Rakyat Malaysia Keluarkan RM44.77 Bilion Duit Dalam KWSP Untuk Tujuan Apa?

Tahukah anda, seramai 14,587,811 iaitu hampir 14 juta rakyat Malaysia merupakan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dicatatkan pada tahun 2019. Daripada jumlah tersebut, seramai 7,626,262 adalah mereka yang aktif menyumbang.

Maka tidak hairanlah aset KWSP hampir mencecah RM1 trilion pada tahun tersebut. Namun, sedarkah kita bahawa 4.2 juta rakyat Malaysia telah keluarkan sebanyak RM44.77 billion duit KWSP. 

Pasti ramai yang tertanya, apakah jenis pengeluaran KWSP yang telah dibuat oleh rakyat Malaysia ini?

Tidak semua orang mempunyai tujuan pengeluaran yang sama, berbeza dari segi keperluan, kemampuan, gaya hidup dan sebagainya.

Jom kita lihat jenis-jenis pengeluaran KWSP yang dibuat oleh 4.2 juta rakyat Malaysia mengikut jumlah pemohon daripada yang yang paling rendah ke yang paling tinggi pada tahun 2019.

Sumber: EPF Annual Report 2019, mukasurat 90

1. Perumahan PR1MA

Skim Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) adalah pengeluaran yang paling sedikit dilakukan pada tahun 2019. Pengeluaran ini boleh digunakan oleh ahli KWSP yang ingin membeli rumah dengan mudah.

Hanya 36 orang sahaja rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pengeluaran rumah PR1MA ini.

2. Skim Bayaran Bulanan

Tidak dapat dipastikan skim ini bertujuan untuk membayar apa, tetapi seramai 63 orang telah berjaya membawa keluar sebanyak RM79 ribu untuk tujuan ini.

3. Pembayaran Berkala

516 orang rakyat Malaysia mengeluarkan wang secara berkala dalam jumlah tertentu. Bagi pengeluar akaun 1 dan 2, terdapat tempoh masa yang sesuai untuk mereka membuat pengeluaran seterusnya.

4. Pengeluaran Haji

Untuk pengetahuan anda, seramai 777 orang mengeluarkan sejumlah wang daripada KWSP untuk menunaikan haji. KWSP bukan sahaja membantu untuk menyimpan wang, malah dapat memudahkan urusan haji dan umrah.

5. Meninggalkan Negara

Sekiranya seseorang ingin meninggalkan Malaysia, individu tersebut boleh melakukan pengeluaran untuk meninggalkan negara. Seramai 4 ribu lebih orang telah melakukan pengeluaran jenis ini pada tahun 2019.

6. Beli Rumah Kedua

Seramai 5 ribu rakyat Malaysia telah membuat pengeluaran wang KWSP untuk beli rumah kedua. Jumlah pengeluaran yang telah dibuat adalah dalam RM214.89 juta.

Dengan pengeluaran ini, rakyat dapat membeli rumah kedua untuk tujuan menambah aset atau pelaburan.

7. Hilang Upaya

Semua duit KWSP boleh dikeluarkan jika anda mengalami hilang upaya sama ada mental dan fizikal, sehingga tidak dapat bekerja lagi. Ahli yang layak juga akan menerima RM5,000 jika cukup syarat iaitu di bawah 55 tahun dan dinilai oleh Lembaga Perubatan KWSP.

8. Kesihatan

8 ribu rakyat Malaysia mengeluarkan wang KWSP akaun 2 untuk tujuan menampung kos rawatan perubatan penyakit kritikal. Ia juga menampung kos pembelian peralatan bantuan kesihatan yang diperlukan, namun harus mendapat kelulusan oleh KWSP.

9. Simpanan Melebihi RM1 Juta

Sekiranya seseorang individu mempunyai simpanan lebih daripada 1 juta, KWSP membenarkan pengeluaran simpanan yang mereka mahukan. Seramai 13 ribu rakyat Malaysia telah membuat pengeluaran yang bernilai RM1.55 bilion pada tahun 2019.

