenaan atau Time on Site [i]. iProperty.com.my adalah portal hartanah No.1 di Malaysia, menurut Comscore, sebuah syarikat pengukuran dan analisis media pihak ketiga.
Tambah Shylendra lagi, “Walaupun dilanda pandemik COVID-19, kami tetap menaruh harapan kepada pasaran hartanah kerana program vaksinasi yang sedang berjalan telah berjaya meningkatkan semula keyakinan terhadap pasaran hartanah tempatan. Negara kita mula menuju ke arah mencapai imuniti kelompok, kami menjangkakan keyakinan para pengguna terhadap pasaran hartanah akan terus meningkat hasil daripada inisiatif tersebut.”

Kredibiliti iDEA dicapai menerusi proses penghakiman yang ketat dan keputusannya disahkan secara bebas oleh PwC Malaysia, yang merupakan rakan proses pengundian iDEA. Bagi memastikan penilaian yang menyeluruh merangkumi pelbagai perspektif, pakar-pakar industri daripada pelbagai disiplin profesional seperti seni bina, penilaian hartanah, topografi dan undang-undang hartanah telah dijemput untuk menganggotai panel hakim tersebut. iDEA turut menjadikan kualiti sebagai kategori anugerah dan kriteria pemilihan adalah berdasarkan kepada keutamaan para pencari hartanah. Anugerah ini menyasarkan untuk memberi keyakinan kepada para pencari hartanah dan menggalakkan lebih banyak pemaju hartanah agar sentiasa berusaha meningkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat Malaysia.

[i] Menurut Comscore MMX® Multi-Platform, Real Estate, Total Digital Audience, Mac 2021.

Mengenai REA Group & iProperty.com.my, portal hartanah No.1 di Malaysia
REA Group di Asia mengendalikan laman web, pemasaran dan acara hartanah digital yang menawarkan perkhidmatan berkaitan hartanah dan pemasaran projek yang paling komprehensif di seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia (iProperty.com.my), Thailand (thinkofliving.com dan Prakard) serta wilayah China Raya termasuk Tanah Besar China (myfun.com) dan Hong Kong (squarefoot.com.hk dan SMARTExpo).

Berpangkalan di Australia, REA Group merupakan sebuah firma pengiklanan digital multinasional yang membuat pengkhususan dalam bidang hartanah. Disenaraikan dalam Bursa Saham Australia (ASX:REA), kami mengendalikan laman web hartanah kediaman, komersil dan saham terkemuka di Australia iaitu realestate.com.au, realcommercial.com.au dan flatmates.com.au. REA Group juga merupakan rakan kongsi utama 99 Group yang mengendalikan 99.co dan iProperty.com.sg di Singapura serta rumah123.com di Indonesia. Selain itu, REA Group mempunyai pengaruh dan pegangan saham penting dalam Move, Inc menerusi realtor.com di Amerika Utara dan Elara Technologies menerusi proptiger.com,
maakan.com dan housing.com di India.

iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dan mempunyai lebih daripada 200 orang pekerja. iProperty.com.my adalah portal hartanah No.1 di Malaysia yang menawarkan carian dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian pengguna seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.