8 Tips Jutawan Menguruskan Wang Yang Membuatkan Mereka Semakin Kaya

Bukan rahsia lagi bahawa jutawan mempunyai tabiat dan cara berfikir yang berbeza daripada kebanyakan orang lain. Mereka mempunyai cara yang unik bagi menggandakan wang dengan membuat keputusan kewangan yang bijak.

Jom kita tengok 8 tips berikut dalam menguruskan wang.

Tips 1: Tidak Terburu-Buru

Benar, mereka tidak terburu dalam membuat sesuatu keputusan. Mereka akan berfikir daripada segi keburukan dan kebaikan melaksanakan sesuatu keputusan atau melakukan perkara.

Mereka akan bertanya pendapat dan pandangan sekeliling mereka sebelum melakukan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi yang melibatkan belanja yang besar.

Tips 2: Tahu Beza Kehendak Dan Keperluan

Para jutawan juga tahu perbezaan di antara kehendak dan keperluan. Kita semua pastinya ada impian untuk beli kereta baru, telefon pintar baru, kasut baru; tetapi, adakah ianya keperluan?

Daripada membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang tidak praktikal, jutawan menggunakan wang ke arah perkara yang lebih penting dalam meningkatkan kekayaan mereka.

Tips 3: Fokus Jangka Masa Panjang

Mereka yang bergelar jutawan ini sentiasa mempunyai sasaran jangka masa panjang. Dan tidak kira apa yang berlaku, mereka akan kekal fokus kepada objektif tersebut.

Contoh nak ada duit RM1 juta dalam masa 10 tahun. Dengan adanya sasaran ini, tumpuan akan jadi lebih fokus dan tidak sewenang-wenangnya akan habiskan duit.

Tips 4: Ada Pelbagai Sumber Pendapatan

Meskipun sudah bergelar seorang jutawan, tetapi tips seterusnya adalah dengan mencari cara lain untuk menjana pendapatan. Mengapa?

Kerana mereka sedar bahawa sumber pendapatan utama mereka boleh menjadi ‘kering’ tanpa disangkakan. Untuk mengelakkan kekayaan terjejas, maka mereka akan cari pelbagai sumber pendapatan sebagai backup plan.

Tips 5: Melabur

Jutawan akan melakukan pelaburan sama ada pelaburan ke dalam syarikat, pelaburan saham atau hartanah. Mereka melakukan pelaburan ini untuk objektif jangka masa panjang.

Daripada dibiarkan begitu sahaja dalam bank, lebih baik biar duit tersebut bekerja untuk mereka.

Tips 6: Dana Kecemasan

Para jutawan ada dana kecemasan sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. Ini kerana pada bila-bila masa saja kita boleh ditimpa musibah, seperti perniagaan jatuh teruk.

Banyak bencana dapat dielakkan dengan menyediakan dana kecemasan ini. Elakkan diri daripada mengalami situasi ‘sudah jatuh ditimpa tangga pula’.

Tips 7: Bersederhana

Jangan sesekali gelap mata apabila mempunyai duit yang banyak. Ramai yang tersilap dengan pendapatan meningkat, perbelanjaan turut meningkat ibarat ‘besar periuk besarlah keraknya’.

Sebaliknya cuba bersederhana dalam semua perkara. Jika kita mampu beli kereta mewah, beli saja kereta yang praktikal dan mampu milik. Kalau mampu beli barangan berjenama yang mahal, cari alternatif lain yang lebih murah tetapi tahan lama.

Tips 8: Bersedekah

Yang terakhir sekali, banyakkan bersedekah. Bukan nak tunggu kaya-raya baru nak mula sedekah.

Sebaliknya sedekahlah sampai kita jadi kaya. Semakin kaya, semakin banyak kita sedekah, maka semakin ramai yang kita boleh tolong.

Previous ArticleNext Article

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.