10. Kematian

Hampir 70 ribu rakyat Malaysia telah membuat pengeluaran wang KWSP jenis kematian. Pengeluaran penuh bagi akaun ahli penama KWSP atau waris boleh dilakukan jika ahli KWSP telah meninggal dunia.

11. Pekerja Berpencen Dan Pesara Pilihan

Pada tahun 2019, lebih daripada 80 ribu orang telah mengeluarkan wang pencen di mana mereka adalah pekerja dalam sektor awam. Setelah menerima taraf pekerja berpencen, pengeluaran ini boleh dibuat sekali sahaja sebelum umur mencecah 55 tahun.

12. Pengeluaran Beli Rumah Pertama

Seramai 99 ribu individu telah membuat pengeluaran untuk beli rumah pertama pada tahun 2019. Nilainya adalah sebanyak RM2.32 bilion dan ianya sangat banyak jika dibandingkan dengan pengeluaran untuk beli rumah kedua.

Sekurang-kurangnya dapat juga mencapai impian untuk beli rumah.

13. Pendidikan

Syarat pengeluaran pendidikan adalah ahli KWSP yang belum mencapai umur 55 dan mempunyai simpanan dalam akaun 2. Pengeluaran ini membolehkan simpanan akaun 2 dikeluarkan untuk membiayai yuran pengajian untuk diri sendiri atau untuk anak.

14. Pengurangan / Penebusan Pinjaman Rumah

Seramai 103 ribu rakyat Malaysia menggunakan pengeluaran pengurangan baki pinjaman rumah untuk membiayai pinjaman pada institusi tersebut. Mereka juga boleh gunakannya untuk pembelian bersama ahli keluarga terdekat.

15. Pengeluaran 50 Tahun

Seramai 157 ribu rakyat Malaysia yang cukup syarat telah membuat pengeluaran. Mereka adalah yang berumur di antara 50 tahun ke 54 tahun.

16. Pengeluaran 60 Tahun

Sama ada warganegara atau tidak, asalkan telah mencapai umur 60 tahun dan mempunyai simpanan KWSP, seseorang itu layak untuk memohon pengeluaran 60 tahun. Untuk pengetahuan anda, seramai 289 ribu orang telah membuat pengeluaran 60 tahun pada tahun 2019.

17. Pengeluaran 55 Tahun

Lebih ramai daripada mereka yang membuat pengeluaran 60 tahun, hampir 450 ribu individu yang melakukan pengeluaran 55 tahun pada 2019. Ianya dibenarkan bagi ahli KWSP yang usianya 55 tahun sehingga 59 tahun sahaja.

18. Skim Pelaburan Ahli KWSP

Skim Pelaburan Ahli membolehkan ahli menggunakan duit yang ada di dalam akaun 1 melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik dengan simpanan tidak lebih daripada 30% jumlah simpanan asas. 

Pada tahun 2019, seramai 556 ribu orang yang mengeluarkan sebanyak RM5.64 bilion untuk tujuan ini.

19. Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan

Pengeluaran yang paling tinggi dicatatkan oleh KWSP pada tahun 2019 adalah pengeluaran ansuran bulanan pinjaman perumahan. Pengeluar akan menggunakan akaun 2 KWSP untuk pembiayaan pembelian rumah ataupun pembinaan rumah.

Terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi untuk memohon pengeluaran ini. Lebih daripada 2 juta rakyat Malaysia yang telah menggunakan skim pengeluaran ini. 

Sumber Rujukan: EPF Annual Report 2019

Jom belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:

1. Aliran tunai
2. Pengurusan aset dan hutang
3. Simpanan
4. Perlindungan
5. Pelaburan
6. Penyucian
7. Pewarisan

Sebagai pengguna, kita patut tahu fungsi dan peranan setiap produk kewangan. Ia saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dapatkan di www.bukuBMW.com

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.